Sunday, August 16, 2009

~ PERSAHABATAN ~

السلآم عليكم ورحمة الله وبركة

Sekadar berkongsi cerita yg sy amik dr Muhd Kamil Ibrahim  mengenai PERSHABATAN...Tersentuh hati bila baca kisah nie walaupun sy tak pergi Makkah lagi...korang baca la ae...

##############################################################


Selepas subuh, saya membaca khutbah Jumaat yang ringkas tetapi signifikan.
Persahabatan akan mula terurai bila bermulanya perasaan iri hati yang tidak terkawal. Sejarah telah memperlihat bagaimana mereka yang bersahabat baik mula berjauhan apabila tidak dapat menerima sahabat yang hampir mendapat sedikit kelebihan.
Tentu sekali ia soal hati.
Kenyataan ini selalu dinyatakan kepada para pelajar. Bantulah rakan-rakan sekelas. Setiap kali kita mengajar mereka yang lemah, setiap kali itulah ilmu yang ada di dada akan bertambah. Jangan sesekali kita takut yang mereka akan menjadi lebih pandai, lebih bijak dan mendapat lebih kemuliaan.
Kemuliaan yang utama adalah di sisi Allah.
Allah mengajar saya erti persahabatan secara luar biasa. Pertimbangkan petikan kisah yang disampaikan melalui Travelogue Haji: Mengubah Sempadan Masa.
“…………. Rasa nikmat inilah yang menyebabkan hati tidak putus-putus berdoa supaya dapat membantu mereka yang dalam kesusahan mencari saf. Pada setiap waktu sembahyang!
Namun, perasaan nikmat yang tidak dapat digambarkan ialah pada hari terakhir di Masjidil Haram ketika mahu menunaikan solat Subuh. Saya berada hampir dengan Kaabah dan bersiap-sedia untuk membaca doa rutin.
Secara tiba-tiba bacaan doa diubah: Ya Allah, aku mohon keampunanMu. Aku mohon kerahmatanMu. Terimalah solatku ini. Ya Allah, inilah adalah solat terakhir aku di sini pada musim haji ini. Ya Allah, Kau hantarlah kepada ku sesiapa yang belum mendapat saf sebagai khidmat terakhir ku di Masjidil Haram. Ya Allah aku mohon keredhaanMu Ya Allah.
Hampir 70 meter di sebelah kiri saf, terlihat seorang jemaah berjalan tertunduk-tunduk mencari ruang untuk bersembahyang sambil memegang sejadah. Dia menghulur-hulur tangan memohon izin tetapi pastinya ia terlalu sukar. Apatah lagi jika saf sembahyang berhampiran dengan Kaabah.
Hati sempat melawak: Datanglah ke sini, datanglah ke sini, di sini tempat anda. Benar. Dia muncul di hadapan saya. Kami bertentang mata. Dia memohon persetujuan secara gerak hati dan perasaan. Saya membiarkan dia berlalu. Selepas bergerak setapak melintasi saf, saya memegang tangan kanannya dan menarik ke dalam saf. Dia nyata sangat-sangat gembira lalu menghampar sejadah untuk dijadikan alas sujud buat kami berdua.
Selesai sembahyang fardhu, saya terus mengangkat tangan untuk bersolat sunat dua rakaat sebelum bersembahyang sunat jenazah. Dia mengambil sejadah lalu membentangkannya secara memanjang khusus untuk di gunakan oleh saya seorang.
Kemudian, dia juga mengangkat takbir dan turut bersembahyang sunat dengan hanya berlapikkan batu marmar. Peritiswa kecil ini menyentuh hati. Tindakan beliau menyentuh hati. Saya hiba. Lalu menitiskan air mata. Dia telah memberikan kemuliaan hanya kerana memberikan ruang kepadanya untuk bersembahyang.
Ya Allah, janjiMu adalah benar, Ya Allah janjiMu adalah benar. Aku mohon keampunanMu Ya Allah.
Saya membaca bacaan sembahyang dalam linangan air mata yang cuba ditahan-tahan. Nyata Allah mengajar saya: Kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Kemuliaan manusia terletak pada hati dan perasaan. Sekecil mana perbuatan ikhlas yang cuba anda lakukan, ia pasti mendapat balasan. Ia mungkin rasa nikmat yang hanya saya sendiri mengerti dan memahaminya. Subhanallah – Subhanallah – Subhanallah [Astaghfirullah].
Selesai sembahyang, saya melipatkan sejadah dan menyerahkan kembali kepadanya. Dia memeluk saya, kiri – kanan – kiri, sambil mengucapkan terima kasih. Dia juga menyebut: Anda seorang yang baik (good man), semoga Allah memberkati hidup anda.
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! [Al-Quran 99:7-8]
Saya terfikir, kita boleh menjadi Wali Allah @ Malaikat di Masjidil Haram bukanlah secara jasad dan fizikal. Malaikat – sepanjang masa – melakukan ibadat kepada Allah. Wali pula adalah kekasih Allah. Mungkin kita boleh menjelmakan diri kita sebagai wali @ malaikat dengan melakukan sesuatu yang membuat orang berfikir begitu. Dan ia mudah dilakukan semasa menunaikan fardu haji. Namun idea sebenar adalah untuk menyuci diri dan mencari keredhaanNya.
Sesungguhnya malaikat-malaikat yang ada di sisi Tuhanmu tidaklah merasa enggan menyembah Allah dan mereka mengtasbihNya dan hanya kepadaNyalah mereka bersujud [Al-Quran 7:206].
Dan yang lebih penting, bila pulang ke Malaysia meneruskan amalan baik yang telah anda lakukan di Tanah Suci Makkah dan Madinah. [Nota: Petikan daripada Bab Menjadi Wali Allah]

No comments: