Sunday, July 17, 2011

KITA BERBEZA DI BAWAH LANGIT YANG SAMA...

Kopi yang masih panas kucicip perlahan. Kurang manis. Aku mencapai satu paket gula, mengoyakkan bucunya lalu mencurahkan isinya ke dalam cawan putih bermulut heksagon. Tanganku mengacau sudu sambil mata merenung jauh.

"Kenapa kau diam? Tak betulkah apa yang aku katakan?". Pandangannya menuntut jawapan. Dia turut menghirup teh manis di dalam cawan di hadapannya.

Aku masih diam. Persoalan yang dihamburkan membuat aku malas mahu melayan.

"Hilwah... kau marah?"

Aku menggetis donat di dalam piring, lalu menyuapkannya ke mulut. "Buat apa aku nak bertekak tentang persoalan yang kau sendiri telah punya jawapan dan pilihan."

"Aku bukan mengajak bertekak, Hilwah. Tapi berkongsi pandangan," balasnya. Dia mengorak senyum. "Err, tapi maksud kau, betullah kau bersetuju bila aku katakan profesion perguruan itu serendah-rendah karier dalam kelas profesional?

Aku teguk lagi kopi yang masih hangat. Menarik nafas. "Ya... dan tidak." Aku menjawab acuh tidak acuh. Hakikatnya pantai hatiku sedang diamuk gelora. Rasa terhina!

"Maksudmu?"

Aku memerhatikan gelagat beberapa orang AJK seminar yang gesit berpergian ke sana ke mari. Sibuk mengurus bahan-bahan untuk pembentangan kertas kerja sesi petang. "Ya, dari sudut material, mungkin. Atau stratifikasi kelas profesional. Jika dari sudut itu, aku akui. Tetapi tidak jika kau katakan profesion guru itu serendah-rendah kerjaya dari aspek khidmat bakti, budi, hatta martabatnya di sisi Tuhan."

Dia terlongo. Kemudian perlahan-lahan menguntum senyum. "Kau sebenarnya marah padaku, bukan?"

Aku sekadar diam. Dan menjeling geram.

"Hati-hati, nanti matamu juling!" usiknya.

Segaris senyuman pun tidak terlukis di bibirku. Pedulikan!

"Maafkan aku tentang hari itu."Matanya tunak merenung anak mataku. Tajamnya menembus ke jantung! Aku melarikan pandangan, dan sedikit terpinga. "Maaf? Tentang apa?" Baki donat di tangan, aku suapkan ke mulut. Gula yang melekat pada jari kukesat dengan sehelai tisu yang sudah keronyok.

"Maafkan aku kerana aku telah berkahwin." Roman mukanya menggambarkan kekesalan.

Aku terperanjat. Eh, kenapa soal ini pula yang ditimbulkan? "Kenapa minta maaf? Salahkah jika berkahwin?" Aku pura-pura berlagak selamba. Mengenang peristiwa bulan sudah ketika aku keluar ke pusat membeli-belah. Niat di hati mahu mencari hadiah hari jadi untuk teman baikku, Suraya. Jadi, aku keluar seorang diri. Dan Tuhan telah memperlihatkan kepadaku pada hari itu, dia sedang mendukung seorang bayi sambil tangan kirinya memegang tangan seorang wanita kecil molek. Mata kami bertembung. Dan dia kaget. Gelabah.

"Aku tahu hatimu, Hilwah. Takkan kau telah lupakan segala kenangan kita di bangku sekolah?" Tampangku tertampan di kornea matanya, tidak mahu lepas-lepas. Aku kalah pada renungan itu, lalu mengalih pandang kepada cawan putih di hadapanku, berenang di dalam cairan kopi yang hitam pekat.

Semilir kenangan kembali berhembus di ranting ingatan. Dahulunya, dia seniorku ketika di bangku sekolah menengah. Aku masih ingat, setiap kali tiba waktu rehat, pasti dia dan beberapa teman baiknya akan datang ke kelasku. Mengintai-intai gerakku. Sepi tanpa suara, dan langsung tiada usikan. Juga tiada surat cinta. Hanya pandangan mata berbicara. Tetapi itu tidak lama kerana dia berpeluang menyambung pengajian di universiti, sedangkan aku masih di tingkatan dua. Segala yang pernah berlaku terus lesap dikaburi cita-cita masa depan.

"Masakan aku lupa, Is. Tapi kita tak punya apa-apa hubungan aku kira. Sekadar rasa di hati. Setiap manusia pasti punya naluri demikian. Itu fitrah." Kopi sudah suam. Aku meneguk sekali. Rasa pahit di tekak tiba-tiba.

"Tapi aku tahu, kau masih miliki rasa terhadapku hingga saat ini. Jangan kau nafikan, Hilwah." Kening lebatnya bertaut. Renungannya tajam.

"Is, aku minta diri dulu. Majlis dah nak mula." Aku gesit berdiri sambil mencapai beg tangan berona coklat di atas meja beralas cadar merah jambu. Sekonyong-konyong, beg tangan itu terasa seperti tersangkut pada sesuatu. Berat. Aku memandang sekilas. Dia menarik beg tanganku!

"Kenapa ni, Is?"

"Aku tetap tahu hatimu biarpun kau diam atau tidak mengakui. Aku tahu, Hilwah..." Beg tanganku dilepaskan. Dan aku berlalu dengan mengusung hati yang libang-libu.

Aku sengaja sign in ke Yahoo Messenger dengan status available. Tumpuanku tidak pula ke situ. Tanganku cekatan menaip sebuah artikel untuk dipos ke blog yang aku kira sudah semakin semak dan bersawang akibat tidak dikemaskini beberapa lama.

Buzz! Aku terperanjat. Melihat tetingkap Camar Senja terpapar di skrin komputer riba.

"Hilwah, aku tetap bertegas mengatakan karier pensyarah adalah lebih baik berbanding guru!"

 Batinku serasa berasap mendengar kenyataan itu. "Kau ni kenapa, Is? Tanpa salam, terus saja redah cakap merapu-rapu!" Aku sedikit radang.

"Kenapa, kau tiada hujah untuk membidas kenyataanku itu? Kerana ia benar, bukan?"

"Tidak! Tak kuasa aku nak melayan kerenah kau yang entah apa-apa. Perasan sangat!" Aku membalas geram.

"Perasan atau kau sebenarnya telah mengaku kalah?" Dia mengirim senyuman ketawa berdekah-dekah. Aku kian hangat. Kugenggam jari-jemari dan berderap-derup bunyinya. Segera ku taip, "Kau tahu, aku pernah membaca ungkapan ini 'kemenangan yang sebenar adalah dengan mengaku kalah'. Ertinya, aku menang lantaran tidak mahu berbalah dengan kau!"

"Tidak. Kau tidak menang selagi tidak dapat mematahkan hujahku... Bagi aku, kerjaya guru layak dipohon oleh sesiapa saja, hatta tukang kebun!"

Ini sudah melampau! Tuduhan melulu tidak berasas. Pasti sengaja mahu menaikkan darahku. "Eh, kau ni betul-betulkah pensyarah? Jangan cakap melulu saja. Kau tak tahukah, untuk menjadi guru perlukan pengetahuan pedagogi. Serba-serbi tentang dunia pendidikan kena tahu. Dan aku rasa, kau juga tidak punya pengetahuan pedagogi! Menurutku, untuk menjadi pensyarah tidak semestinya perlukan pengetahuan itu." Aku berhenti sejenak. Berfikir dalam-dalam sebelum meneruskan. "Tukang kebun dengan dunia tukang kebunlah. Jika tukang kebun kurang arif tentang dunia guru, kita pun serupa. Kurang dari segi ilmu perkebunan. Bukankah kita ini saling lengkap-melengkapi. Ha, jangan kau nak hina tukang kebun pula! Ingat, datukmu dahulu tukang kebun juga!" Aku sengaja melemparkan paku buah keras.

"Ahh!! Kau jangan nak kaitkan dengan datuk aku pula."

Aku sengaja tidak membalas. Malas sungguh mahu melayan sikapnya yang keanak-anakan itu, sedangkan hakikatnya sudah pun menjadi bapa orang.

Buzz! "Kalau kau perhatikan, guru sering tidak ke mana-mana. Di takuk itu jugalah, tak berubah-ubah sampai pencen! Cuba kau lihat pensyarah. Lepas dapat M.A. sambung Ph.D pula. Kemudian sambung lagi, dan lagi. Aku kira, hanya golongan pensyarah yang mentradisikan pembelajaran sepanjang hayat."

Aku naik jelek. Rasa meluat meluap-luap dalam dada. "Aku tak faham kenapa kau terlalu ghairah untuk mengangkat kedudukan kerjaya sendiri." Anak rambut jatuh berjuntaian di dahi. Gesit aku menyelit di belakang telinga. "Hmm, bagi aku, pembelajaran sepanjang hayat bukanlah mesti melalui proses formal semata. Bukan sekadar belajar daripada buku-buku, teori atau kajian ilmiah, bahkan dari kehidupan dan pengalaman itu sendiri. Cuba kau lihat golongan lama di kampung-kampung. Mendengar kuliah ilmu di masjid-masjid, menadah kitab di pondok-pondok, belajar sesuatu melalui pemerhatian dan renungan terhadap alam, itukan juga suatu pembelajaran, meski tidak formal. Tidak perlu berpangkat pensyarah atau berlenggang bawa 'telinga' masuk ke dewan kuliah baru boleh dikatakan sebagai belajar. Kehidupan ini madrasah, Is. Sekolah. Kita sentiasa belajar daripada sekolah hidup..." Aku menyudahkan rangkaian ayat-ayat tersebut dengan senyuman puas.

Camar Senja is typing a message. "Ya, baiklah. Aku setuju. Tapi apa pendapat kau tentang karier guru? Guru dengan pensyarah; mana lebih baik?"

"Is, aku takkan menghukum mana yang lebih baik. Masing-masing ada kurang lebih tersendiri. Misalnya, jika kau katakan pensyarah itu lebih baik, alasannya mungkin kerana tangga gajinya yang lebih tinggi, ruang kerja yang lebih kondusif dan eksklusif. Gelar 'pensyarah' itu sendiri sudah kedengaran gah berbanding guru."

"Akhirnya kau mengaku juga..."

"Aku belum habis, Is. Sudah aku katakan, aku tidak berpihak kepada mana-mana. Selama ini pun, aku langsung tidak pernah terfikir untuk membandingkan di antara dua kerjaya itu, atau kerjaya-kerjaya lain juga. Apa yang penting, setiap pekerjaan itu niatkan ikhlas kerana Allah. Di situlah nilainya."

"Aku tetap mahu penjelasan kau tentang karier guru."

Aku mendengus marah. Genggaman penumbuk aku acukan ke skrin komputer. Geram. "Kau ni degil ya? Bapa yang sungguh degil! Kelak, anak-anakmu akan mewarisi kedegilan itu."

"Teruskan saja... Aku ini bapa muda, tahu?"

Aku mencebik. Perasan! Jari-jemariku kembali menekan-nekan papan kekunci. Menaip pantas. "Baiklah. Secara peribadi, karier guru bagiku lebih mulia berbanding pensyarah. Bukan mudah untuk menjadi guru, Is. Tapi jika mahu jadi pensyarah, serasaku lebih senang. Gelarnya juga pensyarah. Masuk ke dewan kuliah, bersyarahlah semata tanpa terlalu menitikberatkan sama ada pelajar faham apa tidak. Guru sebaliknya. Dia harus 'menyuap' pelajar ketika pelajar itu masih kosong. Tidak punya sebarang asas pembelajaran. Jadi, mana lebih susah?"

"Pelajar universiti kan sudah dewasa. Bisa hidup mandiri. Tidak perlu 'disuap' lagi..." Dia tiba-tiba mencelah.

"Tunggulah aku habiskan ayat, Is. Kata mahu dengar hujahku."

Dia mengirimi senyuman malu tersipi-sipu. "Okey, okey..."

"Kau harus tahu. Guru turut berperanan sebagai ibu dan ayah kedua selain mengajar. Misalan yang dapat aku bawa, ada sebahagian guru di pedalaman yang terpaksa memandikan pelajar dan bedakkan mereka sebelum pengajaran bemula. Ini kerana pelajar-pelajar tersebut tidak pernah mandi pagi. Lantaran itu, memandikan mereka merupakan salah satu pendekatan untuk memberitahu mereka tentang kepentingan menjaga kebersihan diri." Jeda memanipulasi. Fikiranku ligat berputar, bagai roda di atas jalan. Aku meneruskan. "Malah, guru lebih dekat dengan pelajar jika dibandingkan dengan pensyarah. Pelajar tidak segan silu untuk bertemu guru tentang apa juga permasalahan, hatta maslah peribadi. Hal sebalknya berlaku kepada pensyarah. Pensyarah dengan pelajarnya seolah-olah ada jurang yang lebar membataskan hubungan kedua-duanya untuk lebih hampir. Mungkin kerana taraf atau status pensyarah itu yang dipandang eksklusif, kononnya..."

Tiada balasan. Sepi. Aku melihat statusnya: Offline. Aku mengeluh. 'Merajukkah orang tua ni?' Aku yang sejak awal malas mahu melayan fiilnya terus hanyut dalam timbunan buku-buku dan abjad-abjad di skrin komputer.

Kafe Fakulti Pendidikan lengang, tidak ramai pelanggan. Aku terus menghirup bihun sup yang masih panas berasap. Lapar mencucuk-cucuk sehingga aku tidak lagi pedulikan tampang di hadapanku.

Dia tersenyum. "Bagus juga hujah kau semalam, Hilwah. Maaf, aku terpaksa sign out sebab ada hal mengejut. "Dia sekadar menghirup teh O ais limau menerusi straw berjalur putih jingga di atas meja tanpa alas.

"Kenapa? Anak meragam? Atau isteri merajuk melihat suami berchatting dengan perempuan lain?" Aku sengaja mencucuk. Mahu melihat riak muka.

Dia ketawa anak. Mukanya merah. "Ke situ pula fikiranmu." Dia menyambung tawa.

Aku mengerling dengan ekor mata. Lidah tiba-tiba rasa melecur dek bihun yang panas. Segera kuteguk sirap limau yang sudah sedikit cair ketulan aisnya.

"Aku sayangkan kau, Hilwah."

Aku melatah terkejut. Telinga turut berdesing. "Kau nampak longkang tu?" Telunjukku menuding ke arah longkang yang tidak jauh dari tempat kami berada. Dia membuang pandang mengikut arah telunjukku. "Buang sayangmu di situ!"

"Kau menghina aku, Hilwah?"

"Tidak. Aku bukan menghina. Tapi sayangmu tidak berhak untukku."

"Kenapa?"

"Jangan jadi bodoh. Kau punya anak dan isteri. Beri sayangmu kepada mereka."

Mukanya memerah. Menahan malu barangkali. Tapi biarlah aku pasakkan ketegasan di hadapan lelaki ini.

"Is, aku ini hanyalah seorang bakal guru... Kata orang dulu-dulu; enggang terbang bersama enggang. Pipit dengan pipit mengepak bersama..."

Seleraku sudah patah. Aku tinggalkan mangkuk bihun yang masih berbaki sedikit sambil direnung hampa olehnya. Hatiku sendiri kosong.

Sumber: iluvislam.com

~ Mana-mana kerjaya yang berasal dari keringat sendiri adalah sangat mulia di sisi Allah sebab kita melaksanakan amanahnya dan mampu memperbaiki fitrah kita ke arah lebih baik.. Usaha tangga jaya dan yang penting halal...

~ Tapi saya bosan dengan pertanyaan yang diutarakan oleh bapa muda itu...macam tak berakal...

6 comments:

LaNuNsepet said...

hmm... dah baca n cuba memahaminya..
papepun sahabatku..
semoga mudah urusan dikurniakan penyelesaian yang terbaik setiap masalah..

RuMaH TuA said...

Tumpang terasa.... (^-^)

Anonymous said...

Assalamualaikum, saudari sakit apa? Exam tu boleh jawab?

Brilliant Marjan said...

Lanun Sepet >>

Senang je nak faham.. Dunia pendidikan tapi jawatan tu je lain.. Guru & Pensyarah.. Sama kan? Mendidik anak bangsa tapi berbeza dari pelajarnya, pemikiran utk mengajar pelajar, pendekatan dll.

Senang kata jangan pandang rendah pada setiap pekerjaan walaupun hanya tukang sapu..

Brilliant Marjan said...

Rumah Tua >>

Terasa macam mana tu? Boleh share?

Harapnya saudari tabah menumpuh dugaan hidup..

Brilliant Marjan said...

Anonymous >>

Wa'alaikumsalam.Terlebih dahulu, kan molek letak nama.. Adakah anda kenal saya? Saya kenal anda??

~ Tak gemarnya nak jawap soalan orang yang kita tak kenal...Maap banyak2..