Sunday, August 22, 2010

MARAH IBARAT...

Assalamualaikum w.b.t

Apa khabar anda semua? Semoga sihat hendaknya.. Saya ingin membawakan satu artikel yang wajar dikongsi bersama.. Ia berkaitan dengan sifat marah ataupun perasaan marah. Marah Ibarat Api di Dapur Hatimu! Anda semua tahu kan apa yang akan terjadi jika kita tidak mampu mengawal kemarahan??


Kemarahan kita kepada seseorang akan memudaratkan kita sendiri lebih daripada orang yang kita marahkan. Justeru, memaafkan adalah langkah yang paling baik - bukan sahaja untuk orang lain tetapi untuk diri kita sendiri. Ertinya, memaafkan orang lain samalah seperti memaafkan diri sendiri. Diri kita akan menjadi lebih tenang, ceria dan stabil apabila memaafkan "musuh-musuh" kita.

Menurut ajaran Islam kemarahan berasal daripada syaitan, dan syaitan berasal daripada api. Api itu panas dan membakar. Bahangnya menyebabkan pertimbangan hati, akal dan perasaan kita tidak seimbang. Malah, ada kesan biologi yang negatif apabila kita marah - deguapan jantung, aliran darah, retina mata dan rembesan hormon berubah daripada biasa. Muka menjadi merah, telinga menjadi panas, gigi serta bibir mengetap... Benarlah seperti yang dianjurkan oleh Imam al-Ghazali apabila seseorang itu marah, " Pandang betapa hodoh wajahmu di muka cermin! "

Namun, siapakah yang tidak pernah marah? Marah itu sebahagian daripada sifat tabii manusia. Tanpa marah, manusia bukan manusia lagi. Justeru, marah itu satu anugerah. Dengan adanya sifat marah, timbullah semangat mempertahakan diri, keluarga bahkan agama. Ringkasnya, marah itu ada yang terpuji, ada yang dikeji. Marah yang terpuji apabila sesuai pada tempatnya, sebab dan keadaannya.

Apabila agama dikeji, kita mesti marah. Ketika itu jika kita tidak marah, Allah akan marahkan kita. Sebaliknya, apabila diri peribadi kita yang dikeji, dianjurkan supaya bersabar. Ini soal personal. Memaafkan, lebih utama. Sayangnya, hal yang sebaliknya selalu berlaku. Apabila agama dikeji, kita selamba. Apabila diri dikeji, marah kita seakan menggila.

Bagaimana kita boleh meneladani Sayidina Ali r.a yang masih mampu membezakan "jenis" marahnya pada saat kritikal? Ketika dia diludah oleh musuhnya sewaktu hendak memancung kepala musuh tersebut, Sayidina Ali tiba-tiba berhenti justeru merasakan marahnya bukan lagi atas semangat jihad fisabilillah  tetapi oleh kebencian melulu yang lebih bersifat personal.


Termasyhur kata-kata ahli rohani, jika diri dikeji....telitilah, muhasabahlah, adakah kejian itu sesuatu yang benar dan tepat.? Jika benar dan tepat, kejian itu mesti dilihat sebagai "teguran" daripada Allah melalui lidah manusia. Koreksi dan perbaikilah diri segera. Namun sekiranya kejian itu tidak benar, apa hendak dirisaukan? Bukan manusia yang menentukan mudarat dan dosa. Biarkan ia berlalu, jangan takut kepada orang yang mencerca!

Namun itu tidak bermakna kita jumud hingga merelakan diri untuk sewenang-wenangnya diperkotak-katikkan. Kesabaran perlu diiringi kebijaksanaan. Tabah bukan mendedahkan diri untuk difitnah. Tanganilah, hadapilah, kejian yang salah dengan cara yang betul. Hadapi emosi si pengeji yang panas berapi dengan kepala sedingin salji.

Jadikanlah kemarahan itu sebagai "pekerja" dan diri kita sebagai "majikan"nya. Biarlah marah yang bekerja untuk kita, bukan kita yang bekerja untuknya. Jadi, mula-mula, tuluskanlah marahmu hanya kerana Allah semata. Kemudian luruskanlah marah itu pada jalan yang dibenarkan-Nya sahaja. Kemudian uruskanlah marahmu mengikut kadar dan batasnya...

Jadikanlah marah umpama api di dapur hatimu. Panasnya, biar berpadanan. Jangan terlalu kecil, hingga tindakanmu kelihatan "mentah". Jangan pula keterlaluan hingga peribadimu hangus terbakar!

~ Bulan baik ni, saya ingin memohon kemaafan buat anda semua jika secara sedar atau tidak sedar saya ada mengguriskan hati anda semua.

No comments: