Saturday, December 31, 2011

SIAPA WANITA CANTIK ITU?

Siapakah wanita cantik itu? :)

✔ Dia melukis kekuatan melalui masalah

✔ Dia tersenyum saat tertekan

✔ Dia tertawa saat hati sedang menangis

✔ Dia tabah saat dihina
✔ Dia mempersona kerana memaafkan
 

✔ Dia mengasihi tanpa balasan
 

✔ Dan Dia bertambah kuat dalam doa dan pengharapan Ilahi♥

Share from facebook

~ Tik tok tik tok...Semoga tahun baru yang bakal tiba memberikan rezeki dan keberkatan dalam hidupku..amin

1 JAM TANPA DOSA

1 Jam Tanpa Dosa

Murid: Guruku, mungkinkah manusia tidak melakukan dosa 1 tahun lamanya? 
Guru: Muridku, sungguh mustahil itu terjadi.  
Murid : Kalau sebulan?   
Guru : Itu juga masih tidak mungkin!  
Murid : Jika seminggu?  
Guru : Juga masih tak mungkin terjadi!  
Murid : Mungkinkah, sehari tanpa dosa?  
Guru : Itu masih sangat-sangat berat!  
Murid : Bolehkah tanpa dosa selama 1 jam?  
Guru : Jika itu, insyaallah dapat.  
Murid : Jika begitu, saya akan berusaha menjaga 1 jam tanpa dosa. Lalu 1 jam lagi setelahnya. Kemudian 1 jam lagi. Dan 1 jam lagi. InsyaAllah....

Selamat mendisiplinkan diri menuju kemenangan. ^^,
~ Hari terakhir untuk tahun ini. Tapi bukan pesanan yang terakhir dari saya.. Saya mengharapkan malam tahun baru masihi, gejala sosial berkurangan dalam negara kita dan dunia.. Itu doa saya..

Thursday, December 29, 2011

Kenapa jari kita mengecut apabila terkena air terlalu lama ?

 
Antara sebab jari kita menjadi kecut apabila basah adalah kerana ia menyerap terlalu banyak air. Menurut Mark Changizi, ahli neurobiologi dari Lab 2AI di Boise, Idaho, hujung jari manusia perlu berkerut atau kecut, sebagai bentuk adaptasi yang membantu manusia memegang dengan erat ketika tangannya licin kerana basah. Penjelasan yang masuk akal. Bayangkan ketika berada di kolam renang, kita tergelincir dan tidak dapat keluar dari kolam kerana jari kita tidak dapat memegang tangga. Bahaya bukan?

Ketika kecut, jari kita mempunyai tekstur rendah dan tinggi. Pada bahagian yang tinggi, permukaan kulit jari tetap dalam keadaan kering, sementara air mengalir melalui celah yang rendah. Ini membolehkan jari dapat memegang benda dengan baik walupun dalam keadaan basah.

Hipotesis Mark ini selangkah lebih maju dari pemahaman umum yang mengatakan jari kecut ini hanya kerana ia menyerap banyak air.
Sumber: INFO

~ La ni, den malash nak kua idea sendiri..banyak nak share tapi tak dan nak luah..so copy past je..janji bermanfaat untuk anda semua.. Apapun, nak kabar ni, den dah bertambah adik ipar..insyaAllah giliran den tak lama lagi...amin

GARIS PANDUAN BERGURAU

Umumnya garis panduan bergurau dan jenaka dalam Islam adalah seperti berikut:
1) Jangan berdusta.
Contoh yang mashyur ialah ramai yang berjenaka dengan cara mengenakan rakan mereka dengan ’April Fool’.Akibatnya ada yang merasa sakit hati atau terguris perasaan. Jadi tujuan sebenar bergurau tidak tercapai kerana ada yang merasa dirinya tertipu. Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud: “Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa!” (AbuDaud)
2) Jangan menjatuhkan maruah orang lain.
Rasulullah saw pernah bersabda, maksudnya: “Cukuplah keburukan bagi seseorang yang menghina saudaranya sesama muslim.” (Muslim)
3) Berpada dan sederhana.
Rasulullah saw pernah bersabda: “Janganlah kamu banyak tertawa, kerana banyak tertawa itu dapat mematikan hati.” (Tirmizi). Hadis ini bukan melarang ketawa kerana ketawa adalah fitrah manusia. Yang dilarang adalah banyak ketawa. Saidina Ali r.a pernah berkata: “Berilah jenaka dalam perkataan dengan ukuran seperti anda memberi garam dalam makanan. Said bin Ash telah memberi nasihat yang baik dalam perkara ini seperti katanya: ”Sederhanalah engkau dalam bergurau kerana berlebihan dalam bergurau dapat menghilangkan harga diri dan menyebabkan orang-orang bodoh berani kepadamu, tetapi meninggalkan bergurau akan menjadi kakunya persahabatan dan sepinya pergaulan.”
4) Jangan sampai menakutkan.
Rasulullah saw telah bersabda maksudnya: “Tidak halal bagi seseorang menakut-nakutkan muslim yang lainnya (At-Thabarani)
5) Sesuai dengan masa dan tempat.
Tiap-tiap sesuatu ada tempatnya, tiap-tiap keadaan ada (cara dan bentuk) perkataannya sendiri. Allah swt mencela orang-orang musyrik yang tertawa ketika mendengarkan al-quran padahal seharusnya mereka menangis seperti maksud firmannya:
“Maka apakah kamu merasa hairan terhadap pemberitaan ini? Dan kamu mentertawakan dan tidak menangis sedang kamu melengahkannya (An-Najm:59-61)
Di samping menjaga syarat-syarat di atas, gurauan yang kita lakukan mestilah dapat diterima oleh fitrah yang sejahtera, diredhai akal yang waras dan secocok dengan tatasusila kehidupan masyarakat yang positif dan kreatif.
Sekian
WallahuA’lam
Rujukan:
1) Dr. Yusof Al-Qaradhawi, Al-Mujtama’ Al-Muslim Allazi Nansyuduhu.
2) Dr. Yusof Al-Qaradhawi, Halal dan Haram dalam Islam.
3) Pelbagai.
Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS

Sunday, December 18, 2011

PENGARUH WANITA DALAM KEHIDUPAN LELAKI

Al-Quran tidak pernah meletakkan kesalahan Adam yang melanggar perintah Allah dalam syurga atas bahu isterinya Hawa. Sekalipun Bible dan riwayat-riwayat Israiliyyat dalam sesetengah buku tafsir menyatakan Hawa adalah punca yang menyebabkan Adam memakan buah larangan dalam syurga, namun al-Quran tidak pernah menyatakan demikian. Menurut al-Quran, kesalahan tersebut ditanggung oleh kedua belah pihak. Sementara Bible (Genesis 3:6-17) menceritakan Hawa (Eve) telah mempengaruhi Adam, dengan itu Tuhan telah menghukum Hawa dengan diberikan kesakitan ketika melahirkan anak. Hal ini juga disebut oleh riwayat-riwayat Israiliyyat yang sering dibaca oleh sesetengah penceramah di masjid dan surau. Namun, para pengkaji hadis mendapati riwayat-riwayat itu tidak boleh dijadikan pegangan dan bercanggahan dengan apa yang disebut dalam a-Quran.
 Al-Quran menyebut:
“Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Menetaplah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua suka, dan janganlah kamu berdua hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka kamu akan termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim. Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)” – (Surah al-Baqarah: 35-36)

Dalam Surah Taha pula Allah berfirman:
“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka pun sujud, kecuali Iblis, dia enggan sujud. Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam! Sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana dengan itu nanti kamu akan menderita. Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa kamu tidak akan lapar dalam syurga dan tidak akan bertelanjang. Dan sesungguhnya kamu juga tidak akan dahaga dalamnya, dan tidak akan merasa panas matahari”. Kemudian, syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya (Adam), dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan kekal hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”. Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mula menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). – (Surah Taha: 116-121)

Ayat-ayat ini jelas bahawa kesalahan Adam yang membuatkan manusia tercampak ke bumi, bukanlah berpunca daripada isterinya Hawa, sebaliknya berpunca dari kelemahan Adam sendiri yang ditipu oleh Iblis, yang akhirnya dia dan isterinya terlibat bersama dalam kesalahan tersebut. Ini berbeza dengan Bible. Berbeza juga dengan cerita-cerita sesetengah penceramah agama yang mengutip kisah Adam dan Hawa dari riwayat Israiliyyat, ataupun Bible atau diwarisi cerita dari satu ustaz ke satu ustaz tanpa dibandingkan dengan apa yang terkandung dalam al-Quran.

Lebih buruk lagi, kononnya Iblis masuk ke syurga melalui perut ular dan pelbagai lagi episod ‘kartun’ yang dimuatkan. Cerita Hawa yang dipergunakan oleh Iblis sehingga mengeluarkan manusia dari syurga adalah unsur luaran yang dimasukkan ke dalam pemikiran umat Islam. Kata Dr Abu Syahbah:
“Semuanya ini dari sumber Bani Israil yang mereka tokok tambah dan mencampurkan antara yang benar dan yang batil”. – (Dr. Muhammad Abu Syahbah, al-Israiliyyat wa al-Maudu’at fi Kutub al-Tafasir, 179. Kaherah: Maktabah al-Sunnah)

Maka, umat Islam atau lelaki muslim tidak akan menganggap bahawa punca kejatuhan lelaki kesemuanya bermula dari wanita. Walaupun wanita itu memang mempunyai pengaruh yang kuat ke atas lelaki, seperti mana pengaruh lelaki terhadap wanita, namun kejatuhan lelaki atau wanita dari kelemahan diri sendiri yang kadang-kala dieksploitasi oleh pasangannya.

Muslihat Wanita

Namun masa yang sama, al-Quran juga menyatakan kehebatan ‘usikan’ wanita atau lebih jelas ‘muslimat’ mereka jika mereka bermaksud ingin melakukan ‘perancangan halus’. Wanita jika kena gaya memang boleh menjadikan lelaki‘mengidaminya’ angau dan terpengaruh atas segala kehendaknya. Perancangan atau ‘plot’ wanita begitu hebat sehingga al-Quran merakamkan ungkapan yang ditujukan kepada isteri Menteri Mesir (riwayat Israiliyyat konon menamakannya Zulaikha) dalam kisah Yusuf:
“Ini adalah perancangan kamu (kaum wanita), dan sesungguhnya perancangan kamu (kaum wanita) itu hebat” – (Surah Yusuf: 28)

Perkataan Arab yang al-Quran gunakan dalam ayat berkenaan ialah Kaid yang bermaksud perancangan yang mempunyai unsur licik dan muslihat. Sebab itu Louay Fatoohi dalam bukunya The Prophet Joseph menterjemahkan perkataan Kaidsebagai scheme yang bermaksud tindakan yang licik dan perancangan sulit yang kadang-kala membabitkan tipu daya. Kata beliau: “..this word, which I have translated as scheme means guile and plotting that could involve lies, as in this case”. (ms 86. Kuala Lumpur: Islamic Book Trust).

Maka, atas kelicikan itu, ramai lelaki yang tewas. Wanita ada kuasa ‘licin’ dan licik. Walaupun Nabi Yusuf tidak tewas, tetapi ramai lelaki selain nabi yang tewas dengan ‘kaid’ atau perancangan halus dan ‘sulit’ wanita. Senjata rahsia wanita pada tubuh, bahasanya dan jelingannya. Walaupun bukan semua mereka ada kelebihan itu, namun bagi yang berkelebihan jika perangkapnya mengena, sukar untuk lelaki terlepas daripadanya, kecuali mereka yang memenangkan takwanya atau godaan atau kaid tersebut.

Nabi s.a.w pernah bersabda:
“Aku tidak tinggal cubaan yang lebih hebat ke atas lelaki lebih dari wanita” -(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sabda baginda juga:
“Sesungguhnya dunia itu manis lagi hijau dan Allah menjadikan kalian berketurunan di atasnya. Allah melihat apa yang kalian perbuat. Takutlah kamu kepada (fitnah) dunia dan takutlah kamu kepada (fitnah) wanita, karena sesungguhnya awal fitnah yang menimpa Bani Israil dari wanitanya” – (Riwayat Muslim)

Maka, tidak hairan berapa ramai pemimpin yang gagah, tetapi ditewaskan oleh wanita idamannya, atau isteri kesayangannya. Betapa banyak reputasi pemimpin dirosakkan disebabkan isteri mereka, sehingga rakyat membenci seseorang pemimpin kerana gelagat isterinya. Dalam negara tertentu, kerenah wanita yang memakai gelaran ‘first lady’ boleh menghancurkan kerjaya dan masa depan politik seorang pemimpin negara. Demikian kerenah isteri pemimpin di pelbagai peringkat.

Maka, tidak hairanlah jika Elena Ceausescu, isteri bekas diktator Romania Nocolae Ceausescu dihukum mati bersama suaminya oleh rakyat Romania disebabkan peranannya dalam pemborosan harta negara dan kezaliman kuasa. Maka, jika suami tidak berperanan sebagai pembimbing dan pengawal yang soleh terhadap isteri mereka maka pelbagai kemungkinan boleh berlaku atas kemahiran wanita dalam perancangan atau kaid mereka.

Perhiasan Terindah

Namun wanita itu apabila solehah, mereka kadang-kala lebih baik daripada lelaki. Kehidupan yang buruk seseorang lelaki boleh diubah dengan kehalusan budi dan nilai yang ada pada seorang wanita. Nama baik seorang lelaki bertambah indah dengan kebaikan isterinya. Wanita benar-benar hiasan kehidupan lelaki. Lelaki tanpa wanita adalah lelaki yang cacat tabiatnya. Allah menjadikan wanita pasangan lelaki. Mereka tempat lelaki bermanja dan mendambakan perasaan kelakian. Nabi s.a.w bersabda:
“Dunia perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah” –(Riwayat Muslim)

Ada harta tiada wanita dalam kehidupan tiada ertinya. Ada rupa, tiada wanita tiada maknanya. Namun, wanita bagaimana yang lelaki perlukan dalam hidupnya dalam mengharungi bahtera kehidupan? Ya, wanita solehah yang membahagiakan suami, menjaga nama baik dirinya dan suaminya. Sabda Nabi s.a.w:
“Sebaik-baik wanita dia mengembirakan suami apabila engkau melihat kepadanya, mentaatinya apabila menyuruhnya, tidak menyanggahi suami dalam diri dan hartanya” – (Riwayat al-Nasai, Ahmad dan al-Hakim, dinilai hasan oleh al-Albani)

Sabda Nabi s.a.w juga:
“Tiga dari kebahagiaan: “Wanita yang apabila engkau melihatnya, ia mengkagumkan engkau, apabila engkau tiada bersamanya dia menjaga dirinya dan harta engkau” –(Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai hasan oleh al-Albani)

Untuk menjadikan wanita itu berfungsi dengan baik, suaminya juga hendaklah baik. Jika tidak, kebaikan wanita akan hilang pada padangan suami yang songsang, seperti mana hilangnya kebaikan Asiah di mata firaun yang zalim. Suami yang baik juga, tidak akan dapat dilihat kemuliaannya di mata isteri yang jahat seperti isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut a.s.

Sumber: Share Motivasi

~ Begitu kuat pengaruh wanita jika tidak didik dengan nasihat, ilmu dan kasih sayang yang baik dari pasangannya.

Friday, December 16, 2011

PENERANGAN HUDUD



Sampaikan satu ilmu dan sebarkan kebenaran.. Jika kita bukan ahli, tidak boleh cakap sebarangan dengan membuta tuli dengan mengatakan itu salah dan ini betul.. Cari rujukan yang betul dan paling afdhal guru yang berada dalam bidang tersebut untuk menghilangkan segala kemusykilan dalam fikiran. Hukum Allah wajib kita patuhi sebagai seorang Muslim..wallahualam..

~ Santai dan tahniah buat pembikin video ini..

Friday, December 9, 2011

AKU CINTA ALLAH



Aku Cinta Allah : Wali Band

Andaikan diriku bisa seperti yang lain
Yang Kau sayang yang Kau rindukan yang Kau cintai

*)
Aku lemah tanpa-Mu aku lelah aku sungguh tak berdaya
Tolongku tolongku Ya...Allah

Setiap air mataku mengalir
Allah aku lemah dan tak berarti
setiap derai tangis membasahi
Allah jangan tinggalkan aku lagi

Aku sayang Allah
Aku rindu Allah
Aku cinta Allah

back to *)

Tuesday, December 6, 2011

IBRAH SEEKOR BURUNG


 
Dua sifat penting yang harus ada pada seorang hamba yang bernama mukmin ialah 'khauf' (perasaan takut) dan 'rajaa' (pengharapan).

Sepertimana seekor burung yang terbang tinggi memerlukan dua sayapnya untuk merentasi langit biru, begitulah juga halnya dengan kita. Memerlukan kedua-dua sifat tadi untuk menghadapi hari-hari mendatang yang penuh dengan cabaran dan ujian.

Adakalanya,mungkin kita terlupa.

Kita terlalu bangga dengan apa yang kita telah capai dan perolehi.Sangkaan kita, dek kerna usaha yang sehabis baik itulah, kita akan memperolehi apa yang dihajati. Kita sebenarnya terlalu 'mengagung-agungkan' usaha kita tadi. Lantas apabila, natijah yang diharapkan tidak seindah yang diimpikan, kita mula lemah,longlai,hampa dan seterusnya berasa putus asa.

Lupakah kita? Bilamana Allah sendiri menyebut bahawa sesungguhnya segala yang berlaku terhadap seorang hamba itu adalah mengikut kepada sangkaannya kepada Allah?

"Aku adalah sepertimana sangkaan hamba-Ku, dan Aku bersama dengannya ketika ia mengingati Aku. Jika ia ingat kepada-Ku di dalam hatinya, Aku ingat kepadanya di dalam hati-Ku. Dan jika ia ingat kepada-Ku di khalayak ramai, nescaya Aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai lebih baik. Dan jika ia mendekati kepada-Ku sejengkal,Aku pun mendekatinya sehasta. Dan jika ia mendekati-Ku sehasta, nescaya Aku mendekatinya sedepa. Dan jika ia datang kepada-Ku berjalan, maka Aku datang kepadanya sambil berlari."-Hadith Qudsi riwayat Syaikhan, Tirmidzi dan Abu Hurairah R.A

Wahai hamba,andai buruknya sangkaan kita kepada Allah maka buruklah natijahnya.
Tetapi,andai baiknya sangkaan kita kepada Allah maka baiklah natijahnya.

Lihatlah burung!Untuk ia terbang tinggi ke udara, ia akan mengepakkan kedua sayapnya dengan saksama.Sama laju, sama kuat. Namun, tatkala ia ingin membelok ke kanan atau ke kiri, nescaya salah satu dari dua sayapnya tadi memerlukan kekuatan yang lebih berbanding sebelah sayap yang perlu direhatkan sementara bagi memandu ia ke arah yang dituju.

Begitulah juga halnya dengan kita.

Bayangkan sahaja, 2 sayap burung tadi merupakan sayap kita.Sebelahnya,merupakan sayap 'usaha seorang hamba yang daif' dan sebelahnya lagi merupakan sayap 'rahmat Allah swt yang amat luas'. Ada masanya, kita perlu mengerah sepenuhnya sayap 'usaha' tadi dengan sekuat yang boleh.  Lantas, selepas itu rehatkanlah ia dan gunakan pula sayap yang sebelah lagi sebaik mungkin iaitu sayap 'doa dan tawakkal'.

Mari kita muhasabah.Mungkin selama ini kita hanya bergantung kepada sayap 'usaha' tadi, tanpa kita manfaatkan sayap yang kedua. Ataupun,sebaliknya, kita terlalu bergantung kepada sayap 'doa dan tawakkal' tadi tanpa dimulai dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Sepertimana burung yang tidak akan mampu terbang dengan sebelah sayap, begitulah juga keadaannya dengan kita.

Oleh yang demikian, jangan biarkan sayap itu patah mahupun tercedera.Kelak, akan jatuhlah burung tadi menyembah bumi.Hargai dan manfaatkan kedua sayap tadi agar kita juga mampu terbang tinggi seperti burung tadi.

Seandainya satu saat kita merasa lelah,letih dan berasa putus asa.Maka,ucapkanlah

'HASBUNALLAHU WA NI'MAL WAKIL'
''Cukuplah Allah sebagai penolong kami dan Dialah sebaik-baik pelindung''

Sumber: iluvislam.com

Lelaki Mental Bunuh 4 Kanak-Kanak

BEIJING – Seorang lelaki China membunuh empat daripada lima kanak-kanak dikurung di dalam sebuah stor selepas mereka diculik di sebuah taman permainan sepanjang minggu lalu, kata pegawai tempatan dan kumpulan hak asasi manusia, semalam.

Lelaki berusia 22 tahun itu menculik kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan usia 10 tahun di sebuah taman di wilayah Henan serta mengurung mereka dalam sebuah bilik stor.

Suspek kemudiannya membunuh empat kanak-kanak terbabit dan mencederakan seorang lagi pada Sabtu lalu.

Kesemua mangsa maut akibat ditikam dan suspek kini ditahan oleh pihak polis. – AFP

~ Yang membunuh masih muda dan yang dibunuh juga muda, memperlihatkan hilangnya golongan muda yang bakal menjadi pemimpin. Rugikan? So, dimanakah kita wahai muda mudi? Adakah kita tergolong dalam muda-mudi yang akan membunuh masa depan kita sendiri?

Saturday, December 3, 2011

KENANGAN BERSAMA MEREKA ~ BRABUS

[Hari bersejarah 26 Nov 2011 - KUIS]
Alhamdulillah setelah beberapa bulan tidak berjumpa, inilah masanya kami bersua walaupun seketika cuma. Suasana terasa lain apatah lagi dengan jubah baru. Calitan emas menandakan bezanya kami dengan pelajar lain.

Agak sedih kerana terdapat beberapa rakan tidak dapat bergembira sama. Inilah satu-satunya kenangan yang mampu saya simpan selain jauh dilubuk hati. Terasa rindu. Sungguh!

Alhamdulillah haluan kami cemerlang dalam lapangan yang kami pilih namun hati cemburu kerana seorang sahabat sudah menyambung keperingkat PhD. Mabruk Ya Akhi Khuzaimi. Namun beliau sempat mengajak saya untuk turut menyertainya apatah lagi saya muda dari usianya ketika menggenggam MBA. InsyaAllah, saya akan menyusul..... PASTI!!



~ Masih kurang pasti mengapa ada yang menggelar brabus.. Mewah....

Friday, December 2, 2011

MENGAPA PERASAAN PEREMPUAN SELALUNYA LEMAH


Duhai Hawa, mengapa kita terlalu lemah? Saya selalu terfikir mengapalah perasaan perempuan itu selalu lembut dan tersentuh. Bukan kita tak pernah dengar, sekeras-keras hati perempuan, akan lembut juga. Kerana itu rasanya Allah jadikan ibu seorang perempuan.

Seorang ibu itu dia lembut dalam garang, marah dalam sayang. Dua sifat antagonis ni sangat sebati dalam diri seorang insan bergelar Hawa. Kadangkala sensitifnya terlebih, adakalanya penyayang bukan main lagi.

Peliknya, untuk memahami perasaan naluri diriku sendiri, hatiku kadangkala seperti sebuah sampan di atas ombak yang kuat. Bergulir-gulir tanpa tujuan walaupun sudah dikayuh dengan kuat ke arah yang sudah ditetapkan.

Benar umum sudah mengetahui, cinta kepada Allah itulah paling hakiki. Tetapi untuk mereliasasikan cinta itu tidak semudah seperti sebutan di lidah semata. Banyak halangan yang perlu ditempuhi dan cabaran yang selalu menarik-narik diri ini untuk beralih arah dari mencapai Ilahi.

Benar, hakikatnya untuk mencapai cinta Ilahi ini, tidak cukup hanya dengan mentaati perintah-Nya semata-mata, dengan hanya menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulan Ramadhan dan juga membaca Al-quran.

Tetapi memerlukan pengorbanan yang lebih besar dari itu! Betapa ramai manusia hatta orang-orang soleh sendiri gagal dalam meraih cinta dari Allah saat kematian mereka kerana gagal melaksanakan perintah ini.

Itulah menahan diri dari perkara-perkara yang dimurkai Allah. Sukarnya menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang Allah larang kerana nafsu kita sangat-sangat cenderung kepada perkara tersebut.

Saidina Umar pernah berkata : "Seorang yang memiliki kualiti taqwa adalah seperti seorang yang berjalan di atas jalan berduri dengan berhati-hati. Seperti mana dia sangat berhati-hati untuk memastikan pakaiannya tidak terkena duri tersebut seperti itu jugalah seorang yang bertaqwa itu harus berhati-hati dalam setiap perbuatan yang dilakukannya."

Saidina Ali juga pernah berkata : "Taqwa adalah takutkan Allah, berbuat seperti mana yang disuruh oleh Allah, puas dengan apa yang ada dan bersiap sedia untuk hari pelepasan (kematian)."

Indahnya kata-kata mereka.

Kadang-kadang aku rasa marah pada diri sendiri. Kenapalah susah sangat nak menahan hawa nafsu? Terutama dalam perkara-perkara untuk menundukan pandangan. Memang benarlah firman Allah :

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka...." (Surah An-Nur : 30-31)

Kerana pandangan itulah akar kepada banyak maksiat yang berlaku sesama berlainan jantina.

Bagi aku, kadangkala sikap 'double standard' selalu ada apabila berhadapan dengan kawan yang bukan muslim. Namun rasanya tidak boleh sebegitu kerana dari situlah kita dapat berlatih untuk membersihkan hati kita.

Paling penting bukanlah menundukkan pandangan dengan menundukkan pandangan mata semata-mata, namun adalah menundukkan perasaan. Jika hawa dan adam berbual tanpa memandang sesama sendiri, namun jika gagal mengawal perasaan, banyak juga boleh jadi.

Selain itu, mungkin saja kita gagal dari menahan diri dari menonton rancangan televisyen yang mungkin mendedahkan aurat-aurat yang tidak patut kita nikmati.

Bukan itu sahaja, mungkin sahaja kita memandang kawan sekelas kita dengan merasakan sesuatu di dalam hati.

Dalam umur yang memasuki dewasa ini, perasaan adalah satu-satunya harta berharga yang perlu dijaga. Dan alangkahnya susah sebenarnya.

Oleh kerana itu kita lihat ramai orang solat dan menutup aurat namun tidak ramai yang dapat menjaga pergaulan. Sungguh, jalan menuju redha Allah penuh dengan duri dan jalan ke neraka penuh dengan keenakan duniawi.

Kaum Hawa, kuatkan jati dirimu dan lindungilah tamanmu dari dicemari oleh pandangan orang yang bukan menjadi hakmu.

Kaum Adam, peliharalah hatimu dari menjadi milik selain dari Rab-Mu. Semoga kita semua menang dalam menempuhi ujian di dunia ini. Ameen!

~ Bagaimana pula jika lelaki yang lemah dan tak mampu mengawal perasaan? Bagaimana pula lelaki yang hilang keyakinan diri dan mudah putus asa? Perlukan mereka dipersalahkan seperti perempuan???

Monday, November 28, 2011

Berhati-Hati Ketika Mengharap

"Untuk apa kita mengharap pada seseorang yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan?"
Pengharapan adalah sesuatu yang dapat memberikan kekuatan.
Walaupun kita berada dalam suatu kesusahan yang sangat berat, pengharapan akan memberikan kesegaran kepada iman untuk sentiasa bertahan.
Kita percaya bahawa masih ada jalan keluar kepada permasalahan.
Kita percaya bahawa pasti ada pertolongan.
Namun, pada siapa harus kita berikan pengharapan tersebut? Adakah pada makhluk seperti kita yang juga tak punya untuk memberi?
Atau pada Tuhan yang sentiasa menanti untuk diseru nama-Nya pagi dan petang? Bahkan Dialah yang memenuhi segala permintaan.
Seringkali kita meletakkan harapan yang tinggi kepada manusia untuk dipenuhi.
Padahal orang yang kita harapkan tersebut tak berdaya untuk memenuhi harapan dirinya sendiri.
Adalah lebih bahaya kalau orang yang kita harapkan sebenarnya tak pernah mengharap kepada Tuhan sekalian alam.
Dia menggantungkan kepercayaan kepada dirinya semata-mata tanpa sedikitpun merasa terikat dengan ketentuan Allah.
Jika orang sebegini yang kita harapkan, adakah dia akan membawa kita mendekati Tuhan?
Harapan tak tertunai, bahkan iman terungkai-rungkai ikatannya.
"Jangan risau, kalau aku ada, mesti ok punya semua benda."
"Hanya aku seorang yang boleh diharapkan."
Kata-kata sombong apakah itu? Seolah-olah dirinya adalah Tuhan yang menentukan segala keadaan.
Tanpa dia, mungkin keadaan menjadi kurang baik. Namun, dengan dia, adakah keadaan semestinya baik tanpa izin Tuhan?
Jika ada orang yang kita harapkan mengatakan begitu, berhati-hatilah, boleh jadi kita sedang mengharap pada yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan.
Bukan tidak boleh kita percaya diri, meletakkan harapan kepada manusia.
Namun, cukuplah harapan itu setakat yang patut.
Jangan sampai harapan itu melangkaui harapan tertinggi yang seharusnya diberikan kepada Allah mutlak.
Tak ada gunanya mengharap kepada seseorang yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan, kerana kelak kita akan disesatkannya.
Pengabdian kita kepada Allah akan tercalar.
Berharaplah kepada manusia untuk berbuat sekadar kemampuannya, namun keizinan untuk sesuatu itu terjadi tetap harus dikembalikan urusannya kepada Allah.
Pengharapan yang tidak patut kepada manusia selalu terjadi tanpa kita sedari. Pengharapan yang tidak langsung diikat dengan pengharapan kepada Allah.
Contohnya, selalu kita terlalu mengharap manusia memberikan cinta kepada kita sedangkan Allah yang menumbuhkan cinta dalam hatinya.
Kenapa tidak berdoa sahaja kepada Allah agar mengurniakan rasa cinta tersebut?
Walaupun pengharapan tidak memansuhkan ikhtiar, namun pengharapan yang tepat akan menjadikan ikhtiar kita lebih berkat.
"Ya Allah, Engkau berikanlah kekuatan kepada dia untuk melaksanakan tugas yang aku berikan."
Itulah bentuk pengharapan yang lebih baik. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan izin-Nya.
Tuntasnya, hubungan berbentuk horizontal yang tidak diikat dengan hubungan vertical akan menimbulkan kecelaruan dan kegoyahan.
Horizontal saya maksudkan sebagai hubungan sesama manusia, vertical sebagai hubungan dengan pencipta.
Hubungan horizontal yang tidak ada ikatan vertical adalah ibarat sebuah kipas syiling yang berpusing tanpa tergantung pada syiling, putarannya bukan menyejukkan, tapi menghancurkan.
Jauhkanlah diri kita daripada berharap secara keterlaluan kepada manusia sehingga langsung melupakan pengharapan kepada Allah.
Lebih parah kalau manusia yang kita harapkan itu memang tak pernah mengharap kepada Tuhan.
Manusia terbatas kemampuannya sedangkan Allah tak ada istilah tidak mampu bagi-Nya.
Apabila Dia mengatakan jadi, maka jadi.
"Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap." -Al-Insyirah: 7-8
Wallahua'lam.
Sumber: iluvislam.com