Thursday, February 3, 2011

7,000 PELAJAR KITA SELAMAT

[ANGGOTA TUDM menyertai misi menyelamat ke Mesir berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Subang, semalam]


PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi mengesahkan semua 7,000 pelajar Malaysia di Mesir yang berjaya dikesan sehingga semalam berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, rekod kementerian menunjukkan ada 11,319 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di Mesir, iaitu 5,184 pelajar perubatan dan 6,135 pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang pengajian Islam.

“Kementerian akan meneruskan pemantauan bagi mengesan pelajar Malaysia yang lain di sana sehingga nasib semuanya dapat diketahui.

“Sejak rusuhan kian meruncing dan tahap keselamatan pelajar Malaysia semakin membimbangkan, pihak Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Kaherah mula menempatkan pelajar Malaysia dalam kumpulan lebih besar di beberapa tempat utama seperti Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah serta beberapa rumah negeri di sana.

“Seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin, kerajaan sudah melakukan operasi menyelamatkan pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir melalui udara dan laut.

“Harap rakyat kita di sana bekerjasama dalam usaha membawa mereka pulang ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mohamed Khaled juga menegaskan kementerian ambil maklum, prihatin dan bersimpati dengan keadaan sukar serta situasi getir dihadapi pelajar Malaysia di Mesir berikutan demonstrasi jalanan selain rusuhan oleh rakyat negara itu, yang kini memasuki hari ke-10.

Beliau berkata, pelajar dan rakyat Malaysia akan dibawa ke Jeddah, Arab Saudi bagi mendapatkan perlindungan.

Katanya, Kementerian Pengajian Tinggi juga dimaklumkan mengenai pengumuman cuti beberapa universiti utama di sana, umpamanya Universiti Cairo menetapkan cuti tiga bulan, Universiti al-Azhar (setahun) dan Universiti Ain Shams pula menetapkan cuti enam bulan.

Bagi memudahkan keluarga pelajar mendapatkan status terkini mengenai anak atau ahli keluarga di Mesir, hubungi Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia, Prof Dr Ruj-han Mustafa menerusi talian +6019–270 8222 atau e-mel mrujhan@mohe.gov.my.

Mereka juga boleh menghubungi Pengarah Bahagian Pemasaran Pendidikan Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia, Dr Syed Alwee Shekh Alsagoff di talian +6019–752 0672 atau e-mel alwee@mohe.gov.my.

Seorang lagi pegawai boleh dihubungi ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Jabatan Penuntut Malaysia, Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia, Jamalulail Abu Bakar di talian +6012–931 6172 atau e-mel jamalulail@mohe.gov.my.

Sumber: Berita Harian

Untuk lebih lanjut sila baca di sini: Krisis Mesir, Nasib Pelajar Kita

~ Ya Allah! Selamatkanlah saudaraku yang masih berada di bumi Mesir Mu. Jika mereka sakit, aku turut merasakannya. Permudahkanlah segala urusan untuk menghantaran balik mereka ke tanah air tercinta, Malaysia. Amin.

~ Kerajaan Malaysia memang perlu membawa mereka (pelajar Malaysia) balik secepat mungkin kerana keadaan di Mesir sudah tidak stabil selagi mana pimpinan Hosni Mubarak menjadi tampuknya. Seperti mana kata Abah, rakyat Mesir tidak peduli siapapun asalkan keadilan untuk mereka terbalas di sana. Namun, pelajar kita yang akan terkena tempiasnya akibat kebangkitan tersebut. Saya tak sanggup nak lihat kemusnahan jiwa apatah lagi ramai pelajar perempuan Malaysia di sana.

~ Tak lupa juga untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh rakyat yang berbangsa Cina. =)