Polisi Penyusuan Susu Ibu Dunia
dan Malaysia ialah : Semua ibu digalakkan menyusui anaknya dengan susu ibu
sahaja sepanjang 6 bulan pertama dan meneruskan penyusuan sehingga usianya 2
tahun. Makanan pelengkap dimulakan pada usianya 6 bulan.
Polisi ini jelas menyatakan
HANYA susu ibu SAHAJA makanan bayi untuk 6 bulan pertamanya dan penyusuan masih
diteruskan sehinggga anak berusia 2 tahun. Nyata susu ibu sahaja tanpa air suam
mahupun susu tambahan mampu memenuhi khasiat yang diperlukan sepanjang
tumbesaran bayi.
Bila dinyatakan susu ibu adalah
makanan terbaik, ianya memberikan ruang yang longgar untuk ibu bapa untuk
memilih susu mamalia lain. Namun apabila ditekankan bahawa hanya susu ibu satu
satunya makanan yang sesuai untuk bayi mereka, ramai ibu bapa mula memahami
kepentingan susu ibu.
Kolustrum adalah susu ibu awal
Susu ibu terhasil dalam bentuk
KOLUSTRUM pada minggu pertama kelahiran. Kolustrum ialah susu awal yang likat
dan berwarna jernih malah terhasil dalam kuantiti yang sedikit. Ramai ibu bapa
beranggapan bahawa susu mereka tidak cukup untuk bayi namun hakikatnya perut
bayi yang kecil (hanya sebesar ibu jari) pada 3 hari pertama tidak memungkinkan
mereka minum dengan banyak seperti yang ibubapa jangkakan. Cukuplah kolustrum
yang mengandungi antibodi untuk melindungi anak kita daripada jangkitan
penyakit. Kurang lemak, tinggi karbohidrat, tinggi protein dan mudah dihadam.
Kolostrum juga membantu mengkumuhkan mekonium (najis pertama bayi di dalam
kandungan) dan bilirubin serta seterusnya akan mengelakkan jaundis (demam
kuning).
Kolostrum mengandungi
immunoglobulin A (IgA) yang menyaluti saluran pencernaan bayi untuk
melindunginya daripada jangkitan kuman terutama daripada mukus pada trakea,
esofagus atau di sepanjang saluran pencernaan atau kuman-kuman daripada
persekitaran.
Antara tips untuk menjayakan
penyusuan susu ibu ialah ‘menyusukan bayi seawal dan sekerap mungkin pada
tempoh awal kelahiran’. Mengikut case study, lebih awal ibu dapat menyusukan
bayi selepas melahirkan, semakin panjang tempoh penyusuan tersebut dapat
direalisasikan.
Hospital Rakan Bayi juga
memainkan peranan yang penting dalam menjayakan penyusuan susu ibu. Hospital
Rakan Bayi mempunyai anggota perubatan yang terlatih dan memahami kepentingan
susu ibu dimana tiada susu formula mahupun botol tiruan dibenarkan dibawa di
hospital.
Kolostrum akan digantikan dengan
susu matang dalam beberapa hari kemudian. Ia hanya hadir pada hari hari awal
kelahiran sahaja, berikan peluang untuk bayi mendapat imunisasi semulajadinya
yang pertama pada hari-hari pertama hayatnya supaya dia dilindungi daripada
kuman-kuman yang ada di persekitaran kita ini.
Sebaik sahaja ibu pulang dari
hospital, cabaran lain bermula. Sokongan insan sekeliling seperti ibu bapa dan
keluarga mertua amat diperlukan pada waktu ketika ini. Bayi yang baru lahir
biasanya kerap menangis walau hakikatnya menangis ialah satu satunya cara
mereka berkomunikasi. Malangnya kebanyakan tangisan bayi ditafsirkan sebagai
lapar dan keadaan ini menyebabkan bayi diberikan susu formula atau makanan
tambahan lain (seperti bijirin) bagi membuatkan mereka tidur lena.
Bayi mungkin menangis kerana
lapar, takut, sunyi, lampin basah, sakit mahupun mahu mendengar suara ibunya.
Susukan bayi sekerap mungkin dan elakkan pemberian minuman atau makanan asing
kerana usus bayi yang masih belum matang meningkatkan risiko infeksi dan
penyakit sekiranya terdedah awal dengan bendasing. Bayi yang tidur lena dan
lama bukan petanda yang baik kerana ia meningkatkan risiko SIDS (Sudden infant
death syndrome ) dan boleh menyebabkan bengkak susu terhadap ibu. Susukannya
selang 1 ke 2 jam bagi menenangkannya sekaligus melancarkan pengaliran susu ibu
yang masih belum stabil.
Cadangan kaunselor : Beri
sekurang kurangnya masa 9 bulan bagi bayi menerima keadaan sekelilingnya
berikutan 9 bulan beliau berada didalam perut dalam keadaan yang sunyi mungkin
menyebabkannya takut dan kerap menangis.
Penyusuan Susu Ibu Bagi Ibu
Berkerjaya
Bagi ibu yang akan kembali
berkerja selepas 2 bulan usia bayi, mereka boleh mula memerah susu pada usia
bayi 2 minggu. Susu boleh diperah menggunakan tangan (dengan teknik tertentu)
atau menggunakan pam susu bergred hospital. Pam yang baik menyokong ibu untuk
meneruskan penyusuan kerana sedutannya yang tidak menyakitkan. Ibu boleh
memerah susu semasa anak tidur atau mengepam sebelah payudara semasa menyusukan
anak.
Susu yang diperah boleh
dilabelkan dengan tarikh dan disimpan 3 oz satu bekas didalam peti sejuk. Susu
ibu tahan selama 3 bulan didalam peti ais 2 pintu. Cadangan kaunselor : Ibu
mendapatkan sekurang kurangnya 20 botol 3 oz = 60 oz sebelum kembali berkerja.
7 hari sebelum masuk berkerja,
ibu boleh mula menghantar bayi ke -rumah pengasuh bagi melatih bayi minum susu
ibu perahan (SIP) sewaktu ibu pergi berkerja. Ibu boleh memulakan dengan 3 jam
(pada hari pertama) dan jumlah jamnya ditingkatkan hari demi hari.
Untuk hari pertama berkerja, ibu
boleh meninggalkan 5 bekas 3 oz = 15 oz susu ibu untuk anak mereka kepada
pengasuh. Susu ibu ini perlu direndam didalam bekas air suam sebelum diberi
kepada bayi. Bayi yang minum susu ibu akan minum dalam kuantiti yang sedikit
namun kerap.
Sepanjang berkerja di ofis
(katakan 10 jam), ibu perlu mengepam 3 jam sekali 20 minit sebelah payudara
sepanjang di ofis. Pengepaman di ofis ini penting untuk membekalkan susu kepada
bayi sekaligus memberitahu badan ibu untuk terus menghasilkan susu. Ini kerana
jika tiada (atau kurang) signal yang dihantar kepada badan, badan akan berdikit
dikit menghasilkan kurang susu. Signal terhadap badan boleh dihasilkan dalam 2
bentuk iaitu bayi menyusu secara terus dengan ibu dan yang kedua ialah ibu
mengepam selang 3 jam.
Jarak yang terlalu jauh antara
tempoh pengepaman juga boleh menyebabkan susu ibu berkurangan (seperti mengepam
hanya sekali sepanjang 10 jam). Makanan tambahan mahupun suntikan hormon boleh
membantu penyusuan susu selagi badan menerima 2 signal yang dinyatakan seperti
diatas.
Perbincangan bersama majikan
adalah diperlukan bagi menjayakan penyusuan susu ibu kerana ibu perlu keluar
mengepam selang 3 jam dan keadaan ini mungkin mengambil waktu berkerja.
Kebanyakan majikan semakin menyedari kepentingan penyusuan susu ibu terhadap
keluarga amat menyokong penuh tindakan ibu dimana mereka berbesar hati
menyediakan bilik penyusuan khas untuk ibu mengepam susu.
Mengikut beberapa kajian yang
dijalankan oleh jabatan human resource, ibu yang menyusukan anak lebih jarang
mengambil cuti kerana anak sakit berbanding ibu yang menyusukan anak dengan
susu formula. Ianya satu kelebihan untuk majikan dan syarikat itu sendiri
berikutan produktiviti yang meningkat dengan penyusuan susu ibu.
Penyusuan susu ibu diketahui
umum memberikan antibodi yang ada didalam badan ibu kepada bayi. Keadaan ini
adalah berfaedah kepada bayi kerana sudah memiliki antibodi tanpa perlu sakit
terlebih dahulu.
Ramai ibu susah hati dengan 2
tahun kerana risaukan mereka tidak menghasilkan susu yang mencukupi sepanjang
tempoh itu. Sokongan suami, keluarga, pengasuh bayi dan rakan sekeliling amat
diperlukan dalam menjayakan usaha ini. Bayi yang minum susu ibu tidak minum
susu sebanyak bayi yang minum susu formula. Ini berikutan kuantiti 3 oz yang
diminumnya untuk sekali minum adalah mencukupi untuk fungsi normal badannya.
Susu ibu yang dihasilkan ibu berubah komposisinya mengikut cuaca dan usia bayi.
Kebaikan susu ibu ialah ianya bersesuaian dan berkadaran langsung dengan
keperluan bayi pada ketika itu.
Seperti yang dinyatakan diatas,
bayi yang baru lahir dengan perut yang kecil hanya memerlukan kolustrum susu
ibu yang sedikit. Malah susu ibu akan semakin banyak jika bayi semakin kerap
dan banyak menyusu.
Penyusuan melalui botol (sewaktu
ibu keluar berkerja) tidak dapat dijadikan kayu ukur dalam menentukan berapa
banyak bayi perlu minum kerana biasanya bayi akan minum lebih banyak dari yang
diperlukan. Ini berikutan ketidakbolehan mereka mengawal aliran susu daripada
botol dan tindakan menggerakkan rahang melekakan mereka (lalu menyebabkan
mereka menghabiskan susu dengan banyak).
Cadangan kaunselor kepada
pengasuh : Elakkan memberikan bayi susu pada setiap kali mereka berbunyi
sebaliknya cuba tukar lampinnya, pujuk/tepuk perlahan lahan atau ajar bayi
menghisap jarinya.
Pada permulaannya, penyusuan
susu ibu akan sedikit rumit apabila ianya masih asing dikalangan wanita
berkerjaya namun selepas beberapa bulan, ibu dan keluarga akan mula terbiasa
dan merasakan kepraktikalitiannya. Ibu bapa yang sedang menantikan kehadiran
cahayamata dicadangkan menghadiri Kelas Penyusuan Susu Ibu yang sering
dianjurkan oleh kaunselor dan konsultan laktasi di Malaysia.
Tuntutan kerja rumah &
menyusukan anak sering bertembung dan ibu akan lebih cepat berasa letih dan
memberhentikan penyusuan susu ibu.
Kerana itu perhatian dan
sokongan suami amat diperlukan demi meneruskan penyusuan selama mungkin.
Seperti yang dinyatakan didalam Al-Quran mengenai kewajipan menyusukan anak
sehingga 2 tahun, kerjasama semua pihak amat dituntut.
Bagi ibu yang tidak dapat
menyusukan anak (mungkin atas faktor kesihatan), mereka digalakkan mencari ibu
susuan untuk menyusukan bayi mereka. Ini kerana hanya susu manusia yang
bersesuaian dengan perkembangan tubuh badan dan otak bayi manusia yang mana
susu mamalia lain hanya memenuhi kriteria perkembangan anak mamalia tersebut.
Mengikut Akademi Pakar Kanak
Kanak Amerika, bayi yang disusukan dengan susu ibu akan mencapai pertumbuhan
yang lebih cepat berbanding jika disusukan dengan susu formula. Ini kerana
pertumbuhan bayi dirangsang pada setiap kali proses penyusuan berlangsung.
Tahukah anda bahawa bayi menggunakan 44 otot semasa menyusu dengan ibunya
berbanding 4 otot ketika menyusu dari botol? Ini menyebabkan bayi yang menyusu
susu ibu lebih cepat bercakap, berpusing, meniarap, merangkak seterusnya
bertatih dan berjalan. Malah jarak pandangan mata yang tercapai oleh bayi baru
lahir ialah antara payudara dengan mata ibu ketika menyusu. Interaksi dan
sentuhan berterusan semasa ibu dan bayi sedang menyusu menggalakkan pertumbuhan
fizikal dan emosi bayi yang baik.
Penyusuan susu ibu menjadikan
anda benar benar ibu bila mana hanya anda yang boleh menyusukan anak anda (semasa
ibu dirumah) dan bayi disusukan dengan susu ibu biarpun ibu keluar berkerja.
Sumber: Luna Family
1 comment:
susu ibu adalah yg terbaik utk bayi.
Terima kasih untuk info.
The Best Milk Booster
Post a Comment