Thursday, August 19, 2010

KALAMULLAH

Assalamualaikum w.b.t


Apa khabar anda semua hari ini? Semoga sihat hendaknya.Cuaca kat tempat anda macam mana? Di kampung saya ni, Allah bagi rahmat dengan hujan sedari awal pagi lagi. Sejuk dan lembap rasanya. Sebut pasal pagi, anda bersahur tak? Ada setangah tak suka nak makan berat pagi-pagi. Cukup sekadar minum air kosong saja. Betul tak?


Bagi kami sekeluarga, biasanya memang makan nasi dan tengok juga apa rezeki yang ada pagi tu. Macam sahur tadi, kami makan lebihan nasi daging yang saya buat ketika berbuka semalam. Nak dijadikan cerita, pada sesiapa yang rajin buka televisyen ketika bersahur, pasti akan menonton ulang siaran drama Nur Kasih di TV 3.


Di sini, saya bukan nak cerita tentang drama Nur Kasih tetapi program Kalamullah selepas siaran drama tersebut iaitu pada pukul 6.00 pagi selama setengah jam. Banyak medium dahwah ni sebenarnya. Syabas buat TV 3 sebab menyediakan program yang bermanfaat apatah lagi dalam bulan yang mulia ini.


Program ini dikendalikan oleh Ustazah Asni Abu Mansor dan Qari yang membacakan ayat al-Qur'an pada pagi ini adalah Adik Mohammad Ammar Mokhlis bin Abdul Mokhsin. Ayat yang dibacakan adalah sambungan surah Al-A'raaf ayat 189 hingga 206.


Subhanallah... Boleh dikatakan seminggu program ini bersiaran, saya sangat kagum dengan kemampuan Qari dan Qariah yang membacakan ayat-ayat al-Quran. Semuanya cilik-cilik belaka. Terang mata hati dan fasih serta bertaranum iaitu melagukan ayat-ayat al-Qur'an mengikut tertibnya. Allahu Akbar..


Untuk pagi ini, saya suka sangat dengan bacaan Adik Ammar. Bagi saya lain dari yang lain disamping kurang kesilapan bacaan. Dan yang sangat menyentuh hati apabila dia melakukan Sujud Tilawah atau Sujud Sajadah pada ayat terakhir surah Al-A'raaf ayat 206. Hal ini turut menyebabkan Ustazah Asni terharu kerana Adik Ammar faham tentang sunat untuk melakukannya. Saya yang dah dewasa ni pun terasa segan dan malu pada Adik Ammar. Malu mungkin sebab saya tidak begitu pada umur beliau.


Secara ringkas saya terangkan di sini mengenai Sujud Tilawah atau Sujud Sajadah. Di sini, Tilawah bermakna bacaan, dan Sujud Sajadah atau Sujud Tilawah itu ialah perbuatan sujud apabila seseorang itu bertemu ayat sajadah dalam bacaan al-Qur'an sama ada di dalam solat ataupun di luar solat.




Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Apabila anak Adam membaca ayat Sajadah, lalu dia sujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, "Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku menolak maka untukku neraka." (HR Al-Bukhari dan Muslim).



Hukum Sujud Sajadah adalah sunat mu'akad, atau sunat yang amat digalakkan.

Dari Umar r.a.: Pada suatu hari Jumaat, dia (Rasulullah) membaca surah al-Nahl di atas mimbar, maka ketika sampai pada ayat sajadah, dia lalu turun dan sujud. Dan para hadirin juga turut melakukan sujud. Pada hari Jumaat berikutnya, dibacanya surah berkenaan, lalu apabila sampai pada ayat sajdah dia berkata: "Wahai manusia, sebenarnya kita tidak diperintahkan (diwajibkan) sujud tilawah. Tetapi barangsiapa bersujud, dia telah melakukan yang benar. Dan barangsiapa yang tidak melakukannya, maka dia tidak mendapat dosa." (HR Bukhari)


Terdapat beberapa tanda ayat sajadah dalam al-Qur'an antaranya dalam surah al-A’raaf ayat 206, surah ar-Ra’d ayat 15, Surah al-Nahl ayat 50, surah al-Isra’ ayat 109, surah Maryam ayat 58 dan beberapa lagi surah lain. Lebih daripada sepuluh surah kesemuanya.


Bacaan doa yang sunat dibaca ketika sujud tilawah adalah:




سَجَدَ وَجْهِيَ لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وّشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ بِحَوْلِهِ وَقُوَّتِهِ فَتَبَارَكَ اللهُ أَحْسَنُ الخَالِقِينَ




Ertinya: "Aku bersujud dengan wajahku kepada Dzat yang telah merupakan dan menciptakannya, dan menciptakan pendengaran dan penglihatannya dengan kekuatan-Nya. Maha memberkati Allah, sebaik-baik Pencipta."


Rukun Sujud Sajadah di luar solat ialah:



1. Niat - iaitu "Sahaja aku sujud sajadah kerana Allah Ta'ala"
2. Takbiratul-ihram
3. Sujud
4. Salam.

Sujud Sajadah di luar solat adalah disunatkan kepada pembaca dan juga pendengar bacaan ayat sajadah, dan sujud si pendengar itu tidak tergantung sama ada pembaca (qari) itu turut sujud atau tidak.

Untuk maklumat lebih lanjut, anda semua boleh rujuk di sini:

http://www.al-islam.agussuwasono.com/artikel/fiqh/264-penjelasan-rinci-sujud-tilawah.html

...................................................

Kita sebagai hamba, tiada yang lebih layak untuk kita sembah selain Allah s.w.t yang Maha Berkuasa di atas muka bumi ini. Sebagai tanda ketaqwaan kita kepada Allah, kita hendaklah mengikut segala tuntutan atau ajaran yang diajarkanNya melalui utusanNya iaitu Nabi Muhammad s.a.w.


Ustazah Asni ada bertanya kepada Adik Ammar, " Apakah yang Ammar rasa jika tidak melakukan solat? dan dijawab oleh Adik Ammar dengan "Rasa tak sedap hati.."


Allahu Akbar..


Jawapan yang tepat bagi sesiapa yang masih lagi takut pada Allah dan dihatinya ada rasa gerun pada kekuasaan Allah..


Cuba tanya diri anda sendiri apakah yang anda rasa jika melewatkan atau melengahkan solat? Bagaimana pula dengan tidak melakukan solat? Apa yang anda rasa? Masihkan anda mempunyai rasa bersalah, rasa tak aman, rasa tak sedap hati? Jika anda masih lagi rasa demikian, alhamdulillah.. Hati masih lagi mahu menerima ilmu, hidayah dan rasa hamba dari Allah s.w.t. Jika tidak, nauzubillah.. Moga ada ruang taubat untuk kita kembali kepangkal jalan.


Maka dengan itu, bersempena bulan yang mulia ini, mohonlah keampunan dari Allah s.w.t sebanyak-banyak mungkin dan perbaikilah amalan kita segala jasad dikandung badan. Sebab bila tubuh dimamah bumi, tiada lagi yang perlu dirintihkan lagi..


~ Jika saya berkesempatan subuh di masjid pada waktu subuh ketika di asrama dulu, imam kerap kali membacakan ayat yang mempunyai sujud sajadah. Allahu Akbar...


~ Jika ada diantara anda yang lupa solat, perlulah disegarakan qada' solat.. Selesaikanlah amanah tersebut sebaik-baik mungkin.. Jangan ada yang tergantung tanpa berbayar..


~ Peringtan ini juga ditujukan buat diriku... Ampunkan hambaMu ini, Ya Allah... Bantulah aku melalui segala ujianMu ini.. Kuatkanlah imanku dalam apa jua keadaan... Amin..

2 comments:

HiJaBViOLet said...

salam..hampir menitis air mata baca entry ni..rasa banyak lagi yang perlu diperbaiki. trima kasih kerana menulis sesuatubyang mampu menjadi air pada hati:-)

Brilliant Marjan@اداويه said...

wslm hijabviolet...

sekadar berkongsi apa yang saya rasa. mungkin kita terlepas pandang pada sesuatu, jadi bila dgr tazkirah pendek dari Ustazah Asni tu buat saya terfikir dan menghayati..

moga apa yg saya tulis membawa manfaat utk semua..