Tuesday, January 19, 2010

13 WASIAT RASULULLAH S.A.W

Salam semua..

Mungkin ada yang dah tahu wasiat ni dan mungkin ada yang tidak ambil peduli lansung tentang wasiat ini. Tapi untuk mengingatkannya lagi, saya mahu berkongsi dengan para saudaraku sekalian..Lepas ni, jangan dibiarkan je tau peringatan ni..Ambil perhatian juga..Buat untuk memantapkan diri anda semua..Saya tak rugi pun jika korang semua tak amalkan tapi saya tak nak lah tengok saudara seIslam saya menjadi semakin lalai dan berjaya disesatkan oleh syaitan laknatullah..nauzubillah..



**************************************************************************

RASULULLAH S.A.W ada menyampaikan pesanan dan wasiat kepada isteri, anak, kaum kerabat dan umat Islam seluruhnya. Namun antara wasiat yang menarik dan boleh dijadikan bahan renungan bersama ialah wasiatnya kepada menantu baginda, Saidina Ali Abu Talib.

Sungguhpun wasiat itu khusus kepada Ali, namun kita sebagai Muslim dan muslimah, perlu menjadikannya sebagai iktibar lalu menjadikannya amalan dalam kehidupan seharian.

Larangan dan suruhan Rasulullah s.a.w melalui wasiat itu, adalah juga merupakan peringatan buat kaum Muslimin dan muslimat. Malah, boleh dikatakan semua perkara dalam wasiat itu adalah ciri-ciri utama orang beriman.

Berikut adalah antara wasiat Nabi kepada Ali seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas:

Ibnu Abbas meriwayatkan, bahawa Ali Abu Talib berkata: "Pada hari perkahwinan dengan Fatimah, Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku, mengutarakan tiga belas wasiat khusus untukku:"

1. Wahai Ali, takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (hammam) tanpa memakai kain separas pinggang. Bahawasanya barang siapa memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang, maka dia mendapat laknat (mal'un).
Brilliant Marjan menambah ~ Maksud di sini adalah memakai kain basahan tidak kira bagi lelaki ataupun wanita. Ia bagi mengelak dari menjadi panahan iblis yang sentiasa ingin menyesatkan manusia.

2. Wahai Ali, janganlah engkau ‘memakai cincin di jari telunjuk dan di jari tengah'. Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.
Brilliant Marjan menambah ~ Sunat memakai cincin di jari manis dan di jari kelingking tidak kira bagi lelaki ataupun wanita.



3. Wahai Ali, sesungguhnya Allah mengagumi hamba-Nya yang melafazkan istighfar: "Rabighfirli fainnahu la yaghfirul-zunuba illa Anta" ( Tuhanku, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Engkau). Allah lalu berfirman: "Hai malaikat-Ku, sesungguhnya hamba-Ku ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Aku. Hai malaikat-Ku: Jadilah saksi, bahawasanya aku telah mengampuni dia".
Brilliant Marjan menambah ~ Sentiasa membasahkan lidah dengan berzikir, bertahmid, solat hajat dan solat taubat agar kita sentiasa mendapat keberkatan dari-NYA

4. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya berdusta itu menghitamkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai kazzab (pendusta). Dan, bahawasanya benar itu memutihkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai sadiq. Ketahuilah engkau, bahawasanya sidq (benar) itu berkat dan kizb (dusta) itu celaka.
Brilliant Marjan menambah ~ Berkatalah benar walaupun pahit bagi orang yang tidak sukakan kebenaran. Jangan kita melambung-lambung memuji atau menyatakan sesuatu sehingga mengakibatkan kita mendustakan sesuatu perkara. Apa-apa pun jangan bersifat berat sebelah kepada mana-mana pihak.

5. Wahai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu-domba. Bahawasanya orang berbuat demikian itu diwajibkan ke atasnya seksaan kubur dan menjadi penghalang kepadanya di pintu syurga.
Brilliant Marjan menambah ~ Perbaikilah diri sendiri dahulu sebelum melihat kesilapan orang lain. Tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini. Diam itu lebih baik dari banyak berkata-kata yang tidak benar.


6. Wahai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada dusta atau benar, kecuali dalam keadaan darurat, dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah engkau. Sesungguhnya Allah tidak menyucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan nama-Nya.
Brilliant Marjan menambah ~ Jika mencari saksi, biarlah yang mempunyai akhlak yang baik dan cukup syarat. Jangan sewenang-wenang menuduh orang sebarang tanpa mengemukakan bukti sah. Apatah lagi dengan menggunakan kalimah Allah dan menjunjung Al-Quran.

7. Wahai Ali, janganlah engkau mencita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya Allah mendatangkan rezeki engkau setiap hari.
Brilliant Marjan menambah ~ Sentiasa berlapang dada dan bersyukur dengan kurniaan-NYA. Selepas subuh bacalah surah Al-Mulk bagi mendapat rezeki yang murah dan juga mendirikan solat sunat Dhuha. InsyaAllah, Allah s.w.t menyukai hambaNYA yang merendah diri dan sentiasa mengarapkanNYA.

8. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berbantah-bantah dan berkelahi dengan maki-hamun dan sumpah-seranah. Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.
Brilliant Marjan menambah ~ Berfikirlah sebelum melakukan sesuatu perkara. Gunakan akal yang waras dan pertimbangan ilmu yang sewajarnya agar kita tidak termasuk dalam kategori manusia yang rugi akibat kebodohan sendiri.

9. Wahai Ali, sentiasalah engkau bersugi dan mencolek (mencungkil) gigi. Bahawasanya bersugi itu menyucikan mulut, mencerahkan mata dan diredai Allah, manakala mencolek gigi itu dikasihi malaikat kerana malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan di celah gigi tidak dicolek selepas makan.
Brilliant Marjan menambah ~ Petua untuk bijak adalah dengan selalu bersugi dan mengosok gigi =)

10. Wahai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah.Apabila timbul rasa marah, duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan dan kesabaran Allah Taala ke atas hamba-Nya. Pertahankah diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.
Brilliant Marjan menambah ~ Jauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh membuatkan kita berada dalam situasi tegang. Berwuduklah dengan segera, buat solat sunat dan zikir..

11. Wahai Ali, perhitungkanlah (tahassub) kurniaan Allah yang telah engkau nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau peroleh peruntukan daripada Allah.
Brilliant Marjan menambah ~ Setiap yang kita lakukan hendaklah kita niatkan hanya untuk Allah s.w.t. Biarlah apa yang kita infakkan itu memberi keberkatan kepada seluruh isi alam terutamanya kepada ahli keluarga kita.

12. Wahai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan juga pada diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau maka engkau kasihkan juga pada diri saudara engkau, yakni engkau hendaklah berlaku adil dalam memberi hukuman. Dengan itu, engkau dikasihi seluruh isi langit dan bumi.
Brilliant Marjan menambah ~ Adil membawa keberkatan. Adil membawa persahabatan.



13. Wahai Ali, perbaikkanlah perhubungan di antara penduduk (jiran) sekampung dan antara ahli rumah engkau. Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan dan kekeluargaan, nescaya disuratkan darjat yang tinggi bagi engkau.
Brilliant Marjan menambah ~ Sifat yang terpuji adalah dengan memuliakan ahli rumahnya dahulu dan orang yang berada disekitarnya.. Biarlah kita menerbitkan wangian yang paling harum buat seluruh ahli keluarga kita dan juga jiran kita. Salam+senyum+sabar = peace world

“Wahai Ali, peliharakanlah pesananku (wasiatku). Engkau akan peroleh kemenangan dan kelepasan.”

InsyaAllah Islam pada awalnya asing dan akan kembali terasing, maka berbahagialah kiranya bagi yang terasing

~~ Peringatan untuk diriku juga..InsyaAllah..Amin

1 comment:

ain said...

salam...nice sharing.keep on berkarya ek di samping berdakwah ke jalan Allah...