Tuesday, May 24, 2011

BAWA AIR & SERBUK PENAIK UNTUK RAWATAN ASID

Assalamualaikum w.b.t

Semoga anda sihat semua. Ada isu yang kita semua sedia maklum yang begitu menakutkan kita sejak akhir-akhir ini iaitu serangan asid yang kebanyakkan mangsanya adalah wanita. Sehingga kini, sejumlah 23 kes dilaporkan sejak Mac namun orang yang bertanggungjawab masih bebas.

Namun, terdapat cadangan dari seorang pakar kimia, Prof Dr Zainudin Arifin, yang boleh kita ambil sebagai pencegahan awal tentang serangan kes ini. Bagi mencegah kesan penghakisan teruk dan kecacatan kekal pada kulit, Zainudin daripada Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Malaya menasihatkan kaum wanita supaya membawa sebotol air dalam beg tangan mereka dan menggunakannya untuk mencuci simbahan asid jika kejadian seumpamanya berlaku kerana air adalah bahan pelarut mudah mencairkan kimia.

"Cuci bahagian badan dan bersihkan simbahan asid dengan menggunakan sebanyak air yang mungkin kerana masa amat kritikal ketika ini. Jika anda melengahkan pencucian asid itu, kesan lebih buruk dan menakutkan akan berlaku. Dapatkan sebanyak air dan berada di dalam aliran air sekurang-kurangnya 15 minit, lebih baik jika dapat 30 minit, kemudian tukar pakaian dan hanya selepas itu anda dapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata, jika serbuk penaik, sodium bikarbonat boleh diperoleh, mangsa simbahan asid boleh mencampurkannya dengan air dan meletakkan di kawasan yang terkena simbahan asid bagi meneutralkan kesan asid berkenaan.

"Jika dalam keadaan paling teruk di mana tiada air boleh diperoleh, lap kawasan yang terkena simbahan asid dengan sebersih-bersihnya," katanya.

Beliau juga mencadangkan kaum wanita menggunakan alat pelindung keselamatan seperti kaca mata besar.

Mengenai insiden simbahan asid yang berlaku di sekitar Lembah Klang ini, Zainuddin percaya bahan yang digunakan dalam serangan berkenaan bukan larutan beralkali seperti yang dilaporkan tetapi adalah asid cair.

Katanya, terdapat empat jenis asid yang lazimnya mudah diperoleh di pasaran iaitu asid formik, asid hidroklorik, asid sulfurik dan asid nitrik.

Beliau berpendapat bahawa cadangan kerajaan untuk mengawal jualan asid di pasaran tidak sesuai dan tidak akan dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

"Jika ada seorang yang lemas, adakah kita akan melarang semua orang daripada berenang?" katanya.

Beliau berkata cadangan itu juga tidak membantu kerana asid adalah bahan penting bagi kebanyakan industri pembuatan dan pertanian.

Asid boleh diperoleh dengan mudah di kedai menjual alat perkakasan dan ia juga digunakan untuk tujuan pembersihan.

"Mengenai kegunaan asasnya, asid sangat berkesan sebagai agen bagi membersihkan kotoran. Sebagai negara perindustrian, kita menggunakan banyak asid terutamanya asid sulfurik yang juga sejenis bahan yang paling banyak dikeluarkan dan bahan penghakis paling berkesan," katanya.

* Sumber: Berita Harian

~ Saya merasakan penjenayah tersebut berasa gembira jika mangsanya mengalami kecederaan apatah lagi mangsanya wanita. Tapi tolonglah hentikan.. Bayangkan jika anda sendiri yang terkena simbahan asid tersebut. Tentu merana bukan??? Fikir pula orang yang anda sayang turut mengalaminya..

Apa-apa pun dengan langkah pencegahan yang dicadangkan oleh pakar dan sikap berhati-hati kita terutamanya kaum wanita dan kanak-kanak mampu mengelakkan masalah ini menjadi lebih teruk. Ingat sentiasa peka...

No comments: