Thursday, October 20, 2011

DOA ASIAH

Tulisan ini membawa kalimah bermakna.

Kalimah yang di abadikan di dalam al-Quran agar terus diingat sepanjang masa.

Kalimah yang keluar dari mulut seorang perempuan yang hatinya telah diliputi keimanan.

Perempuan itu berdiri sambil berseru tanpa menghiraukan kemilau dunia yang fana.

Dia berkata dengan bahasa sikap dan ucapannya, "Ya Tuhanku, bangunkan untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga."

Sungguh, tidak ada lagi tempat bagi dunia dalam hatinya.

Maha Suci Allah, seluruh hati perempuan itu dipenuhi dengan cinta kepada Tuhannya!

Di atas jalan Tuhannya, perempuan itu tetap bertahan sekalipun sering ditimpa seksaan yang bertubi-tubi.

Di atas jalan kebenaran, perempuan itu tetap berpijak, langsung tidak beralih sekalipun sering dilontar cacian hina.

Kalian yang membaca,

Perempuan yang saya maksudkan ialah Asiah, isteri Firaun.

Seorang isteri yang tidak dicintai oleh suaminya.

Tetapi, sangat dikasihi oleh pemilik hatinya, Allah S.W.T.

Istimewanya Asiah, doanya diabadikan di dalam al-Quran:
"Ya Tuhanku, bangunkan untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga." (at-Tahrim:11)


Al-Hafiz Ibn Hajar berkata:
"Antara keutamaan Asiah, isteri Firaun, adalah dia lebih memilih mati dan diseksa di dunia daripada memperoleh kesenangan yang telah didapatkannya sebagai isteri Firaun." (Fathul Bari, 6/516)

Ibn Kathir pula berkata:

"Dengan sanadnya, Ibn Jarir meriwayatkan dari Sulaiman at-Taimi, bahawa isteri Firaun sering diseksa di bawah terik sinar matahari. Dia diseksa oleh suaminya, namun apabila Firaun meninggalkannya setelah menempatkan Asiah di bawah terik sinar mentari, para Malaikat terus menaungi Asiah dengan sayap-sayap mereka, lalu Asiah dapat melihat rumahnya di dalam syurga." (Tafsir Ibn Kathir, 4/394)


Mulianya isteri Firaun, Allah S.W.T menyebutnya di dalam al-Quran:
"Dan Allah membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika dia berkata, "Ya Tuhanku, bangunkan untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya; serta selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim."
 

Alangkah bahagianya Asiah, doanya dimakbulkan Allah S.W.T.

Pahit maung seksaan yang menimpanya menjadi manis setiap kali melihat rumahnya di syurga.

Allahu Akbar!

Ya Allah, jadikan kami wanita yang langsung tidak silau dengan kemilau dunia, fatamorgana yang menipu manusia!

Sumber: iluvislam.com

~ Dewasa ini, ramai yang memilih kekayaan dan kemewahan tanpa mempedulikan hubungan dengan pencipta dan sesama manusia. Ada yang sanggup menggadaikan agama kerana inginkan hidup mewah tanpa memikirkan akibatnya..Jadikan kisah Asiah sebagai iktibar untuk kita semua dalam memelihara jiwa agar sayangkan agama dan jangan biarkan kes 3 Ogos 2011 berulang kembali. Akidah diperkotak katikkan dengan sesuka hati... Generasi muda, kuatkan jiwa untuk mengenal diri dan Islam.

2 comments:

Iefa Ujang said...

cinta Allah satu keutamaan . . . bukan semua wanita mampu jadi sebegitu .

Brilliant Marjan said...

iefa >>

memang itu yang sebaiknya..walau bukan semua wanita mampu jadi seperti Asiah atau srikandi Islam yang lain, namun niat mesti ada.jadilah wanita terbaik yg mampu membahagiakan ahli keluarganya..