Tuesday, September 21, 2010

BERSAHABAT KERANA ALLAH... (PART LAST)



Doa dari seorang sahabat:

Ya Allah, jika sahabatku jatuh CINTA, berikanlah cintanya pada seseorang yang melebihkan cinta pada-Mu agar bertambah kekuatannya untuk menyintai-Mu. Wahai Maha Penyayang, jika sahabatku jatuh HATI, izinkanlah hatinya menyentuh hati orang yang hatinya tertaut pada-Mu agar sahabatku tidak jatuh dalam jurang cinta yang murah. Wahai Maha Pengasih, jika sahabatku RINDU, rindukanlah dia kepada seseorang yang merindui syahid di jalan-Mu, jagalah rindunya pada-Mu agar dia tidak lalai dari merindui syurga-Mu... Amiin...

Hana terkedu. Sebak mencengkam dadanya. Terasa sesak nafasnya tatkala membaca 'SMS' itu. Hana berdoa dalam hatinya.

" Ya Allah, aku bersyukur kepada-Mu kerana telah menemukan aku dengan sahabatku, Mardhiyyah. Segalanya atas izin-Mu jua. Kau limpahkanlah rahmat ke atasnya. Kekalkanlah persahabatan ini hingga ke akhir hayat kami. Amiin. "

Dengan sekali lafaz, Hana selamat diijab kabulkan dengan Aiman. Air matanya bergenang.

" Sekarang kau dah jadi isteri orang. Tak lama lagi, jadi ibu orang pula. Ingat, tanggungjawab kau makin besar. Jangan sesekali abaikan tanggungjawab kau tu. Syurga seorang isteri itu terletak di bawah tapak kaki suaminya tau, " bisik Mardhiyyah. Hana mengangguk.

" Syukran, Mardhiyyah. " Hana mencium pipi sahabatnya itu. Terasa bagaikan ada aura yang mengalir. Mereka tersenyum.

Tidak lama kemudian, Mardhiyyah pula mengikut jejak langkah Hana. Jodohnya dengan seorang peguam syariah, Luqman Hakim namanya. Namun, segalanya sudah tertulis di Luh Mahfuz. Suaminya telah kembali ke rahmatullah sewaktu dia mengandung anak kedua. Suaminya pergi semasa sedang tidur. Mardhiyyah tidak menangis, apatah lagi meratap. Dia begitu tenang sekali menghadapi saat-saat itu. Dia redha. Jodoh, ajal, maut semuanya dalam genggaman Rabbul Alamin.

" Sabarlah, Mardhiyyah. Allah lebih sayangkan suamimu. Panjatkanlah doa agar rohnya tenang di sisi para solihin, " Hana menenangkannya.

Dia tahu betapa luluhnya hati Mardhiyyah tika itu. Mereka berpelukan. Tiada kata yang mampu diucapkannya.

Usia kandungan Mardhiyyah sudah mencecah lapan bulan. Semenjak kematian suaminya, dia banyak bersendirian, beribadah kepada Allah disamping menjaga anak sulungnya yang berusia 5 tahun.

" Hana, aku nak minta tolong sesuatu dari kau, boleh? " ujar Mardhiyyah pada satu petang. Petang yang begitu hening.

" Insya Allah... aku akan cuba penuhi permintaan kau tu. "

Mardhiyyah menarik nafas panjang.

" Kalau aku dah tak ada nanti, boleh tak kau jaga anak aku, Amirul dan ‘baby' yang bakal lahir ni? " Mardhiyyah mengusap-usap perutnya dengan penuh kasih sayang.

" Ish... Kau ni. Kenapa cakap macam tu pulak? Kan kita dah janji akan jaga anak kau sama-sama. " Hana gusar.

Mardhiyyah memegang perutnya.

" Nanti ‘baby' jangan nakal-nakal tau. Jadi anak solehah. Jangan degil. Jangan gaduh dengan Abang Amirul. Ummi sayang anak-anak ummi. "

Hana sebak. Dia tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir.

" Hana, nanti kau namakan ‘baby' ni... Khaulah... Ummu Khaulah. "

Mardhiyyah tersenyum. Mungkin senyuman terakhir. Senyuman yang bisa merungkaikan segala kesulitan di hati seorang sahabat.

" Ya, Mardhiyyah. Aku akan buat apa saja untuk kau, " Hana menahan tangisnya.

" Insya Allah? " ujar Mardhiyyah.

" Insya Allah, Mardhiyyah. "

***

" Mama! "

Lamunan Hana terhenti. Ummu Khaulah berlari-lari ke arahnya.

" Ya, sayang. Belajar apa di tadika hari ni? " tanya Hana sambil merangkul tubuh si kecil itu.

" Hari ni Khaulah belajar melukis, ma. Cikgu tu cakap, lukisan Khaulah cantik. Besar nanti boleh jadi pelukis. Mama, boleh jual tak lukisan ni? Boleh tambah duit poket. "

Hana tersenyum mendengar kepetahan Khaulah.

" Ada orang nak beli ke lukisan ni nanti? Lagi satu, besar nanti nak jadi pelukis ke? " gurau Hana.

" Tak lah, mama. Khaulah nak jadi doktor Islam. Lukisan tu mama lah yang beli. " sambung Khaulah sambil ketawa.

Hana mengucup dahi Khaulah. Dia berasa begitu bahagia.

Mardhiyyah,
Dah enam tahun kau tinggalkan kami. Kau pergi di saat melahirkan Khaulah. Kau pernah beritahu aku. Mati semasa melahirkan anak merupakan salah satu tanda mati Husnul Khatimah. Amirul dan Khaulah aku jaga macam anak-anak aku sendiri. Masing-masing dah bersekolah. Khaulah mewarisi kepetahanmu dan Amirul mewarisi kesabaranmu. Amirul banyak bersabar dengan kerenah keanak-anakan adiknya itu. Kedua-duanya bijak seperti kau dulu. Janjiku pada kau akan aku laksanakan sebaiknya. Insya Allah... Aku terlalu merinduimu, Mardhiyyah. Rindu saat-saat dulu. Terima kasih atas segalanya. Kaulah sahabatku, selama-lamanya. Doaku agar rohmu ditempatkan di kalangan para syuhada'. Amiin.

Hana menyimpan semula kad itu. Air matanya mengalir lagi.

* Dipetik dari facebook
~ Alangkah indahnya andai persahabatan yang terjalin itu disulami dengan galakan dan dorongan untuk menuju kejayaan dan menuju ke syurga. Persahabatan tidak memerlukan syarat yang rumit tetapi cukuplah dengan keikhlasan dan menerima seadanya sahabat kita itu. Andai kita memilih sahabat dikalangan orang yang alim (baik akhlak, berilmu dan jaga solat) insyaAllah kebaikkannya akan terpalit sama buat kita akan tetapi jika kita memilih sahabat dikalangan orang yang tidak baik (menipu, kurang ajar, dan tidak hormt orang) maka kejahatannya akan terkena pada kita. Wallahu'alam.

No comments: