Saturday, December 18, 2010

MENETAPKAN AZAM MENGIKUT CARA ISLAM

Assalamualaikum w.b.t.

 (hidup bukan hanya dengan menunggu sahaja tetapi berusahalah...)

Moga anda semua sihat hendaknya. Selamat ulang tahun kelahiran buat sesiapa yang menyambut hari lahir pada hari ini dan selamat pengantin baru buat sesiapa yang melansungkan majlis berbahagia tersebut. Banyak sebenarnya dapat jemputan kenduri, tapi ada yang saya tak berkesempatan untuk pergi..

Pagi begini selalunya lepas sarapan, saya baca surat khabar sambil berborak dengan ahli keluarga. Suka sangat melihat Ummi mengusik Abah. Umur nak masuk angka emas ni, lucu bila melawak. Ini terbukti apabila melihat Ummi dan Abah bergurau. Cute sangat...

Dan jika saya berkesempatan, waktu sebegini saya membuka email melihat info-info yang diberikan. Dapatlah beberapa motivasi pagi yang saya terima. Macam saya pernah maklumkan sebelum ni, saya suka berkongsi ilmu yang ada. Tak banyak pun tak apa kan? Untuk peringatan bersama..Lagipun takkan nak simpan sorang je..

Memandangkan tahun 2010 bakal berakhir, sudah pasti ada yang membuat perancang awal untuk tahun berikutnya. Mana perancangan yang tak terberes, akan di bawa ke tahun depan. Begitu juga dengan azam. Pasti ada azam baru yang ingin dilakukan dan dilaksanakan sehingga jayanya.

Mengikut kalender Islam pula, kita sudah berada pada 12 Muharam 1432 H. Azam apa yang diminta? Sudahkah anda memulakannya?

(kuatkan azam untuk menjadi Muslim yang terbaik)

Berikut adalah senarai 5 tips ringkas bagaimana menetapkan azam tahun baru, sesuai dengan ajaran Islam yang menjadi pegangan kita bagi sesiapa yang belum menetapkan azamnya.

1. Niatkan Azam Itu Kerana Allah.

Niatkan azam Anda kerana Allah. Anda mahu capai azam yang Anda set kerana Allah. Tanamkan kepercayaan yang DIA mahu melihat Anda menjadi muslim serta muslimah berjaya supaya dengan kejayaan itu, Anda boleh ajak muslim dan dan muslimah lain untuk berjaya seperti Anda. Andalah menjadi bukti bahawa kejayaan adalah possible, bukan impossible. Anda menjadi bukti Allah buka jalan kepada sesiapa saja yang berusaha.


Point saya: Selalu kita terlepas pandang tentang hal ini. Biasanya kita tidak sandarkan azam kita pada suatu zat yang betul. Mungkin sebab itulah kita tidak mendapat keberkatanNYA. Tapi mulai saat ini, sandarkanlah azam itu kepada Allah. Moga kita tidak lari dari mendapatkanNYA. Dan InsyaAllah, pasti kita selalu dilindungiNYA.


2. Anggap Kerja Keras Ke Arah Pencapaian Azam Sebagai Ibadah.


Usaha memburu kejayaan sebenarnya satu ibadah, yakni ibadah sunat. Tiap kali berusaha, niatkan kerana Allah supaya apa yang Anda buat menjadi ibadah. Moga apa yang Anda lakukan di balas dengan pahala, sebab menjadi ibadah. Moga dengan itu, jalan untuk Anda berjaya dipermudahkan, tanda keredhaan Allah kepada usaha Anda. Bekerja dan berusaha untuk mencapai apa jua azam adalah cara untuk Anda mendekati Tuhan. Tanpa niat, apa yang Anda lakukan tidak menjadi ibadah.

Point saya: Setuju! Gantunglah segala azam tahun baru anda sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kepadaNYA. Biar hidup kita lebih terarah dan bertujuan.

 (berdoalah kepadaNYA)

3. Lebihkan Hablum Minannas, Jangan Kurangkan Hamblum Minallah.

Apa jua yang Anda capai, pastikan Anda mendahulukan Yang Maha Esa. Berbaktilah kepada orang sekeliling supaya dengan itu Anda mendapat redha Allah. Set azam untuk berbakti kepada insan di sekeliling Anda. Erti takwa yang sebenar adalah rasa terdorong untuk berbakti kepada orang sekeliling sebanyak mungkin (hablum minannas) dalam masa yang sama tetap menjaga hubungan erat dengan Tuhan (hablum minallah). Pastikan azam Anda tu mendorong Anda untuk berbakti kepada orang sekeliling, supaya jalan untuk Anda mencapai azam Anda dibuka serta dipermudahkan.

Point saya: Di sini, kita tak boleh nak mendapat nikmat seorang sahaja. Sebab manusia saling bergantungan. Kebaikkan yang kita nak buat selalunya datang dari orang lain yang memerlukan. Jika kita mampu, berbuat baiklah selagi terdaya dengan seikhlas hati. Dengan itu apa yang kita hajati, Allah permudahkan urusan kita kerana kita tidak lupa mereka yang lain terutamnya dengan Ibu Bapa kita.

4. Set Untuk Kebaikan Bersama.

Apa jua yang Anda mahu capai sebagai azam Anda, niatkan untuk kebaikan bersama bukan untuk kepentingan peribadi Anda seorang. Islam galakkan kita buat sesuatu untuk kebaikan bersama. Anggap kejayaan yang Anda mahu capai adalah untuk kebaikan bersama. Jika Anda mahu menjadi suami cemerlang, niatkan untuk kebahagiaan isteri Anda dan untuk anak-anak Anda. Jika Anda mahu berjaya dalam perniagaan, niatkan kejayaan itu untuk kebaikan Anda, keluarga Anda dan untuk kebaikan pelanggan-pelanggan Anda. Jika Anda mahu berjaya dalam pekerjaan, niatkan untuk kebaikan Anda bersama rakan-rakan Anda, bukan bangga kerana Anda lebih berjaya daripada mereka.

Point saya: Hidup adalah memberi dan berbagi. Tak banyak pun tak mengapa. Asalkan untuk dimanfaatkan bersama. Siapa tahu, dengan kita berniatkan untuk kebaikan bersama, kita dapat rezeki dari orang disekeliling kita sendiri.

5. Elak Dikuasai Ego, Elak Merasa Diri Lebih Bagus.

Jangan set azam semata-mata untuk menunjuk-nunjuk. Jangan set azam semata-mata untuk bermegah. Jangan set azam Anda pada orang hanya untuk membuat mereka kagum pada Anda. Amalkan 4 tips di atas langkah demi langkah. Anda akan mempunyai dorongan motivasi untuk bergerak mencapai azam Anda. Tapi jika azam tu di set hanya untuk menunjuk-nunjuk, untuk bermegah, untuk bermewah-mewah, usaha Anda ke arah azam itu akan mengalami kesukaran.

Anda tak akan ada motivasi. Anda akan hilang semangat, hilang inspirasi. Anda akan tertekan. Anda tak mencapai satu apapun, Anda akan gagal, usaha lagi, gagal lagi. Jika Anda kerap gagal, pasti ada ‘something wrong’ dengan nawaitu Anda. Mungkin Anda mahu berjaya sebab Anda nak menunjuk-nunjuk kehebatan dengan rasa megah, bukan untuk berbakti.

Point saya: Seboleh mungkin, jangan sesekali berasa riak, ujub dan yang seumpama dengannya. Kita tidak tahu apa yang berlaku jika tanpa sedar telah bersikap demikian. Mungkin ada yang terkecil hati dengan sikap menunjuk kita atau apa saja yang membuatkan orang lain rasa semacam dengan kita. Bersederhanalah dalam semua aspek kehidupan...InsyaAllah, urusan dalam mencapai impian dan azam kita akan dimudahkan dan diredhai Allah.

Sumber: imotivasi


~ Hidup bukan untuk menangisi sesuatu yang telah berlaku.. Apa yang terjadi, pelajarilah kembali untuk dipulihkan supaya hidup menjadi bererti dengan petunjukNYA. Tiada insan yang sempurna. Akuilah hakikat itu..

Friday, December 17, 2010

3 Langkah Bagaimana Menjadi Wanita Berfikiran Positif Tiap Hari

Assalamualaikum w.b.t

(warnailah hidup kita dengan lakaran yang indah..positif!!)

Bertemu kita sekali lagi dengan penghulu segala hari, Sayyidul Ayyam.. Apa khabar sahabat semua? Moga hari ini lebih baik dari semalam.. Tetapkan dalam diri anda untuk melakukan yang terbaik pada hari ini...

Saya tidak ke mana-mana hari ini. Jika ada pun sekadar mengulangkaji untuk kertas peperiksaan seterusnya dan melihat facebook atau email yang dihantar. Biasanya rakan sekelas akan menghantar perutusan melalui kedua medium tersebut.

Sebenarnya, sangat bijak jika anda tahu menggunakan segala teknologi yang ada untuk ke arah kebaikan. Macam facebook misalnya, untuk urusan peribadi tu, saya tidak mahu sentuh, terpulang pada anda. Namun andai medium yang ada itu membolehkan anda berkongsi ilmu yang bermanfaat kepada rakan, ia wajar diteruskan dengan niat untuk mengingatkan antara satu sama lain.

Pensyarah saya cukup 'berangin' bila facebook dijadikan sebagai ruang perbualan kosong yang tidak mendatangkan faedah apatah lagi melalaikan. Banyak kali beliau pesan supaya setiap Muslim membincangkan topik yang mampu menjana minda untuk membina kejayaan, cari peluang perniagaan dan sebagainya. Segan pula saya dibuatnya. Ini kerana saya merasakan, jika ada masa, pensyarah tersebut akan 'berjalan' melihat keadaan anak didiknya.. Huhuhu..

Woha... Tersasar jauh dari topik asal.. Patah balik ye.. Celoteh je tadi tu.. Tapi ada isi yang perlu kita renungkan.

Saya kira tips ini bukan hanya berguna untuk wanita namun sama penting juga buat lelaki di luar sana. Saya dapat dari imotivasi.

(buka minda anda untuk melihat keindahan disebalik masalah yang datang)


Wanita berfikiran positif adalah wanita bersemangat, berinspirasi, mendahulukan Tuhan dalam setiap perkara, bersangka baik dengan masalah serta senang didampingi sesiapa saja. Berikut adalah 3 langkah asas bagaimana menjadi wanita berfikiran positif setiap hari.

Langkah 1: Bersangka Baik Dengan Situasi Buruk.

Masalah, cabaran dan situasi buruk tetap akan datang dari berbagai arah. Anda tak boleh elak, tak boleh sembunyi, tak boleh lari. Untuk menjadi wanita berfikiran positif, anggap masalah sebagai peluang untuk memajukan diri. Anggap cabaran sebagai peluang untuk Anda mendiskaver kekuatan serta bakat Anda. Jadikan situasi buruk sebagai peluang untuk Anda memperbaiki diri menjadi orang baru, memperbaiki pemikiran dan memperbaiki tindakan.

Diriku: Yup, masalah memang tetap ada samada dari diri atau dari keadaan sekeliling. Berlapang dada walaupun kelihatan sukar dengan masalah tersebut. Suka saya menyatakan, masalah itu indah. Dari situ kita tahu siapa kita.

Langkah 2: Memaafkan Kesalahan Orang Lain Sebelum Anda Tidur.

Ego, sikap panas baran serta kesombongan membuat Anda sukar memaafkan. Oleh kerana itu, fikiran pun terbentuk penjadi fikiran negatif. Turunkan ego Anda, buang sikap panas baran, buang kesombongan. Jadilah seorang pemaaf. Maafkan kesalahan orang lain yang Anda tak puas hati dari sebesar-besar kesalahan hinggalah ke sekecil-kecil kesalahan. Amalkan memaafkan kesalahan semua orang pada Anda dari dulu sampai sekarang. Bila bangun keesokan paginya, Anda akan rasa ‘feel good’. Anda akan jadi bersemangat.

Diriku: Saya sudah, sedang dan masih amalkan lagi petua ini. Hidup ni tak lama.. Tak guna nak menongkat langit. Jika kita nak orang sayang (memaafkan kita), belajarlah memaafkan orang lain terlebih dahulu. InsyaAllah wajah dan diri kita akan tenang...

Langkah 3: Biar Anda Kuasai Emosi, Bukan Emosi Kuasai Anda.

Wanita sinonim dengan air mata kerana emosi wanita amat sensitif. Nak menjadi wanita berfikiran positif Anda perlu tabah serta mahir mengawal emosi. Dalam apa jua perkara, kawal emosi Anda. Anda boleh berlatih mengawal emosi dengan bertenang selalu, be in control, pamerkan air muka yang tenang serta amalkan meditasi ringkas (duduk diam, tenangkan fikiran) selepas selesai sembahyang. Meditasi ringkas di iringi zikir-zikir Asmaul Husna membuat Anda mahir mengawal emosi. Lama kelamaan Anda akan mahir menahan marah, menahan tekanan, sentiasa tenang.

Diriku: Masih belajar ke arah untuk mengawal emosi. Dah dewasa ni kena fikir cara dewasa dan matang. Saya memang dapat rasakannya bila kita mampu mengawal emosi. Bukan bererti kita kalah dengan masalah tapi kita mengumpul kekuatan untuk mengatasi masalah. Serius beb... Cubalah.. Si dia juga banyak pesan sebegini..

~ “a strong flame does not burn out, no matter how big the wind is”

Thursday, December 16, 2010

6 PETUA UNTUK BERJAYA

Assalamualaikm w.b.t

(Nikmati hidup dengan sebaiknya...bangkit dari kesilapan lalu untuk mendapatkan kejayaan yang diingini)

Alhamdulillah, saya baru selesaikan dua kertas peperiksaan untuk semester ini. Berbaki 3 paper lagi. Semuanya saya serahkan pada Allah s.w.t. Nak kata tak puas hati tu, biar jelah.. Dah lepas pun.. Saya cuba jawap exam sebaik  mungkin.

Di sini saya ingin berkongsi apa yang saya baca. Dipetik dari ILuvIslam. Rasanya mampu menaikkan semangat bagi sesiapa yang berputus asa.. Untuk orang yang berfikiran positif, kita perlu belajar bagaimana melihat setiap masalah menjadi ubat yang baik untuk membina kehidupan..


1. Setiap Insan Yang Hidup Mempunyai Masalah

Apakah masalah anda? Anda tidak mempunyai pekerjaan? Mungkin anda berfikir bahawa setelah mendapat pekerjaan semua masalah akan lenyap. Mereka yang mempunyai pekerjaan juga bermasalah. Mereka mengeluh kerana terpaksa bangun pagi untuk ke tempat kerja setiap hari kerja. Dan ratusan, mungkin ribuan pekerja mendapat kerja yang tidak mereka sukai.

Sesetengah  orang pula beranggapan bahawa masalah mereka timbul kerana terpaksa melapor diri kepada seorang ketua. Tetapi ramai ketua yang menghadapai masalah, sama ada dari segi perhubungan atau pun pengurusan kakitangan.

Jadi bagaimanakah keadaan dengan mereka yang berjaya? Adakah mereka terkecuali daripada menghadapi masalah? Sebenarnya setiap kejayaan tidak menghapuskan masalah, ia melahirkan masalah yang baru. Terimalah ini sebagai satu hakikat hidup seharian.
 
2. Setiap Masalah Mempunyai Jangka Masa Yang Terhad

Setiap masalah akan berakhir. Lambat laun ia akan pergi jua.

Ketepatan kenyataan ini adalah jelas kalau kita menoleh kebelakang melihat sejarah manusia. Tamadun manusia menghadapi detik-detik kegemilangan dan juga kejatuhannya. Institusi kamanusiaan yang menghadapi suasana kemelesetan akan satu ketika nanti menuju kemercu kejayaan secara perlahan-lahan.

(InsyaAllah ujian yang dilalui akan mendatangkan hasil yang baik jika kita bersabar)


3. Setiap Masalah Harus Mempunyai Pengaruh Positif

Setiap masalah mengandungi bahan atau ramuan rahsia potensi yang kreatif, sama ada untuk diri anda atau pun orang lain. Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh dijadikan modal perniagaan yang menguntungkan untuk orang lain. Contohnya, seseorang yang pernah diisytiharkan muflis oleh mahkamah boleh bertindak sebagai seorang panasihat kepada mereka yang akan diumumkan sebagai muflis.

Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh memberi kesempatan atau peluang baik kepada orang lain.

4. Setiap Masalah Boleh Mengubah Sikap Anda

Sebagai contoh, kita kadang kala tersua dengan seorang jurujual yang berjaya. Tetapi bila diselidiki, ia berkelulusan dalam bidang sejarah dan pendidikan yang tidak ada kaitan dengan kerjayanya.

Sebenar ia dahulunya bekerja sebagai guru. Tetapi sebagai seorang guru yang menjemukan, ia telah menimbulkan banyak masalah kepada majikannya hingga ia diberhentikan kerja. Kerana marah disebabkan pemberhentian kerjanya, ia berazam untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa ia juga boleh berjaya dalam hidup.

Kini ia bersyukur kerana dibuang kerja kerana peristiwa itu membuat ia sangat marah hingga bertekad untuk terus berusaha hingga berjaya.

5.  Anda Boleh Buat Pilihan Untuk Mengawal Masalah

Anda mungkin tidak dapat mengawal masalah. Tetapi anda boleh merancang tindakan balas terhadapnya. Sekiranya anda mengawal rancangan tindakan balas terhadap masalah hidup, bermakna anda telah dapat mengawal masalah yang melanda diri sendiri.

Masalah boleh membuat anda lemah atau sebaliknya. Ia juga boleh membuat anda hidup dengan lebih baik ataupun menderita. Semuanya bergantung kepada diri anda.

6. Setiap Masalah Mempunyai Tindak Balas Yang Negatif dan Positif

Akhir sekali, orang-orang yang cekal hati boleh terus hidup walaupun dalam keadaan yang menyulitkan. Kerana mereka memilih untuk bertindak balas secara positif dalam keadaan sulit atau berbahaya walaupun ia bukan satu perkara yang mudah.

Misalnya, apakah tindak balas positif jika seseorang itu menghadapi masalah kewangan yang rumit? Dalam situasi ini apakah tindakan positif yang harus diambil? Larikan diri daripada penagih hutang? Mencari jalan keluar seperti minum hingga mabuk atau sebagainya?

Tidak! Tindakan balas negatif itu hanyalah penyelesaian sementara yang boleh membuahkan lain-lain masalah baru.

(Jika keazaman sudah ada, mulakan apa yang telah anda ucapkan. Jangan toleh belakang lagi..)


Tindakan positif terhadap masalah itu memerlukan semangat yang kuat untuk membuat langkah pertama. Ia memerlukan keberanian untuk bersemuka dengan penagih hutang dan berunding secara jujur dan terus terang. Jika mereka berkeras, maka jalan paling baik yang harus diambil secara undang-undang dan terhormat ialah menerima diisytiharkan sebagai muflis oleh mahkamah.

Pendek kata "Sekiranya anda tidak dapat selesaikan masalah, maka anda harus mengendalikannya".

~ Tak sabar nak kerja lepas tamat belajar nanti...

Sunday, December 12, 2010

BEST OF LUCK FOR FINAL EXAM!!! Chayok3x

Assalamualaikum w.b.t.


Pemberitahuan untuk sahabat-sahabat Marjan Ibtisam.. Tuan rumah akan menjalani peperiksaan akhir semester berdasarkan jadual yang tertera berkuat kuasa Isnin ini. Sehubungan dengan itu, tuan rumah memohon maaf andai ada tersilap bicara ketika tuan rumah berkongsi ilmu dengan para sahabat semua. Walaupun artikel atau apa-apa yang tersiar di sini bukan sepenuhnya milik saya, namun saya merasakan ia sangat berguna untuk peringatan bersama. Sesungguhnya yang baik itu dari Allah s.w.t dan yang buruk dan lemah itu dari kekurangan saya sebagai manusia biasa..

Di bawah ini jadual peperiksaan MBA Muamalah saya. Doakan kejayaan saya ye sahabat semua...


Dengan makluman tersebut, tuan rumah akan berehat sementara waktu untuk memberi tumpuan kepada masa depan tuan rumah.. Namun sekerinya tuan rumah berasakan ingin berkongsi sesuatu yang baik, insyaAllah akan diberikan dan disiarkan di laman tuan rumah ini (n_n)


Selain itu, selepas menghadapi peperiksaan akhir, sekali lagi tuan rumah akan membentangkan tesis atau kajian ilmiah pada 31 DESEMBER 2010. Untuk makluman sahabat, tuan rumah pernah melalui viva ketika di zaman degree dulu..(ala tahun lepas je pun..). Sekarang ni aura nya sudah lain, level master pula...

Mohon maaf sekali lagi andai ada yang tak memuaskan hati sahabat semua.. Tak sempat ziarah sahabat ke, tak komen ke, tak follow ke... Maaf ye..

"Ya, Allah! Mudahkanlah setiap urusan hambaMu ini.. Ujian ini adalah syarat untuk aku berkhidamat sebagai khalifahMu dimuka bumi ini.. Moga kejayaan yang sangat cemerlang mengiringi setiap langkahku untuk menuju kepadaMu disamping dapat berbakti kepada orang tuaku, keluarga, masyarakat dan agama. Murahkanlah rezekiku untuk mendapatkan apa yang aku cita-citakan selama ini.." Amin..

~ Turut ditujukan buat semua sahabat MBA saya.. Moga kejayaan milik kita bersama... InsyaAllah

Saturday, December 11, 2010

MUHASABAH BERSAMA ~ SUATU RENUNGAN

Assalamualaikum w.b.t

Saya dapat info menarik sebagai renungan bersama..



Adakah anda tahu apa itu istidraj?

Istidraj adalah kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang yang terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakakah maksud istidraj?

Istidraj adalah, apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dari-Nya. Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak menjalankan cara ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.

Contoh manusia yang mendapat istidraj ini banyak. Contoh yang mudah. Adalah Qarun. Apakah anda kenal kepada Qarun? Dia ini adalah seorang manusiayang teramat kaya. Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah. Tetapi bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab,
“Tidak, semua ini adalah hasil dari ilmuku”

Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat di dalam Al-Quran. Apakah itu yang kita mahu?

Oleh itu, mari berfikir bersama, apakah yang akan timbul di dalam hati kita apabila insan yang melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kita berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan... Apakah yang agaknya akan timbul dalam jiwa kita? Saya yakin, 99% akan merasa begini, “Tengok, aku tak solat pun berjaya. Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”Apakah yang akan terjadi kepada anda ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda semakin jauh dari ALLAH. Itulah istidraj…

Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Silap tu.. Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada ALLAH bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari. Tetapi keredhaan ALLAH S.W.T yang kita cari sebagai bekalan dan tanda syukur kita pada setiap pemberianNYA.

Maka jangan risau bila kita tidak berjaya mendapatkan apa yang kita inginkan. Cuba dan usaha lagi. Hubungan keimanan kita dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu kita perhatikan. Jika kita berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insyaALLAH, datanglah badai apa sekalipun, kita akan mampu melaluinya…

Sebenarnya, ALLAH suka menguji hamba-hamba-Nya yang beriman.. :)

* Sumber dari facebook dan blog Peribadi Rasulullah..

~Kehidupan memang sangat kompleks dan unik... Tiada yang sempurna kecuali Allah... Hanya yang beriman akan mengambil iktibar di atas apa yang berlaku... Mereka mampu berfikir untuk melihat hikmah yang terjadi..

Friday, December 10, 2010

KEKUASAAN ALLAH

Kerajaan semut di bawah tanah sebagai renungan dan tanda berfikir dari semua aspek;rajin bekerja, tolong menolong, hidup ini bukan milik kita tetapi milik Allah, ilmu Allah sangat luas,luaskan pandangan,insaf dengan diri dll...

Sleeping vs. Prayer فاكرين؟ الصلاة خير من النوم؟



Pilih lah untuk mendekatkan diri pada Allah dari hasutan syaitan...