Thursday, May 27, 2010

MENCARI SYURGA DALAM SENANG?

Assalamualaikum w.b.t

Tatkala diri ini menaip, terdengar kicauan burung yang riuh mencari rezeki. Apakah kita sama seperti burung-burung itu? Mencari rezeki di awal pagi dan pulang menjelang malam.. Adakah kita begitu? Mungkin ada dan mungkin tiada apatah lagi pagi-pagi begini cukup enak dapat beradu kembali.. Malu sungguh.. Lagi malu bila ada yang berangan untuk mengharapkan tuah tanpa berusaha. Ibarat angan-angan Mat Jenin sahaja.. ":Apa yang kita usahakan, kita akan dapat balik hasilnya" - Jangan lupa ayat keramat ini..

Berbalik kepada tajuk entri, apa yang saya nyatakan di atas tiada beza dengan kisah yang saya ingin paparkan di sini.. Moga ada iktibarnya untuk diri saya dan pengunjung blog Marjan Ibtisam

Diceritakan pada suatu malam, seorang raja bernama Ibrahim Adham, sedang rehat  dan bersenang-senang di tilam empuk dalam istananya, sementara menunggu melelapkan mata. Tiba-tiba dia terdengar bunyi menunjukkan sesuatu sedang bergerak-gerak di atas siling istananya. Makin lama, makin jelas.

"Siapa di atas tu" bentak Ibrahim Adham.

"Saya, pengembala kambing," sahut satu suara dari atas menejwab dengan jelas.

"Apa yang kau buat di atas atap istanaku?" tanya raja lagi.

"Aku mencari kambingku yang hilang," jawab suara itu.

"Cis, pelik sungguh! Masuk akalkah bahawa kau mencari kambing yang hilang di atas atap istanaku?"

Dengan tegas suara itu menjawab, "Begitulah wahai Ibrahim... Adakah pelik kalau kau inginkan keredhaan Allah hanya dengan bersenang-senang di atas tilammu yang empuk itu? Itu sama sahaja dengan mencari kambing yang hilang di atas atap!"

Selepas insiden itu Raja Ibrahim Adham tersedar daripada kelalaiannya. Suara itu telah menyentak kelalaiannya dalam buaian nikmat sebagai seorang raja, tanpa memikirkan kesusahan rakyat.

Tidak lama selepas itu, baginda menyerahkan takhta kerajaannya kepad orang kepercayaannya manakala baginda sendiri mula mengembara mencari ilmu dan bermujahadah sebagai seorang sufi. Bertahun-tahun baginda berjuang mendidik diri, darjat ketaqwaan semakin meningkat, hingga tekenallah baginda sebagai seorang waliullah yang tersohor.

Moral cerita:

Tidak ada jalam mudah untuk mencari keredhaan Allah. Sesungguhnya, syurga sentiasa dipagari oleh kesusahan manakala neraka sentiasa dipagari oleh kesusahan. Justeru, hadapilah kesusahan yang sementara di dunia demi kesenangan yang abadi di syurga.

No comments: