Thursday, March 24, 2011

NAZAR (Definisi dan Dalil)

Assalamualaikum w.b.t.


Hari saya ingin berkongsi ilmu dengan sahabat semua tentang NAZAR. Adakah anda tahu apa itu nazar?

Nazar dari segi bahasa bermakna perjanjian yang baik atau yang buruk manakala dari segi syarak pula dikhususkan kepada perjanjian yang baik sahaja.

Menurut istilah ulama fiqah, nazar bermaksud membuat iltizam untuk melakukan sesuatu kebajikan yang tidak wajib dari segi syarak sama ada dikaitkan dengan sesuatu ataupun tidak.

Dalil pensyariatan nazar dan wajib menunaikannya berdasarkan sumber primer perundangan Islam iaitu al-Quran dan hadis:

Allah berfirman tentang sifat ahli kebajikan yang bermaksud: "(Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya) dan mereka takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana." (Surah al-Insan 76: 7).

Menurut al-Maraghi, mereka memenuhi apa yang mereka wajibkan atas diri mereka. Jika demikian keadaannya iaitu mereka memenuhi apa yang diwajibkan kepada dirinya sendiri, maka dia tentu lebih memenuhi apa yang diwajibkan Allah s.w.t. kepada dirinya sendiri.

Dalam surah al-Hajj ayat 29, Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya."

Daripada Aisyah r.ha., bersabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: "Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah hendaklah ia mentaatinya, dan sesiapa yang bernazar untuk berbuat maksiat terhadap Allah, janganlah dia melakukannya." (Riwayat al-Bukhari no. 6318).

Dalam hadis yang lain, daripada Imran bin Husain, Nabi s.a.w. bersabda tentang nazar, maksudnya: "Selepas kamu nanti akan terdapat golongan yang khianat, tidak beramanah, menjadi saksi tanpa diminta, bernazar tetapi tidak menunaikannya dan masing-masing kelihatan gemuk-gemuk belaka." (Muttafaq 'alaih).

>> Untuk ayat yang lebih mudah, nazar ini merupakan satu niat yang terdetik di dalam hati untuk melakukan suatu kebaikkan (bukan berniat untuk melakukan sebaliknya) yang menjadi satu kewajiban bagi dirinya untuk melaksanakan niat itu dengan sebaiknya.

Sebagai contoh, "Jika aku mendapat keputusan 11A+  dalam peperiksaan SPM, aku bernazar untuk berpuasa satu hari." atau "Jika aku mendapat pekerjaan dalam sektor kerajaan, aku bernazar untuk bersedekah di masjid".

Ayat di atas, adalah contoh nazar yang wajib dilakukan oleh tuan empunya badan jika apa yang di target kan oleh dirinya mencapai matlamat. Maksudnya memperolehi apa yang dihajati. Jika tidak berjaya, nazar itu tidak memberi kesan apa-apa.

Dan sekiranya, nazar itu berjaya ditunaikan, namun empunya badan sudah tiada (meninggal), orang terdekat yang mengetahui nazar itu wajiblah melaksanakannya.

Nazar dengan niat yang mampu dilakukan adalah dituntut. Jangan pula membebankan diri sendiri dengan nazar yang sukar dipenuhi..

Wallahu'alam...

* Saya juga ada bernazar...tapi jawapan masih belum diperolehi lagi... SABAR..

No comments: