Wednesday, August 15, 2012

SOAL JAWAB: Tiada bacaan khusus dalam sujud sahwi

Mazhab Shafiee syor lakukan dua kali sebelum beri salam

Soalan:
Saya pernah mendengar bahawa bacaan ketika sujud sahwi adalah sama seperti bacaan ketika sujud dalam solat. Adakah benar pandangan itu?

"Bacaan untuk sujud sahwi adalah sama seperti bacaan ketika sujud dalam solat iaitu subhana rabbi al A’la wa bihamdih sebanyak tiga kali”
Jawapan:

Sujud sahwi ialah sujud yang dilakukan apabila melakukan kesalahan tertentu dalam solat. Dalam mazhab Shafiee sujud sahwi dilakukan sebanyak dua kali sebelum memberi salam.

Mengenai bacaan ketika sujud sahwi, tidak terdapat nas daripada hadis yang menunjukkan bacaan khusus ketika sujud tersebut.

Menurut pandangan ulama hadis, bacaan yang masyhur diamalkan oleh ramai orang, termasuk juga masyarakat kita di Malaysia iaitu: “Subhana man la yanaamu wala yas hu” merupakan saranan ulama saja.
Bacaan itu bermaksud: Maha suci Tuhan yang tidak tidur dan tidak leka. Tidak diketahui dengan tepat siapa yang menyarankan doa berkenaan. Perkara ini turut disebut oleh Imam Nawawi dalam kitab beliau Raudhah al-Tholibin: “Para ulama (dalam mazhab Shafie) menulis tanpa membicarakan mengenai zikir dalam sujud itu.

Ini menunjukkan bahawa bacaan yang disarankan dalam sujud sahwi adalah sama seperti bacaan sujud dalam solat. Saya mendengar sebahagian imam (ulama mazhab Syafie) menceritakan bahawa sunat membaca: “Subhana man la yanaamu wala yashu” dan (jika dilihat makna bacaan itu) adalah bersesuaian dengan keadaan itu.”

Tulisan beliau: “Saya mendengar daripada sebahagian ulama tanpa menyebut adanya nas daripada hadis yang menyokong pandangan itu menunjukkan bahawa bacaan atau tasbih seperti itu diterima berdasarkan saranan ulama sebelum beliau, bahkan dalam kitabnya yang masyhur (al-Azkar) ketika membicarakan mengenai zikir pada ketika sujud tidak menyebut adanya bacaan seperti di atas.

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menulis bahawa selepas beliau membuat semakan daripada kitab hadis, beliau tidak menjumpai adanya asas atau sandaran terhadap bacaan berkenaan. (al-Talkhis 2/6).

Berdasarkan apa yang disebut tadi bacaan untuk sujud sahwi adalah sama seperti bacaan ketika sujud dalam solat iaitu subhana rabbi al A’la wa bihamdih sebanyak tiga kali.

* Sujud sahwi: sujud yang dilakukan ketika kita terlupa tentang rukun solat yang tidak dibuat..Contohnya: Terlebih rakaat dalam solat, tak baca doa qunut yang menjadi kebiasaan, dsb.

No comments: