Semua yang ada di dalam majlis ketika itu terkejut dengan keberanian pemuda ini. Maka bermulalah perdebatan di an
tara
mereka. Bila mana pemuda ini duduk duduk pada tempat yang disediakan
maka serentak dengan itu salah seorang Atheis terus mengajukan soalan:
Soalan Pertama
Atheis: “Pada zaman bilakah Tuhan kamu dilahirkan?”
Pemuda tersebut tersenyum lalu menjawab: “Allah Taala tidaklah sesuatu
yang dilahirkan. Jika Dia dilahirkan sudah tentu Dia punya bapa, Allah
juga tidak melahirkan. Jika Dia melahirkan maka sudah tentu Dia punya
anak.”
Soalan Kedua
Atheis: “Kalau begitu, bilakah pula Tuhan kamu wujud?”
Pemuda itu seraya menjawab: “Allah Taala itu wujud sebelum adanya
zaman, sedangkan zaman itu sendiri adalah ciptaanNya, mana mungkin
pencipta wujud selepas makhluk ciptaanNya.”
Soalan Ketiga
Atheis: “Cuba kamu berikan kepada kami sedikit gambaran tentang
kewujudan Tuhan kamu yang tiada permulaan ini. Bagaimana mungkin sesuatu
itu ada tanpa ada permulaannya?”
Pemuda itu menjawab: “Kamu pandai mengira?”
Kelompok Atheis itu menjawab: “Tentu sekali kami pandai mengira.”
Pemuda itu meneruskan ucapannya: “Bolehkah kamu beritahu aku apakah nombor sebelum nombor empat (4)?”
Atheis: “Nombor 3″
Pemuda: “Nombor sebelum 3?”
Atheis: “Nombor 2″
Pemuda: “Nombor sebelum 2?”
Atheis: “Nombor 1″
Pemuda: “Nombor sebelum 1?”
Atheis: “Tiada”
Pemuda itu tersenyum lalu memberikan penerangan: “Nah, kamu sendiri
mengakui bahawa nombor 1 sebelumnya tiada mulanya. Nombor yang merupakan
ciptaan Allah ini sendiri kamu akui bahawa tiada permulaan baginya.
Apatah lagi pencipta kepada nombor itu sendiri?”
Terpinga-pinga
kelompok Atheis tersebut dengan jawapan yang padat dan bernas daripada
pemuda itu. Ternyata mereka silap perkiraan bila mana berhadapan dengan
anak muda ini. Pada mulanya mereka merasakan bahawa anak muda ini mudah
dikalahkan, namun telahan mereka ternyata menyeleweng. Mereka perlu
lebih berhati-hati.
Soalan Keempat
Atheis: “Tahniah anak
muda di atas jawapanmu sebentar tadi. Jangan sangka kamu berada di dalam
keadaan yang selesa. Baik, tolong kamu terangkan kepada kami, pada
bahagian manakah Tuhan kamu mengadap?”
Pemuda itu menjawab: “Jika
aku bawa sebuah pelita yang dicucuh dengan api ke sebuah tempat yang
gelap, pada arah manakah cahaya pada api tersebut mengadap?”
Kelompok Atheis menjawab: “Cahaya itu tentulah akan menerangi keseluruhan arah.”
Pemuda itu berkata: “Jika cahaya yang diciptakanNya itu pun kamu semua
tidak mampu menerangkan pada arah manakah ia mengadap, inikan pula Sang
Pemilik Cahaya langit dan bumi ini sendiri?”
Kesemua hadirin yang mendengar jawapan daripada pemuda itu bersorak kegembiraan. Kagum mereka dengan kepetahan anak muda itu.
Soalan Kelima
Atheis: “Bolehkah kamu terangkan kepada kami, bagaimana zat Tuhan kamu?
Adakah ianya keras seperti besi? Atau jenis yang mengalir lembut
seperti air? Atau ianya jenis seperti debu dan asap?”
Pemuda itu
sekali lagi tersenyum. Beliau menarik nafas panjang lalu menghelanya
perlahan-lahan. Lucu sekali mendengar persoalan kelompok Atheis ini.
Orang ramai tertunggu-tunggu penuh debaran apakah jawapan yang akan
diberikan oleh pemuda itu.
Pemuda itu menjawab: “Kamu semua tentu pernah duduk disebelah orang yang sakit hampir mati bukan?”
Atheis menjawab: “Tentu sekali.”
Pemuda itu meneruskan: “Bila mana orang sakit tadi mati, bolehkah kamu bercakap dengannya?”
Atheis menjawab: “Bagaimana mungkin kami bercakap dengan seseorang yang telah mati?”
Pemuda itu meneruskan: “Sebelum dia mati kamu boleh bercakap-cakap
dengannya, namun selepas dia mati, terus jasadnya tidak bergerak dan
tidak boleh bercakap lagi. Apa yang terjadi sebenarnya?”
Kelompok
Atheis tertawa lalu memberikan jawapan: “Adakah soalan seperti ini kamu
tanyakan kepada kami wahai anak muda? Tentu sekali seseorang yang mati
itu tidak boleh bercakap dan bergerak . Ini kerana rohnya telah terpisah
daripada jasadnya.”
Pemuda itu tersenyum mendengar jawapan
mereka lalu berkata: “Baik, kamu mengatakan bahawa rohnya telah terpisah
daripada jasadnya bukan? Bolehkah kamu sifatkan kepada aku sekarang,
bagaimanakah bentuk roh tersebut. Adakah ianya keras seperti besi, atau
ianya mengalir lembut seperti air atau ianya seperti asap dan debu yang
berterbangan?”
Tertunduk kesemua Atheis tersebut bila mana
mendengar persoalan pemuda bijak tersebut. Ternyata olokan mereka
sebentar tadi kembali tertimpa ke atas mereka.
Kelompok Atheis menjawab dengan keadaan penuh malu: “Maaf, tentu sekali kami tidak dapat mengetahui bagaimana bentuknya.”
Pemuda itu lalu meneruskan bicaranya: “Jika makhluknya seperti roh itu
pun kamu tidak mampu untuk menerangkannya kepada aku, bagaimana mungkin
kamu ingin menyuruh aku menerangkan bagaimana bentuk Tuhan Pemilik Roh
serta sekalian alam ini?”
Soalan Keenam
Atheis: “Di manakah Tuhan kamu duduk sekarang?”
Pemuda itu kembali bertanyakan soalan kepada mereka: “Jika kamu
membancuh susu, tentu sekali kamu mengetahui bahawa di dalam susu
tersebut ada terdapat lemak bukan? Bolehkah kamu terangkan kepada saya,
dimanakah tempatnya lemak tersebut berada?”
Kelompok Atheis
menjawab: “Kami tidak dapat menerangkan kepadamu dengan tepat kedudukan
lemak di dalam susu tersebut. Ini kerana lemak itu mengambil keseluruhan
bahagian susu tersebut.”
Pemuda itu seraya berkata: “Kamu
sendiri lemah di dalam memberikan jawapan terhadap persoalan aku
sebentar tadi. Jika lemak di dalam susu pun tiada tempat yang khusus
baginya, masakan pula kamu ingin mengatakan bahawa Tuhan Pemilik Arasy
itu ada tempat duduk khusus bagiNya? Sungguh aku pelik dengan
persoalan-persoalan kamu ini.”
Soalan Ketujuh
Atheis:
“Kami pelik bagaimana jika masuk ke dalam syurga ada permulaannya (iaitu
selepas dihisab oleh Allah Taala di padang Mahsyar) namun bila mana
sudah berada di dalamnya maka tiada lagi pengakhirannya (maksudnya tiada
kesudahannya dan akan selama-lamanya di dalam syurga)?”
Pemuda
itu tersenyum lagi lalu menjawab: “Mengapa kamu pelik dengan perkara
tersebut. Cuba kamu lihat pada nombor. Ianya bermula dengan nombor satu
bukan? Namun bolehkah kamu terangkan kepada aku apakah nombor yang
terakhir di dalam senarai nombor?”
Terkelu kelompok Atheis ini untuk memberikan jawapan. Tentu sekali nombor tiada kesudahannya.
Pemuda itu tersenyum melihat kelompok Atheis ini terkebil-kebil tidak mampu memberikan jawapan.
Kemudian beliau menyambung bicaranya: “Nah, kamu sendiri tidak mampu
untuk menerangkan kepadaku apakah nombor terakhir bukan? Jawapannya
sudah tersedia di hadapan mata kepala kamu.”
Soalan Kelapan
Atheis: “Kami ingin bertanya lagi, bagaimana mungkin seseorang di dalam
syurga menurut Nabi kamu tidak akan kencing dan berak. Sedangkan mereka
juga makan dan minum? Ini adalah perkara yang tidak masuk akal.”
Pemuda itu tenang membetulkan kedudukannya. Lalu beliau menjawab: “Aku
dan kamu sebelumnya pernah berada di dalam perut ibu sebelum dilahirkan
bukan? Sembilan bulan di dalam perut ibu, kita juga makan daripada hasil
darah ibu kita. Persoalanku, adakah kamu buang air kecil dan besar di
dalam perut ibumu? Sedangkan kamu juga makan di dalamnya?”
Sekali lagi kelompok ini terdiam membisu seribu bahasa. Padat sekali jawapan anak muda ini.
Soalan Kesembilan
Ia soalan terakhir yang ditanyakan oleh kelompok Atheis tersebut kepada
pemuda itu bila mana mereka telah mati kutu dan sudah terlampau malu
ialah berkenaan: “Jika kamu terlalu bijak , apakah yang dilakukan oleh
Tuhanmu sekarang?”
Maka pemuda itu menjawab dengan tenang:
“Sebelum aku memberikan jawapan kepadamu, eloklah kiranya kita bertukar
tempat. Ini kerana kamu berada pada tempat yang tinggi sedang aku berada
di bawah. Jawapan hanya boleh diberikan bila mana aku berada di atas
mengambil alih tempatmu.”
Kelompok Athies itu lalu bersetuju
dengan cadangan pemuda tersebut, lalu mereka bertukar tempat.
Pemuda itu
naik ke atas, manakala sang Atheis turun ke bawah.
Bila mana
pemuda itu sudah berada di atas, terus beliau menjawab: “Kamu bertanya
sebentar tadi apakah yang Tuhanku lakukan sekarang bukan? Jawapannya
ialah, Tuhanku sedang meninggikan yang Haq (dengan menaikkan pemuda itu
ke atas) dan menurunkan yang Batil (dengan menurunkan kelompok Atheis
tersebut ke bawah).”
Akhirnya mereka mengakui bahawa tiada lagi
persoalan yang ingin ditanyakan malah kesemuanya telah dipatahkan oleh
pemuda itu dengan penuh hikmah.
Walau sudah hampir ribuan tahun
pemuda itu meninggalkan kita, namun namanya disebut orang seolah-olah
beliau masih hidup di sisi kita.
Al-Fatihah buat al-Imam
al-A’dzam Abu Hanifah Nu’man bin Thaabit r.a serta kepada seluruh
gurunya dan kesemua muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup atau
yang telah wafat.
- Syeikh Nazrul Nasir Al-Azhari