Monday, September 19, 2011

SAYA NAK BUAT KEK UNTUK MERAHITUJAMBU

Assalamualaikum w.b.t.

Khas untuk

[ Klik sini untuk join ]
*
*
*
*
*


Nak buat kapal tapi cam tak rupa kapal.
Nape saya pilih nak buat kek kapal ni?
Saya harap dengan kapal ini pelayaran Cik MerahItuJambu
semakin mudah untuk mendirikan rumah tangga.
InsyaAllah
*
Semua manusia adalah kapten kapal.
Kita yang mengemudi arah mana yang kita nak lalui..
Ulam Timun Sambal Belacan..
Eh..silap..dah biasa hafal gitu..
Utara Timur Selatan Barat
Jika kita berjaya mengharungi lautan bergelora,
 ketahuilah hikmah Allah ada di pelabuhan nanti..

Semua yang pandai lukis dan ada bakat terpendam, silalah ye..Saya tag kamu..


~ Terlebih sudah..renung-renungkan =)

LUAHAN REMAJA BUAT KEKASIH AYAH

Assalamualaikum w.b.t. 
[ Picture from weheartit.com]
Perkongsian dari blog Sebarkan Bahagia oleh Fatimah Syarha yang saya rasa sangat menarik untuk difikirkan buat golongan wanita atau gadis remaja yang baru nak, sedang atau mabuk berkasih sayang dengan suami orang. Elok juga untuk para bapa yang cuba nak pasang niat untuk membina masjid lagi. Selamilah hati anakmu di bawah ini. Selain itu, peringatan buat diri sendiri. 

Selamat membaca dengan sabar =)

Catatan Remaja

Assalamualaikum wa rahmatullah…
Auntie,
Tujuan saya menulis catatan ini bukan untuk memarahi auntie ataupun mengumpat ayah saya. Saya cuma mahu mencurahkan pertimbangan-pertimbangan yang wajar untuk auntie renungi sebelum terus menjadi kekasih ayah saya. Fikir dalam-dalam sebelum menjadi isteri keduanya. Niat saya jelas, bukan sekadar meluahkan tetapi mencari penyelesaian. Semoga Allah meredai niat saya.
Saya menulis kepada auntie kerana saya yakin hati wanita auntie lebih lunak berbanding hati lelaki ayah. Saya tidak kisah jika nanti auntie memberitahu ayah saya dan dia memarahi saya. Ini kerana saya menulis kerana Allah SWT dan saya yakin Allah SWT akan membela saya. Keputusan yang bakal auntie ambil, diharap sudah mengambil kira kepentingan banyak pihak.

Auntie yang budiman,

Pernahkah auntie membayangkan kesedihan ibu dan adik-adik saya ketika ini?
Pernahkan  auntie merasai perit dan sukarnya ibu kami membesarkan kami tanpa seorang suami yang ringan tulang menghulurkan walau secebis bantuan dalam urusan rumah tangga seharian?
Pernahkah auntie bertanya sejauh mana ayah bertanggungjawab mendidik dan membahagiakan kami selama ini?
Pernahkah auntie memikirkan sebanyak mana masa yang ayah peruntukkan untuk isteri dan anak-anaknya selama ini?
Pernahkah auntie mengkaji beban ekonomi ayah?
Keadilan seorang lelaki bukan hanya dapat dilihat selepas dia berpoligami. Namun, ketika seorang lelaki mempunyai seorang isteri, keadilannya sudah dapat diukur. Ya, kerana 'adil' itu ialah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. 'Adil' kah seorang suami yang curang di belakang isteri, bercinta dengan wanita lain atau meminati wanita lain sedangkan isterinya di rumah begitu setia menjaga cinta? Adakah 'melampias nafsu' itu tujuan poligami Nabi? Adakah suami itu telah meletakkan syariat Allah kena pada tempatnya dalam situasi ini? Jika tidak, justeru tidak takutkah auntie dengan pencabulan syarat adil yang bakal dilakukannya setelah berkahwin nanti? Saya pohon, fikirlah lebih jauh!

Auntie yang saya muliakan,         

Apabila seorang lelaki mahu berkahwin lagi, saya sering mendengar cemuhan kepada isteri kononnya tidak memuhasabah diri, kerana itulah suami mahu mencari yang lain. Ya, di satu sisi mungkin ada benarnya. Namun, cemuhan ini tidak adil ditujukan kepada golongan isteri seratus peratus.
Sanggupkah auntie mengahwini seorang lelaki yang tidak berusaha mendidik kekurangan isterinya? Sebaliknya menghukum isteri dengan ugutan hendak berkahwin lagi sebagai satu tindakan 'padan muka'? Setiap hari meragut 'sakinah' (ketenangan) keluarga dengan lawak tidak bermutu, ingin berkahwin lagi. hingga lawak itu melunturkan rasa 'mawaddah' (kasih sayang) dan 'rahmah' (kasihan belas). Adakah ini suatu tindakan seorang lelaki berwibawa?
Lelaki sebegini bukanlah calon suami yang baik kerana dia bertindak lari daripada masalah, bukan menyelesaikan masalah. Ia bakal mewujudkan masalah baru yang jauh lebih dahsyat. Bagaimana pula nanti sekiranya auntie mempunyai kekurangan, auntie rela kekurangan itu terus dihukum? bukannya diperbaiki dengan bijaksana?

Auntie yang dihormati,      

Maafkan saya sekiranya saya terkasar bahasa bertanya,
Adakah auntie mengambil rukhsah (keringanan) untuk hidup berpoligami sebab takut berzina?
Setujukah auntie jika saya katakan, biasanya orang yang terpaksa berkahwin sebab takut berzina adalah orang yang hidupnya memang dekat dengan jalan-jalan zina. Sedangkan jalan-jalan zina itu Allah tegah menghampirinya di dalam al-Quran.Mampu berlaku adilkah orang yang menawarkan cinta dengan jalan-jalan yang menghampiri zina? Bukan itu suatu perbuatan yang tidak adil? (Tidak meletakkan sesuatu kena pada tempatnya).
Sanggupkah auntie mengahwini seorang lelaki yang selama ini mengheret auntie ke jalan-jalan zina seperti asyik call, sms, dan dating tanpa keperluan? Berkatkah rumah tangga yang mahu dibina atas dasar maksiat tanpa taubat?
Berwibawakah seorang lelaki yang menjalin hubungan haram di belakang isterinya? Sedangkan kehidupan berkeluarga tenang dengan kesetiaan dan kejujuran.
Mampu berbincangkah seorang lelaki yang mahu membina kehidupan baru tanpa menghormati pendapat keluarganya? Sedangkan ketua keluarga yang berkepimpinan sentiasa mengamalkan syura seperti saranan al-Quran.
Mampukah seorang lelaki menguruskan dua orang wanita? Sedangkan isteri dan anak-anaknya yang sedia ada tidak dibahagiakan dan dibangunkan kualiti mereka dengan sehabis baik.

          Auntie yang penyabar,

Apa yang auntie faham berkenaan poligami?
Adakah auntie memahaminya seperti ayah yang sering mendesak ibu agar menerima untuk dimadu, kerana mendakwa poligami itu sunnnah Nabi? Ketahuilah duhai wanita yang kuhormati, tidak semua perkara yang Rasulullah SAW lakukan itu hukumnya sunnah (digalakkan).
Ada perkara yang Rasulullah SAW lakukan, hukumnya haram bagi kita, dan ada juga perkara Rasulullah SAW lakukan yang hukumnya makruh untuk kita. Contohnya, Rasulullah SAW berkahwin sampai sembilan orang dalam satu masa, hukumnya adalah haram bagi kita kerana al-Quran menjelaskannya begitu. Ia khusus hanya untuk Nabi.
Rasulullah juga mencium isterinya pada siang hari bulan Ramadhan, itu tidak bermakna hukumnya sunnah dan digalakkan bagi kita. Apabila Baginda memberi fatwa, baginda menegahnya kepada golongan muda dan mengharuskannya kepada golongan tua. Banyak lagi contohnya, terlalu banyak.
Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya, al-Jami’ li Ahkam Al-Quran yang berjumlah 20 jilid besar  menyatakan: “Allah SWT mengkhususkan untuk Rasul-Nya hukum-hakam syarak yang tidak dikongsi oleh umatnya, sama ada yang berkaitan dengan hukum wajib, haram mahupun halal sebagai kelebihan Baginda di atas umatnya. Ada hukum yang diwajibkan ke atas Baginda tetapi umatnya tidak diwajibkan. Begitu pula ada yang diharamkan ke atas Baginda sedangkan ia tidak diharamkan ke atas umatnya; dan ada juga perkara yang dibenarkan untuk Baginda, manakala umatnya tidak dibenarkan melakukannya. Bagaimanapun, hukum-hakam ini ada yang disepakati oleh ulama berkenaannya dan ada juga perbezaan di kalangan mereka.”

Poligami Cuma "Rukhsah" Bukan Digalakkan

Berkait dengan poligami, terlalu banyak dalil oleh jumhur ulama sedunia yang menunjukkan hukum asalnya bukan sunnah cuma harus. Ruangan agak terhad untuk saya bentangkan satu persatu dalilnya. Islam mengharuskan poligami sebagai 'rukhsah' bukan menggalakkannya, demikian pendapat jumhur ulama sedunia.
Syeikh Muhammad Abduh menegaskan bahawa orang yang merenungi dua ayat iaitu Surah al-Nisa’, ayat 3 dan Surah al-Nisa’, ayat 129 nescaya akan faham bahawa poligami dalam Islam adalah perkara yang sangat berat, tidak boleh dilakukan kecuali dalam keadaan yang sangat terpaksa.Jika dikaji tafsirnya, ayat-ayat itu berbentuk ancaman bukannya galakan. (Ancaman kepada dekatnya berbuat aniaya (An-Nisa', ayat 3) dan ancaman kepada melebihkan isteri yang dicintai dan membuatkan isteri yang lain terkontang-kanting (An-Nisa': ayat 129) )[1]
Jumhur ulama menegaskan, Ayat 3 mensyaratkan syarat adil untuk berpoligami, ia satu syarat yang berat dan pasti disoal Allah. Ayat itu juga menyusun fiqh keutamaan bahawa berkahwin satu lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya, itu lebih utama.
Manakala ayat 129 pula, Allah menjelaskan bahawa setiap lelaki pasti tidak akan mampu berlaku adil walaupun dia amat menginginkannya. Ayat ini menguatkan lagi hujah bahawa poligami sebenarnya tidak digalakkan dalam Islam. Seperti yang dijelaskan, ia berisiko dekat kepada berbuat aniaya dan berisiko membiarkan mana-mana isteri terabai akibat kecenderungan cinta yang tidak dapat dielak.
Syeikh Muhammad Abduh menyimpulkan bahawa, poligami yang disebutkan dalam ayat itu tidak bererti memberikan dorongan (targhib) tetapi menunjukkan sikap yang tidak disukai (tarhib). Sekiranya orang yang hendak berpoligami itu berfikir berkenaan syarat keadilan tersebut, nescaya dia hanya akan berkahwin satu sahaja.
Menurut beliau lagi, amalan poligami serupa dengan amalan perhambaan[2]. Hukum asalnya harus dan hingga kini masih disebut oleh al-Quran. Namun peredaran zaman, keadaan masyarakat dan kemaslahatan boleh berpengaruh kepada hukum harus, dan berubah menjadi hukum yang lain.

Bolehkah Memaksa Isteri Agar Terima Dimadukan?

Dalam wasiat terakhir Rasulullah, Rasulullah tidak membenarkan mengambil mudah soal wanita. Baginda pernah berwasiat berkenaan tiga perkara yang selalu diulang-ulang sehingga suaranya habis iaitu: Solat, hamba/pembantu, dan isteri yang dinikahi dengan amanah Allah dan menjadi halal kehormatannya dengan menyebut kalimat-Nya.
Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya, Nahwu al-Tafsir al-Maudu’I li Suwari Al-Quran,  poligami dalam Islam mempunyai aturan khusus, tidak seperti di Barat yang lelakinya mempunyai satu isteri tetapi isteri haramnya sampai sepuluh. Dalam Islam, lelaki bujang yang tidak mampu berkahwin dianjurkan berpuasa, soalnya bagaimana pula lelaki yang tidak mampu berpoligami?
Menurutnya, orang seperti itu tidak boleh dibiarkan, ia tidak akan mampu berlaku adil. Ghazali juga melihat dalam perkahwinan tidak boleh ada paksaan. Oleh itu, wanita bebas  menerima ataupun menolak untuk dimadu.
Rasulullah SAW sendiri melarang semua puteri-puterinya daripada dimadu menurut hadis sahih Bukhari dan Muslim kerana takut agama mereka rosak lantaran cemburu, syarah Imam Nawawi. Baginda pula berpoligami selepas kewafatan isteri pertama dan ketika anak-anak sudah mula berkeluarga. Itupun atas sebab utama bagi membela golongan janda yang suaminya syahid dalam perang. Zaman itu zaman perang. Wanita pun jadi tidak terlalu cemburu (cemburu tetap ada) seperti hari ini kerana amat yakin dengan niat mulia suaminya.
Pada zaman jahiliah, manusia melampau-lampau dalam meramaikan isterinya sehingga Islam datang dan menyuruh mengurangkannya, maksimum empat sahaja. Wanita muslimah pada zaman itu dapat menerimanya kerana Islam kelihatan membela wanita. Islam tidak menyuruh menambah bahkan menyuruh mengurangkan. Ternyata, Islam bijaksana menghadapi situasi yang melampau pada masa itu dengan peraturan yang bersederhana.

Fitnah Islam Agama Poligami

Berkata Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, para gerakan Kristian dan orientalis menjadikan topik poligami seakan-akan, ia adalah syiar daripada syiar-syiar Islam, ataupun wajib daripada kewajipan-kewajipan Islam, atau sekurang-kurangnya galakan daripada galakan-galakan Islam. Dakyah ini adalah sesat lagi menyesatkan.
          Asal yang mendominasi dalam perkahwinan Muslim adalah berkahwin satu, yang mana isterinya yang itu menjadi penenang dirinya, pelembut hati, pengurus rumah tangga dan tempat menyimpan rahsia. Dengan itu, terbinalah atas keduanya ketenangan, kasih sayang dan kerahmatan yang menjadi teras kehidupan perkahwinan dalam pandangan Al-Quran. (Qaradhawi, Markazul mar’ah fil hayatil islamiyyah)

Auntie yang bijaksana,

          Tahukah auntie apakah fahaman segelintir golongan lelaki yang sering menggoncang keyakinan kaum wanita terhadap agamanya?
Mereka mendakwa poligami soal keimanan. Isteri yang menolaknya dikira tidak beriman. Hujah ini mengikut nafsu lelaki! Poligami bukan soal keimanan. Ia soal keharusan yang diberikan hak individu oleh Islam. Sama ada mahu ataupun tidak mahu, rela ataupun tidak rela, ia suatu pilihan.

Auntie yang cantik jelita hingga ayah tergoda,

Fikirlah seribu kali bagi memilih menjadi yang kedua, ketiga dan keempat kerana kebahagiaan yang auntie idamkan mungkin terbina di atas keruntuhan kebahagiaan orang lain. Pasti hidup tidak akan tenang dililit dendam dan kemarahan.
          Sudahkan auntie berusaha mendapatkan lelaki bujang, lelaki duda ataupun lelaki lanjut usia yang baik agamanya sebelum memilih suami orang? Golongan ini wujud di mana-mana. Rasulullah sendiri berpesan supaya lebih utama menikahi gadis berbanding janda, maka lebih utama auntie mencari lelaki bujang berbanding suami orang.
Jangan cepat mengatakan ini sudah takdir saya, sedangkan auntie sendiri tahu bahawa takdir itu boleh berubah dengan doa dan usaha, biarpun hakikat semuanya sudah berada dalam ilmu Allah SWT. Firman Allah SWT, “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum meliankan dia mengubah nasibnya sendiri. (Surah ar-Ra’d). Kita hanya menyebut ia takdir apabila ia sudah berlaku. Sebelum ia berlaku, ia masih suatu pilihan kerana kita tidak tahu apa takdir kita. Fahami dengan benar konsep takdir.
          Janganlah menganggap ibu saya mementingkan diri dan emosional jika dia menolak dimadu. Ingatlah, wanita yang kesedihan apabila suaminya mahu berpoligami bukannya lebih memikirkan dunia berbanding akhirat. Kesedihannya lahir daripada besarnya cinta dan kerana takut terjebak ke dalam kezaliman. Oleh sebab itu, tidak hairanlah Rasulullah SAW sendiri melarang Sayidina Ali memadukan Fatimah Az-Zahra dalam hadis sahih Bukhari Muslim. Fatimah Az-Zahra, ketua bidadari syurga itu sudah tentu lebih memikirkan akhiratnya berbanding dunia.

          Auntie, bayangkanlah tempat ibu,

Ketahuilah bahawa ibu sudah menghadiahkan ketundukan hati yang amat sukar ketika mendengar suara hati ayah bagi menduakannya. Ibu diam dan bersabar. Diam ibu bukan memendam tetapi merancang untuk berbincang dengan hikmah.
Bukankah auntie dapat bayangkan, bagaimana peritnya jika kekasih auntie memiliki kekasih yang lain? Seperit itulah hati ibu ketika mengetahui hubungan auntie dengan ayah, namun dia memilih untuk bersabar. Itu lumrah cinta seperti mana kata Ibnul Qayyim, cinta mengharapkan penunggalan cinta daripada kekasihnya. Dari segi perasaan antara lelaki dan perempuan sama sahaja. Sekiranya suami tidak rela isteri menduakannya, begitulah juga isteri sebenarnya tidak rela diduakan. Cuma, bezanya pada kemampuan dan tanggungjawab. Dalam masalah poligami, ia bergantung pada syarat yang sangat ketat.
Kata ibu, sekiranya ayah tetap memilih auntie, dia redha dan minta dibebaskan. Dalam Islam, wanita ada rukhsah minta dibebaskan sekiranya ada sebab. Ibu punya sebab yang kukuh. Ibu takut agamanya rosak kerana cemburu. Biarpun ada yang menghukumnya mengikut nafsu, dia tenang sahaja kerana dia tahu Allah lebih mengerti niatnya.
Kata ibu lagi, sekiranya ayah tetap memilih auntie, doa ibu, semoga kedudukan sabarnya itu melonjakkan darjatnya di sisi Allah, sehinggakan ayah tidak layak untuk bersanding dengannya lagi di akhirat.
Sekiranya ayah tetap memilih auntie, ibu berdoa semoga di syurga, dia akan menolak lamaran ayah dan memilih pasangan akhirat yang jauh lebih baik daripada ayah. Biarlah ayah terus bahagia di sisi auntie kerana bahagia di dunia sementara belaka.
Itu kata ibu. Sebagai anak, saya minta dan merayu agar hati dan perasaan ibu yang tidak rela dimadu itu dihormati. Saya merayu agar auntie tidak mengambil masa ayah yang memang terhad untuk bersama ibu dan mendidik anak-anak. Kami hidup pada zaman yang sangat perlukan perhatian dan bimbingan lebih seorang ayah.

Auntie yang baik hati,

Nasihatkanlah ayah saya, supaya berusaha sehabis daya terlebih dahulu mewujudkan mawaddah, warahmah dan sakinah sebelum menggadaikan kebahagiaan itu, dengan berfikir untuk berpoligami.
Nasihatkanlah ayah saya supaya banyakkan berfikir berkenaan keperluan pendidikan anak-anak yang mengharungi zaman moden serba mencabar.  Bukankah memiliki satu isteri itu lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya? Tidak zalim terhadap isteri dan anak-anak! Poligami cuma harus untuk keperluan-keperluan tertentu sahaja. Semoga kita bertakwa.
Semoga wanita baik seperti auntie akan menemui jodoh yang jauh lebih baik daripada ayah saya. Terima kasih atas kebaikan dan kesabaran auntie menghabiskan isi luahan ini. Semoga Allah redha.

Remaja.


[1] Walaupun Syeikh Muhammad Abduh mempunyai ramai penentang pada zamannya, namun sifat kita sebagai penuntut ilmu, melihat kepada apa yang dikata, bukan siapa yang berkata sebagaimana saranan Sayidina Ali ("Lihatlah apa yang dikata, bukan siapa yang berkata."). Wajarkah kita mencaci diri Syeikh Muhammad Abduh? Jika direnung lebih jauh, Imam Syafi’e sendiri pernah memberi fatwa penzina lelaki boleh berkahwin dengan anak zinanya. Fatwa ini ditentang hebat oleh majoriti ulama. Mereka mencela kepada fatwa ini sahaja bukan kepada keseluruhan watak, peribadi, dan fatwa-fatwa lain oleh Imam Syafi’e yang mulia itu. Oleh itu, tidak wajar menolak keseluruhan pendapat Muhammad Abduh hanya kerana beberapa pendapatnya yang tidak dipersetujui. Apatah lagi jika ada di antara pendapatnya yang mempunyai nilai ilmiah yang tinggi dan disokong pula oleh kekuatan dalil para jumhur ulama sedunia.

[2] Bagi mereka yang membenci Syeikh Muhammad Abduh yang mulia ini, diingatkan bahawa kebencianmu kepada dirinya, sepatutnya tidak menghalang bagi mengkaji pendapat-pendapatnya. Orang yang menolak semua kata-katanya menunjukkan dirinya tidak bersikap ilmiah dan berlapang dada.
Sedangkan Rasulullah SAW sendiri pernah menggunakan kata-kata orang  jahiliah contohnya, “Bantulah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi.” (Rujuk Bukhari (2263) dan Muslim (4681). Dalam Kitab Fathul Bari, Ibnu Hajar mengatakan orang pertama yang mengungkap kata-kata ini adalah Jundub bin al-Anbar bin Amru, yang menjadi suatu prinsip dalam masyarakat jahiliah. Mereka membantu atas dorongan perkauman. Sekiranya seseorang itu daripada kaum mereka, mereka akan membantunya sama ada orang itu dizalimi ataupun sedang berbuat zalim. Sedangkan Rasulullah SAW menggunakan ayat mereka ini dengan tafsiran berbeza, membantu saudara yang zalim bermaksud mencegahnya daripada kezaliman.
           Jelas kepada kita, Rasulullah SAW tidak menolak mentah-mentah, kata-kata musuh apatah lagi kata-kata saudara seislam, melainkan baginda memperhalusinya terlebih dahulu. Itu jugalah yang disarankan oleh Sayidina Ali semasa berkata, lihatlah apa yang dikata, bukannya siapa yang berkata.   
  
~ Motif: Selepas baca kisah di ruangan Di Celah-celah Kehidupan (wajib baca untuk tahu kisah pengajaran disebalik rumah tangga) semalam, lebih kurang je isinya kat atas ni. Insan yang terlibat sama ada lelaki atau perempuan perlu memainkan peranan memahami sesuatu situasi itu sebaiknya, samada ia mendatangkan kebaikkan atau keburukkan. Jika lebih banyak yang negatif, pilihlah jalan yang lebih baik untuk anda..

Saturday, September 17, 2011

Final Destination 5 - Horror & Johnny English Reborn - Best

Assalamualaikum w.b.t.

Sesi menonton sampai bosan. Sebelum tu saya kena bersyukur sebab Angah sudi ajak saya untuk temankan dia tengok wayang. Alhamdulillah. Angah ni susah nak jumpa sebab dia kerja kat Sungai Besar. Orang cuti dia tak boleh cuti, so hari bekerja baru dia cuti. Selasa tu Angah dah sampai rumah untuk uruskan hal pernikahan dia Disember nanti. Bertambah-tambah adik ipar saya seiring dengan adik yang sedia ada.

Angah memang nak tengok Johnny English Reborn tu tapi tayangan untuk filem tersebut bermula pada 15 September 2011 walhal kami dah menapak kat JJ hari rabu malam khamis. So, layanlah cerita apa yang ada. Kami sepakat nak tengok Final Destination 5 (dalam hati tu hanya Allah yang tahu). Then kami beli juga tiket untuk filem Johnny English Reborn untuk keesokkannya. Berturut-turut k.


Sejak episod 1 hingga episod 4, saya hanya menonton di pawagam rumah sahaja. Semuanya menyeramkan dan memang gila sebab masalah yang sengaja diadakan agar nampak real. Tapi episod kali ini saya berpeluang menonton di pawagam tanpa ada potongan adegan menakutkan.

Secara ringkasnya filem ni mengisahkan sekumpulan pekerja yang mengikuti rombongan business. Seperti episod sebelum ni pasti ada seorang diantara mereka yang akan melihat bayangan terlebih dahulu dan pasti berakhir dengan tragedi yang dahsyat dan orang yang bertuah tu adalah Sam Lawton. Semuanya mati berdasarkan bayangan yang dia nampak tu melainkan hanya Molly sahaja yang hidup.

Nak dijadikan cerita, Sam tersedar dari 'jaganya' dan ia ibarat mimpi ngeri. Tapi hal itu benar-benar terjadi apabila jarinya luka terkena bucu kerusi dalam bas yang didudukinya dan kebetulan kerja-kerja membaik pulih jambatan 'gantung' (lebih kurang macam jambatan kat Penang tu) yang dilalui oleh bas rombongan mereka menghadapi masalah.

Sam sempat mengajak Molly keluar setelah memberi amaran bahawa jambatan tersebut akan runtuh dan ramai yang mati. Bila dah kecoh-kecoh tu, ada juga beberapa orang yang turut serta dengan Sam dan memang benar bagai dikata, semuanya musnah dalam sekelip mata. Hanya beberapa kerat je yang mengikuti rombongan tersebut selamat iaitu Candice, Isaac, Olivia, Dennis, Nathan, Peter, Molly dan Sam.

Now the horror story begin. Berpantang maut sebelum ajal la kiranya tapi mereka kena mati juga tapi dengan cara yang lebih tragis. Candice mati depan kekasihnya Peter akibat terjatuh melakukan rutin harian sebagai ahli gimnastik. Patah riuk ye. Ngeri nak tengok. Puncanya sebab kawan Candice terjatuh akibat terpijak paku dan kipas yang berdekatan menerbangkan tepung lalu terkena mata Candice menyebabkan Candice tak nampak lalu terjatuh. NGERI!!!

Then Isaac pula menemui ajal ketika berada di Spa. Badan dan mukanya dan penuh dengan luka akibat tusukkan jarum akupuntur namun itu bukan punca kematiannya. Isaac mati akibat patung Buddha mengenai kepalanya.

Ni pendapat saya berkaitan kematian Olivia. Saya tutup mata dengan helaian tudung yang saya pakai tu berserta dengan dua belah tangan saya. Kaki pun dah naik kat atas serupa orang bersila dalam panggung tu. Angah pun lebih kurang je saya tengok. NGERI YANG AMAT!!!!! Tak sanggup nak ingat! Mata dia terkeluar dan dilanggar kereta. Tidak....... Saya sayang mata sayang. Saya tak mau buat laser mata atau cek mata. Saya tak mau doktor tinggalkan saya sorang diri dengan alat membuka mata tu masih terlekat di mata dan di bawah lampu. Ngeri beb!! Saya cakap ni sebab saya ada pengalaman sebelum ni. Saya pun pernah kena bedah mata kerana ketumbit tapi mujur doktor mata tu sentiasa ada bersama saya. Dan sesi rawatan yang saya lalui sekejap je. Tapi saya memang ngeri bila ingat balik!

Itu je kot saya nak cerita. Yang lain, korang explore sendiri. Tapi yang pasti kematian Olivia tu je yang saya rasakan sangat ngeri. Ish ish.


Sejujurnya, saya tak gemar Mr. Bean ni. Saya rasa lawaknya tak masuk akal walaupun saya layan juga cerita tu. Filem lakukan Rowan sebelum ni pun saya tengok sekejap-sekejap. Tapi tak dinafikan juga kadang saya tergelak dan terhibur bila tengok aksinya dalam mana-mana siri lakonannya. For me, Johnny English Reborn ni memang best. Saya tak henti-henti tergelak dan rasa pawagam tu macam dalam rumah saya pulak. Hari pertama penayangannya pun dah penuh. So apa maksudnya????

Saya suka masa Johnny jadi sami tu. Sibuk dia nak belajar kawalan jiwa dan nampak cute pula ada toncet kat belakang rambut dia tu. Memang lucu adegan dia tu.. Cer tengok ye..

Lagi nak tergelak bila dia belasah mati-matian mak kepada M17 Agen Pamela Thornton tu sebab Johnny sangkakan wanita tersebut adalah wanita cina yang cuba untuk membunuhnya dan Agen Tucker.

Kat sini, moral of the story, try to cooperate with your partner or team member. Bila dia cakap tu dengar pendapatnya dan baru buat analisis untuk tindakan susulan. Jangan jadi macam Johnny sudahlah. Sesuai untuk tontonan umum. Ajak ahli keluarga anda ye..

~ Actually, ada perempuan yang sedang mengandung turut tonton Final Destination 5 tu.. Berani betul dia!!

Thursday, September 15, 2011

Madrasah Vs American School




Seperti mana kata Imam Syafi'i sewaktu berdebat secara berhikmah,

"Aku sama sekali tidak berdebat dengan seorang pun, lalu aku menginginkan dia salah. Aku sama-sekali tidak pernah berbicara dengan seorang pun, kecuali aku menginginkan agar dia diberi taufiq, diberi kebenaran, diberi pertolongan, serta mendapat perlindungan dan penjagaan dari Allah Subhanahu wata’ala. Dan aku sama sekali tidak pernah berbicara dengan seorang pun, kecuali aku mengharapkan agar Allah Subhanahu wata’ala menjelaskan kebenaran melalui lidahku atau lidahnya." (Riwayat Ibnu Hibban)

Sumber: Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali

* Beruntunglah jika anda petah berkata-kata dan sampaikanlah kebenaran ilmu Allah itu kepada insan lain agar mereka memperoleh manfaatnya.

~ Zaman sekolah dulu saya ni banyak cakap hanya dengan kelompok saya saja tapi mujur bila kerap join aktiviti, mulut yang becok ni boleh juga salurkan pada hal yang berfaedah..

Monday, September 12, 2011

KERAK NASI UNTUK IBU

Hari ini semua adik-beradik pulang beraya di Kuala Lumpur setelah beraya di kampung mertua. Ibu yang di KL agak kesunyian, tetapi setelah mendengar abang dan kakak-kakak hendak datang beraya, ibu gagahi juga bangun pagi menggoreng nasi buat santapan pagi mereka yang akan datang nanti.

Aku yang bongsu tinggal dirumah sambil menolong apa yang patut memerhati kegagahan ibu yang sememangnya aku tahu sakit dan bengkak kakinya semakin menjadi-jadi semenjak bulan puasa tempohari.

Aku minta untuk membantu... "tak payah" katanya.

"Biar mak yang buat.. nanti lain rasanya kalau kamu yang buat."

Aku biarkan sahaja walau dalam hati terasa pedih dan sayu melihat kegagahan mak nak juga sediakan nasi goreng untuk anak-anaknya yang bakal merayakan Aidilfitri bersamanya.

Aku tahu di sudut hati mak ada rasa sedih dan sayu kerana anak lelakinya tak beraya bersama di pagi raya.. tetapi langsung tidak ditunjuk malah ingin pula menjamu anaknya.

Terhinjut-hinjut mak ke sana ke mari mengambil bahan-bahan nasi goreng.

Bukan main khusyuk dan bersungguh-sungguh beliau cuba menyediakan juadah; semampunya.

Apabila semua abang, kakakku dan anak saudaraku sampai aku mula hidangkan nasi yang digoreng oleh mak tadi.

Semuanya pakat menjamu selera.. memang berselera semua sukakan nasi goreng mak.. mak tahu anak-anaknya sukakan nasi goreng air tangannya..

Dalam tak sedar nasi dah hampir habis. Terdetik dihatiku :

"Ahhh mak belum makan apa-apa semenjak pagi kerana sibuk sediakan nasi tu."

Tiba-tiba abangku bertanya, "siapa yang tak makan lagi nasi ni?"

Aku menjawab, "mak belum makan lagi.."

Mak dengan bersungguh menjawab, "ehh mak tak mahu... tak lalulah nasi goreng, nak makan roti jer sekejap lagi."

Dua tiga kali kami pelawa begitu juga jawabnya. Kataku dalam hati, " oohh mungkin juga mak nak makan roti sebab nak kawal penyakit kencing manisnya."

Bila semua dah pulang.. aku lihat mak terhinjut-hinjut ke dapur. .lantas aku bertanya, "mak nak apa.. saya nak ambilkan.'

"Tak mengapa, mak nak rasa makanan ni sikit.'

Sayu sedih dan terguris sungguh hati aku.. bila kulihat mak rupanya sedang mengikis kerak-kerak nasi goreng yang masih berbaki dalam kuali untuk dimakan.

Itulah kasih seorang ibu pada anak-anaknya..

Zaman sekarang pun masih ada ibu yang sanggup berlapar dan mendahulukan anak-anaknya asal mereka semua kenyang. Kami benar-benar kalah dengan apa yang kami saksikan..

"YA Allah, Engkau peliharalah ibu kami.. ampunilah dosanya.. berilah kekuatan kepada anak-anaknya untuk membalas jasa ibu yang tak terhingga, amin.."

******

Ni ada seorang pengomen untuk topik ni dalam iluvislam.com yang saya setuju pendapatnya..

Si Polan:
sedih memanglah sedih...tapi ibu...janganlah terlalu mengorbankan diri...bantulah anak-anak agar mereka sedar...mereka adalah anak...bukannya tuan untuk dilayan seperti itu...dewasa ini ramai anak dirantauan menelefon dari kejauhan sebelum pulang agar ibu memasak itu dan ini...tapi sedarkah kalian...kalian telah menjadi tuan kepada ibu kalian..walaupun ibu berkata...apalah salahnya nak rasa air tangan ibu...tapi fikir-fikirkanlah....ibu yg sihatke tak sihatke..jgn diperintah memasak utk kita....kalau ibu masak sukarela tanpa diminta oleh anak-anak itu lain cerita...

Saya setuju sebabnya memang ramai yang jadi macam ni. Itu tanda memang dah akhir zaman apabila anak menjadi tuan kepada ibunya. Nauzubillah.

Contoh lain, minta ibu jagakan anak. Ibu dah lah tak larat tapi ada juga anak-anak yang meminta bantuannya tanpa diberi pembantu. Maksudnya kalau nak suruh ibu tolong jagakan anak yang masih bayi terutamanya, berikan pembantu untuk memudahkan dan ibu hanya monitor apa yang patut. Lagi molek beri hadiah atau duit untuk ibu yang tak berkira dengan kita tu.

Tak terfikir ke kita sebagai anak ni dah banyak menyusahkan ibu yang melahirkan kita?? Aaaaahhh.. nak nangis je saya ni..

Saya tujukan juga pada diri sebagai peringatan agar saya & adik-adik tak buat macam ni kat Ummi kami.

Sunday, September 11, 2011

SEGMEN : AWAK SUKA MAKAN KUIH RAYA APA ???

Assalamualaikum .w.b.t.

Jalan-jalan terjumpa pasal kuih raya.. Kuih ke biskut? Sebut apa-apa pun boleh lah..Mood raya pun ada lagi kan? So, apalagi..Saya pun terjah segmen ni..
 
[ Klik sini untuk join ]

Bila sebut pasal kuih atau biskut raya, dah terbayang macam-macam aneka biskut yang ada dan menjadi kegemaran ramai. Cuba tengok bawah ni.. Terliur tak?


Bagi saya, semua jenis biskut saya akan try nak rasa walaupun saya kurang gemar biskut sebenarnya. Manis dan rasanya yang macam-macam buat saya kurang gemar sikit.. Huhu.. Time kanak-kanak dulu, saya cukup gemar biskut milo buatan nenek dan bila dah besar, saya try buat sendiri dan memang lesap sebelum tibanya Syawal. Adik-adik termasuk saya sendiri berserta sepupu suka makan. Tapi itu yang buat saya geram sebab habis awal dari biskut lain. Malangnya gambar biskut milo tiadalah..


Atas ni biskut samperit antara yang paling saya suka. Sedap sampai tak ingat dunia. Cuma baru ni kami sekeluarga beraya di rumah Pak Ndak kat Kedah tu hah, jumpa biskut ni.. Wah! Marvelous betul biskut yang Mak Ndak buat ni. Serius! Rupanya resepi tu sepupu saya, Fatin ambil dari kawan sekolahnya.. Pandai ko Fatin! Dia tak buat tapi suruh maknya buatkan resepi biskut samperit ni..


Kat atas ni tau tak biskut apa? Ni pun saya suka juga.. Tat gulung ke tat biasa ke atau tat blueberry ke..saya try juga.. Sebab memang ada yang sedap! Cuma kena pandai buatlah supaya rasa kulit luar dan intinya serasi..

Ada banyak lagi biskut raya yang menjadi kegemaran termasuk almond London, cornfleks madu, biskut cornfleks selain kerepek pisang, meruku ayam, meruku udang dan aneka jenis kekacang.. Laju je saya kunyah makanan ringan ni terutamanya masa study dulu jika tengah stress atau pun boring.. Sampaikan room mate merangkap class mate cemburu melihat mulut saya yang tak berhenti mengunyah kerepek atau kacang di sebabkan kata kawan saya ni gigi dia jarang tak macam gigi saya.. ^_^

Jom join sebelum terlambat.. malam ni je tinggal ~ tarikh tutup : 11 /09/11 - ahad - 11.59 pm

p/s: gambar di atas saya google je.. bukan kepunyaan saya..

Saturday, September 10, 2011

Ini Kisahku - Wardina Saffiyah.mkv

Assalamualaikum w.b.t

Wardina merupakan antara artis yang saya kagumi bukan sebab dia lawa sahaja tetapi kerana ilmunya dan butir bicaranya yang mengagumkan saya. Sebelum dia berhijrah saya kurang minat sangat mungkin sebab saya tak ikuti hal dia sebagai artis. So, tak datanglah minat tu tapi saya masih tonton sitkom Spanar Jaya.. Cuma yang saya ingat, saya suka cara dia yang bersahaja. Itu memang tak dinafikan.. Pernah juga saya try buat resepi diet dia iaitu agar-agar roti. hehehe




Apa yang sahabat dapat dari klip video di atas?

Saya ni kerap je nangis bila kisah sebegini menjadi makanan saya. Tak apa.. Saya gembira hati saya masih lagi mampu menerima peringatan & teguran. Jika saya artis saya cuba buat seperti beliau. Memang tahu diri tak berapa baik tapi insyaAllah dengan pengalaman dan pengajaran yang saya perolehi dan lalui membuatkan saya cuba untuk menjadi lebih baik.. Dan seboleh mungkin turut mengajar ke arah kebaikkan..At least usaha tu ada walapun tak kelihatan banyak. Janji saya nak berkongsi dengan sahabat semua..

Alhamdulillah Ya Allah kerana Engkau masih sayangkan aku dan masih sudi berikan ujian supaya aku sedar siapa aku di bumi Mu ini.. Sebelum ni mungkin aku lalai dengan nikmat yang diberi hingga aku tidak buat perkara yang menjadi makananku iaitu zikir dengan nama Mu.. Aku tersedar setelah adik ku menegur. Walaupun ia ibarat tiada nilai & tak sehebat para nabi & sahabat baginda yang lain..

Sejak dibangku sekolah lagi, setiap pagi selepas subuh & sebelum keluar rumah, bibir ku sentiasa basah dengan 99 nama-nama Allah. Aku sebut Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Majidu, Ya Muhaimin dan banyak lagi sehingga 1000 kali. Kira dengan tangan tanpa guna tasbih. Aku zikirkan dalam hati mengikut perbuatan yang selalu aku buat sama ada ketika study, ketika makan, kita berjalan dan sebagainya. Walaupun zikir tu bertukar setiap hari jika aku teringat tetapi aku tetap melakukannya.. Sikit2 sampai jadi banyak. Dan aku juga tak lupa selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w berserta dengan sepotong surah al-Baqarah di akhir selawat (tapi bukan ayat kursi) serta zikir-zikir hebat yang lain.

Selain itu, ketika solat, selalu aku ingatkan yang berada di hadapan aku adalah Allah s.w.t. melihat caraku bersolat selain diriku yang sangat kerdil,di kananku adalah syurga yang melimpahkan nikmat yang tak terhingga jika aku jaga hak Allah sebaiknya, di kiriku adalah neraka tempat orang yang ingkar suruhan Allah, di belakang ku adalah dunia yang sentiasa menyajikan tipu muslihat sementara. Khusyuk jadinya diriku ketika bersolat dan takut sentiasa ada dalam diri ini bila teringat apa yang aku fikirkan tadi...

Semua perilaku yang aku zahirkan demi cintaku pada Allah berlaku setelah aku membaca. Ya, membaca menjadi kegemaranku yang paling tak dapat dipisahkan & ilmu yang sangat aku sukai. Aku gembira.. Yang wajib tetap ku buat dan aku tambahkan dengan sunat. Semuanya aku buat sendiri kerana ilmu yang aku perolehi selain mendengar tazkirah ustaz & ustazah..

Tapi langit tak secerah biru yang ku lihat.. Allah beri ujian dan aku leka dengan nikmat itu. Barangkali alasan sibuk memang aku sengajakan.. Tapi itu juga yang membuatkan Allah timpakan ujian tersebut. Silih berganti sejak meningkat dewasa..

Aku masih amalkan apa yang aku buat tapi ia semakin kurang.. Tidak istiqomah seperti dulu.. Adakalanya aku cuba bersikap sebaliknya.. Ntah mengapa jadi sebegitu.. Yang pasti aku pernah dengar ceramah yang disampaikan ada menyebut,

"Jika kita alim, maka ujian yang datang adalah lebih dahsyat lagi. Jika kamu Ketua Pengawas, maka Ketua Pengawas Iblis yang akan mengganggu"

Namun yang pasti diri masih tidak putus asa walaupun diuji dan masih lagi mampu mencari sumber kekuatan dari keluarga dan insan yang terhebat bergelar sahabat setia menegur ke arah kebaikkan. Dan aku masih gemar membaca seperti dulu dan sumber bacaan aku lebih tertumpu kepada saham akhirat dan kematian. Itulah rahsiaku tika ini..

Syukur dengan peringatan yang telah Engkau berikan, Ya Allah.. Aku sedar, Engkau rindukan diriku yang dulu.. Menangis walau aku gembira sekalipun.. Aku sedar kerana aku masih dalam perhatian Mu.. Aku sedar yang Engkau begitu sayangkan diri hamba Mu ini.

InsyaAllah Ya Allah.. Aku berjanji untuk memperbaiki diriku menjadi lebih baik.. Amin Ya Rabbal 'Alamin

Hidayah Allah tu sentiasa ada buat insan terpilih dan sebagai hamba kita kena cepat ambil peluang tu dan sedar untuk kembali ke pangkal jalan semula..

Tunggulah giliran untuk menerima ujian tersebut dengan redha..

~ Maaf sebab ganti diri bertukar-tukar.. Mana yang baik ambil sebagai pengajaran.. Seboleh mungkin saya cuba nak kongsi pengajaran & iktibar yang saya lalui.. Saya nak jadikan blog ni sebagai medium dakwah yang terbaik yang saya mampu