Saturday, January 22, 2011

HILANGNYA SUBUH KITA

Assalamualaikum w.b.t

 (By Harold Silverman)

Hari Sabtu dah hari ni. Cepat je masa berlalu. Bagi para guru, mereka ada kelas ganti untuk cuti Tahun Baru Cina. Termasuklah Ummi saya. Rajin kan guru-guru ni mengadakan kelas? Moga usaha mereka dihargai dan diberkati.

Erm, siapa yang tak solat Subuh pagi tadi? Tanya diri anda ye.. Tapi Allah nampak! If, tak buat, pergi ganti cepat! Nanti tak aman hidup.

Saya nak menyingkap kisah 10 tahun dulu. Ketika dalam tingkatan 5 Lukisan Kejuruteraan. Saya tak ingat hari apa, tapi ketika itu Cikgu Norliah (guru fizik) kerap kali tanya kepada kami ketika di dalam makmal fizik. Soalan beliau adalah "Solat Subuh tak pagi tadi? Sila angkat tangan bagi sesiapa yang tak solat."

Ada juga beberapa pelajar yang angkat tangan. Kesemuanya lelaki. Aduh, buat malu je. Tazkirah panjang juga Cikgu Norliah beri pada hari itu. Beliau beri nasihat macam-macamlah. Termasuk, "Saya hairan macam mana budak perempuan kelas lain boleh terpikat pada kamu yang tak solat ni. Macam mana nak bimbing anak orang bila kamu yang lelaki ni nak keluar berdepan dengan ujian dunia, sedangkan kamu tak menjalankan kewajipan yang sepatutnya?!" (Lebih kuranglah ayat Cikgu Norliah. Agak beremosi juga beliau).

Itulah serba sedikit imbasan kenangan lalu. Terlepas sudah tanggungjawab Cikgu Norliah menegur kami semua. Sebenarnya, setiap dari kita menggalas tugas untuk menegur atau mengingatkan hati-hati yang lalai dan alpa. Jika tidak melaksanakannya, kita akan ditanya di akhirat kelak.

Dengan itu, terimalah teguran yang mampu mendatangkan kebaikan kepada kita terutamanya Ibu Bapa, Guru-guru atau sesiapa yang lebih tua dari kita. Banyak jasanya para guru ni. Alhamdulillah, walaupun saya tidak terlibat dalam bidang kejuruteraan, tapi syukur sangat saya antara insan yang mampu merubah kehidupan saya menjadi lebih baik dalam bidang yang saya pilih.

(dari google)


Ketika bumi mencari sinar pagi,
Angin dingin bertiup menemani sepi,
lalu melazatkan simpulan dalam diri,
menyelimuti tidur di bawah pohon mimpi.

Azan berkumandang memecah keheningan,
demi menyahut suruhan dari Tuhan,
lalu ia menggerakkan hati-hati yang beriman,
menuju ke masjid kerana cintakan Tuhan.

Untungnya bagi orang yang menerima hidayahNya,
hidupnya sempurna seumpama kilauan permata,
hatinya ikhlas kerana Allah semata-mata,
tujuannya jelas kerana dunia ini hanya sementara.

Alangkah ruginya bagi kami yang hina,
subuhnya hilang ditenggelami selimut dosa,
hidupnya bagai jasad tidak bermakna,
kerana mata yang celik dipejam lagi.

Sumber: Share Motivasi 




Ganjaran Solat Subuh

RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim).
Boleh anda faham serba sedikit kan maksud hadis di atas? Jadi, tunaikanlah solat Subuh, dan solat fardhu lain sebagai memohon jaminan dunia akhirat daripada Allah SWT. Jangan kita meminta selain dariapad Allah SWT. Nanti jatuh syirik pula sebabnya menyekutukan Allah yang Maha Esa.

Rasulullah SAW mengkhususkan solat subuh dengan beberapa keistimewaan tunggal dan sifat tertentu yang tidak ada pada solat lain. Banyak keutamaan dan kelebihan yang didapati di waktu subuh.

Salah satu keutamaannya adalah Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis: “Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya).” (Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah).

Jika Rasulullah SAW yang berdoa, maka tidak ada hijab di antara Baginda dengan Allah SWT kerana Baginda sendiri adalah orang yang secara jasadiyah paling dekat dengan Allah SWT.

Waktu Subuh adalah waktu yang paling baik untuk mendapatkan rahmat dan keredhaan Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi, ayat 28).

Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Termizi: “Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”

Begitulah keistimewaan solat Subuh. Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat Subuh? Bukankah solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?

Diriwayatkan Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh.” (Hadis riwayat Muslim).

Solat Subuh adalah sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Di hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya.

Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Bukhari). Dua waktu yang dingin itu adalah solat Subuh dan Asar.

Mereka yang menjaga solat Subuh dan Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, “Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah SAW memberi janji, apabila solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan melindungi siapa saja yang mengerjakannya seharian penuh. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah).

Semoga kita tetap menjaga dan memelihara solat Subuh seperti dijanjikan Allah. Bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan berkumandang untuk segera mengerjakan solat Subuh.

Wallahu'alam.

~ Nasihat ini ditujukan untuk diriku dan anda semua..

2 comments:

Unknown said...

alhamdulillah...dulu masa sekolah duduk asrama, mmg dah dididik bangun awal pagi untuk solat subuh...

Brilliant Marjan said...

E.d.y

Alhamdulillah..moga diteruskan sebagai melaksanakan kewajipan kita sebagai hamba..