Saturday, November 19, 2011

Sekolah perlu pulangkan wang bantuan jika tidak dituntut: TPM

KUALA LUMPUR: Pihak sekolah perlu mengembalikan semula wang bantuan persekolahan RM100 kepada kerajaan sekiranya wang terbabit tidak dituntut oleh ibu bapa pelajar, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. 


Timbalan Perdana Menteri berkata, ibu bapa juga boleh membuat pilihan sama ada untuk menerima bantuan itu atau tidak atau berhasrat untuk menyumbang kepada pihak sekolah. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ibu bapa bagaimanapun perlu membuat tuntutan ke atas wang berkenaan mereka sebelum membuat keputusan untuk menyumbang kepada sekolah."Kalau di sekolah itu ada ibu bapa pelajar yang kata tidak memerlukan (bantuan) dan sebagainya, itu tidak apa. Kita dah arahkan kepada sekolah, kalau ada lebihan, mereka pulangkan kepada kementerian dan akan masuk balik dalam tabung kerajaan, itu duit kerajaan. 

"Terserah kepada ibu bapa (untuk ambil atau tidak) kerana tujuan kita hendak kurangkan beban sebab awal tahun nak belanja beli kasut dan sebagainya. Kalau ibu bapa kata dah mampu dan ada kemudahan lain dan fikir nak sumbangkan...ibu bapa kena ambil dahulu duit itu," katanya kepada pemberita selepas perasmian Hari UNESCO Malaysia di sini hari ini. 

Muhyiddin berharap pengagihan wang bantuan itu dapat diselesaikan dalam bulan ini dan sekiranya masih belum dituntut oleh ibu bapa atas sebab-sebab tertentu, pengetua atau guru besar di sekolah berkenaan boleh membuat keputusan mengenai perkara terbabit. 

"Kalau masih ada ibu bapa yang jauh atau ke luar negara, itu tidak menjadi masalah kerana duit itu kita akan simpan dulu. 
 
"Kalau ada yang tidak disampaikan lagi oleh sebab tertentu, guru besar atau pengetua boleh buat keputusan. Kalau ada sampai hujung tahun (tidak dituntut), mereka kena serahkan baliklah," katanya. 

Wang bantuan persekolahan RM100 sudah mula diagihkan kepada 5.3 juta pelajar dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 sejak 15 November lalu.

Sumber: Berita Harian

~ Kenapa adik saya yang form 5 tak dapat? Bila saya tanya dia, katanya hanya form 4 disekolahnya yang dapat RM 100. Kenapa ye? Ouh..Sebelum terlupa dan tak terlewat saya nak ucapkan selamat menghadapi peperiksaan SPM untuk adik-adik saya.Dan tak lupa juga tahniah bagi mereka yang berjaya mendapat kepututsan cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PSRA. Misi kejayaan tidak harus terhenti di sini tetapi perlu diteruskan hingga mencapai sasaran yang dikehendaki.

Thursday, November 17, 2011

Darjat Seorang Isteri



1. Isteri Siddiqin
Isteri yang tidak akan meminta apa-ap...a dari suaminya sekalipun yang perlu (dharuri). Apa yang disediakan suaminya, dia terima dengan penuh malu dan bersyukur. Kalau ada, adalah. Kalau tidak ada, dia bersabar. Tapi meminta tidak. Apatah lagi yang tidak perlu, kalau diberi pun dia tolak bahkan adakalanya yang perlu pun dia tolak dengan baik, dia lebih suka menolong suaminya. Itulah golongan yang bersifat orang yang Siddiqin. Golongan ini payah hendak dicari terutama di akhir zaman ini, macam hendak mencari belerang merah atau gagak putih. Ini adalah perempuan luar biasa.

2. Isteri Muqarrobin
Isteri yang tidak meminta dari suaminya kecuali yang perlu sahaja. Yang tidak perlu dia tidak akan memintanya bahkan kalau suaminya memberi yang tidak perlu dia tolak dengan baik. Tapi kalau yang diperlukan pun tidak ada, dia tetap sabar. Namaun dia tidak akan mendesak suaminya. Dia tetap bersabar dengan keadaan itu. Itulah golongan Muqarrobin. Golongan ini juga susah hendak dicari di zaman kebendaan ini, di zaman orang memburu dunia, di zaman orang memandang dunia adalah segala-galanya.

3. Isteri Solehin
Isteri yang meminta kepada suaminya yang perlu dan juga sekali-sekala meminta juga yang tidak perlu seperti ingin sedikit kehidupan yang selesa sama ada dari segi makan minum, tempat tinggal, kenderaan. Namun kalau suaminya tidak memberi, dia tetap sabar dan tidak pula menjadi masalah. Itulah dia golongan orang yang soleh.

4. Isteri Fasik
Isteri yang selalu sahaja meminta-minta bukan sahaja yang perlu, yang tidak perlu pun dia suka meminta-minta juga. Kalau diberi pun tidak pernah puas-puas, tidak pernah rasa cukup, sudah mewah pun tidak rasa cukup. Kalau tidak diberi menjadi masalah, dia merungut-rungut, marah-marah, sakit hati, merajuk hingga menjadi masalah dalam rumah tangga. Inilah dia golongan yang fasik. Isteri ini selalu sahaja derhaka dengan suami, apatah lagi dengan Tuhan.

Semoga Allah menyatukan hati-hati kita, menjadikan kita saling mencintai karena Dia; sebagaimana dalam hadits yang diriwayatkan oleh Tirmidzi Rasululllah saw bersabda:

"Di sekitar Arsy ada menara-menara dari cahaya. Di dalamnya ada orang-orang yang pakaiannya dari cahaya dan wajah-wajah mereka bercahaya. Mereka bukan para nabi atau syuhada'. Para nabi dan syuhada' iri kepada mereka. Ketika ditanya para shahabat, Rasulullah menjawab, "Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai karena Allah, saling bersahabat kerana Allah dan saling kunjung mengunjungi kerana Allah..

Sunday, November 13, 2011

PESANAN

Usah kamu bersangka bahawa sahabat mu yang sering menegur mu itu adalah orang yang paling bertaqwa.


Usah kamu berfikir bahawa sahabat mu yang sering menasihati mu itu adalah manusia yang tidak pernah diuji.


Usah kamu beringat bahawa sahabat mu yang tegas beragama itu adalah manusia yang paling sempurna.


Hakikatnya, dia menegur mu untuk mengingatkan dirinya jua.


Dia menasihati mu untuk dirinya turu...t berjaga-jaga.


Dan dia bertegas dalam hal-hal agama kerana risaukan bahang api neraka.


Sahabat mu itu bukanlah MALAIKAT..Dia juga MANUSIA biasa.


Tegurlah dirinya juga..kerana kita saling memerlukan..

Bersangka baiklah, dia sebenarnya mahu memimpin mu masuk ke syurga bersama-sama.

Moga Allah meredhai kita semua menuju ke arah jalan-Nya....^^

Share dari : Adik aspuri, Fatimah Azzahrah melalui facebook..

Friday, November 11, 2011

SAYA MALU NAK JADI BAIK



"Aku dah tak suci lagi. Aku banyak dosa. Terlanjur dah dengan berapa orang lelaki dah. Zina tu dulu perkara biasa bagi aku sebab aku couple bukan dengan seorang lelaki je. Tapi sekarang aku menyesal. Aku rasa aku teruk sangat! Aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Aku selamanya tak akan jadi baik. Dosa-dosa lalu terus menghantui hidup aku. Aku rasa diri ini jijik dan teramat kotor,"

"Aku ini nak kata budak jahat, tak adalah jahat sangat cuma nakal tu adalah sikit-sikit. Itu mungkin kerana terikut perangai kawan-kawan. Mengusik dan menyakat orang kerja biasa. Tapi sebenarnya jauh di sudut hati aku, aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Nanti apa yang kawan-kawan aku kata. Aku dah pernah sekali ajak mereka solat berjemaah dan pergi dengar ceramah tapi aku dipandang pelik. Aku rasa susah sangat. Aku terhimpit,"

"Aku solat cukup lima waktu sehari. Puasa pun Alhamdulillah. Nak kata bab tutup aurat, aku lepaslah agaknya. Tapi aku rasa aku ini tak cukup baik. Bila aku tengok kawan-kawan yang berubah, bila aku tengok kawan-kawan yang pakai tudung labuh dan berbaju kurung, aku rasa aku ini tak baik. Aku nak berubah tapi aku malu. Aku rasa susah. Aku rasa tak sanggup nak tinggalkan dunia cardigan, jeans, shawl dan pashmina,"

Iman Itu Masih Ada.

Tatkala hati terkesan dengan perbuatan dosa yang dilakukan, itu bukti tandanya iman masih ada. Penyesalan itu salah satu daripada peringkat taubat.

Fitrah manusia suka akan kebaikan. Sebenarnya melakukan kebaikan lebih mudah daripada melakukan maksiat. Tak percaya?

Mana lebih senang. Pergi konsert atau pergi masjid? Kalau pergi konsert, perlu keluarkan duit untuk membeli tiket dan bersesak-sesak dengan orang ramai. Faedah? Belum tentu. Kalau pergi masjid, langkahan kaki pun sudah dikira. Tidak perlu keluarkan modal. Malah makin dicintai Allah. Asal niat betul.

Mana lebih senang. Bersedekah atau mencuri? Kalau bersedekah, hanya keluarkan duit. Zahirnya berkurang sedangkan hakikatnya semakin meningkat saham di sana. Kalau mencuri, hati gelisah dan tidak tenteram. Hidup dalam ketakutan. Tidak bahagia.

Selagi dunia tidak kiamat, selagi itu peluang masih ada. Kenapa harus memandang dosa yang lalu sedangkan kita masih punya waktu?

Pandangan manusia. Cuba jadi tegas! Manusia kalau kita buat baik, ada orang tidak suka. Kalau kita buat jahat apatah lagi, mesti ramai juga yang tidak suka. Jadi, buat hanya apa yang Allah suka walaupun manusia tidak suka. Pegang prinsip itu! Kerana kita bukan hamba manusia, kita hamba Dia! Ini bukan marah tetapi tegas dan semangat!.

Create the Future

Kita selamanya tidak akan pernah tahu apa yang bakal terjadi pada masa hadapan. Tetapi kita boleh mengubahnya mulai hari sekarang. Apa yang kita buat hari ini, itulah yang bakal terjadi pada hari esok. Yang penting, tanya pada diri, jika ingin melakukan kebaikan, di manakah usaha? Begitu juga dengan soal rezeki dan jodoh. Qada muallaq iaitu ketentuan Allah yang tercatat di lauhul mahfuz dan kita boleh mengubahnya. Tetapi itu semua bergantung kepada sejauh mana usaha dan doa.

Mari saya datangkan satu analogi. Katakan Ahmad seorang pelajar yang bermasalah, malas belajar dan menghisap rokok. Tiba suatu ketika, terdetik penyesalan di hatinya. Dan ketahuilah, saat itu, dia punya dua peluang. Peluang ke arah kebaikan atau sebaliknya. Terhimpit antara dua lorong.

Lorong pertama, memilih untuk rajin belajar dan meninggalkan tabiat menghisap rokok. Lorong kedua, masih tetap dengan perangai dan tabiat lama. Apakah mungkin jika dia masih berada di lorong kedua, pada masa hadapan nanti dia bakal menjadi seorang graduan universiti yang punya sahsiah mulia dan cemerlang? Sudah tentu tidak! Tetapi sebaliknya yang berlaku jika lorong pertama yang menjadi pilihan.

Ini yang saya maksudkan. Bukan mahu menjadi ahli nujum. Cuma mengajak untuk bersama membina masa hadapan. Mencipta jalan cerita sendiri. Kita umpama pelakon di pentas dunia. Kita punya kuasa untuk mengarah jalan drama sendiri. Dan yang pasti hanya ada dua pilihan yang terbentang. Satu lorong yang dipilih, akan membawa kepada lorong yang lain. Jika lorong kebaikan dan perubahan yang dipilih, pasti kesudahannya juga begitu. Begitu juga sebaliknya. Inilah sunnatullah.


Buat Dirimu...

Sayangku nisa', usah biarkan keterlanjuranmu menjadi sejarah hitam yang terus mencalit debu kehitaman walau hingga ketika ini. Itu semua sejarah dahulu dan ketahuilah hari ini juga bakal menjadi sejarah. Tetapi bezanya sejarah dahulu itu menjadi suatu pengajaran yang besar buat diri. Dan sejarah yang bakal ditelusuri ini, ketahuilah, dirimu masih punya waktu. Usah persiakannya!

Juga buat diri yang rindu akan kebaikan. Apakah saat Allah mendatangkan penyesalan di hatimu, engkau mahu melepaskan peluang ini? Apakah pada saat Allah membuka jalan taubat buatmu, engkau memilih untuk semakin menjauh daripada-Nya walaupun tanpa kerelaan hanya kerana malu dengan manusia sekeliling? Atau merasa diri itu terlalu kotor dan tidak layak untuk diampunkan? Ketahuilah Dia Maha Pengampun. Usah pedulikan pandangan mereka dan mereka itu, tetapi dongaklah ke atas, dan ketahuilah Dia menunggumu untuk sujud kepada-Nya! Bersama air mata taubat seorang hamba!

Buat nisa', walau dirimu merasa tiada yang menyayangi, ketahuilah aku di sini amat menyayangimu sekalipun kita tiada pernah mengenali. Tetapi walau sebesar mana kasihku kepadamu, masih pasti belum mampu menandingi kasih-Nya terhadapmu. Apakah saat ini masih mahu berpaling?

Motivasi daripada Kisah.

Saya memahami, berbicara itu mudah tetapi mahu melakukan itu tidak semudah bicara dan tulisan. Kerana itu perlu kepada kisah-kisah yang dapat menguatkan hati. Yang bisa meneguhkan keazaman dalam diri untuk menjadi lebih baik.

Pasti dan sudah tentu pernah mendengar kisah seorang pelacur perempuan. Yang kiranya dipandang manusia begitu kotor dan jijik pada masa kini sehingga melahirkan anak di luar perkahwinan yang sah. Walaupun mereka itu kini telah menyesal dan ingin berubah tetapi tetap dipandang serong. Tiada sokongan dan semangat yang ditiup tika mereka lemah. Kerana terusan dihantui dosa-dosa lalu.

Dengarkan kisah ini yang ingin saya putar kembali. Kembali kepada kisah pelacur perempuan. Yang berzina. Tetapi dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah hanya kerana memberi minum kepada seekor anjing. Tidakkah rahmat Allah itu luas? Kerana itu berhenti menghukum manusia. Walau kotor pada pandangan manusia, kita tiada pernah mengetahui apakah pandangan-Nya.

Lihat diri sendiri dan nilai. Diri sendiri juga belum tentu baik. Diri sendiri juga belum tentu dipandang-Nya. Walaupun kita melakukan kerja dakwah, walaupun diri itu sentiasa memberi tazkirah, walaupun diri itu aktif dalam program keagamaan. Saya suka untuk kembali mengingatkan kepada niat. Lagi sekali, lihat dan nilai. Itu semua tidak bermakna jika hati terdetik riak dan melakukan kerana ingin dipandang hebat oleh manusia. Kerana ingin supaya manusia memandang tinggi. Kerana ingin manusia memandang diri itu bagus, baik, soleh dan solehah. Tika itu, tanya diri sendiri, di mana niatmu yang kau katakan kerana Allah?

Lagi saya bawakan kisah yang cukup sering didengari. Kisah pembunuh yang telah membunuh 99 orang.Lihat usaha dan kehendaknya yang ingin bertaubat. Pembunuhannya mencukupi 100 orang apabila membunuh seorang alim yang mengatakan bahawa dia telah tiada harapan.

Namun, tidak pernah cuba untuk berputus asa. Mengikut nasihat seorang alim yang lain yang mengatakan bahawa perlu penghijrahan ke satu perkampungan yang suasananya bisa membantunya bertaubat. Namun,di pertengahan jalan, dia meninggalkan dunia tanpa sempat bertaubat. Tetapi dalam keadaan sedang usaha bertaubat. Dan dia dimasukkan ke dalam syurga.

Kesimpulan.

Kita tidak akan pernah bisa mengubah masa lalu, tetapi kita masih bisa bertindak mulai sekarang untuk mencipta sejarah baru.

Andai tiada berhenti memikirkan pandangan manusia, langkah kita tiada ke mana. Mereka tiada untung tetapi kita tetap rugi.

Sentiasa bersangka baik dengan Allah. Apabila jalan hidup kita begitu dan begini,yakinlah itu yang terbaik. Apabila kita melakukan dosa, Dia ada memberi keampunan. Saat kita lemah dan terhimpit, Dia ada meniupkan semangat dan kekuatan. Allah ada menyebut bahawa Dia bersama sangkaan hamba-Nya. Andai kita yakin dosa-dosa kita akan diampunkan, Dia dengan rahmat dan sifat Maha Pengampun-Nya akan mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dan bersungguh.

Sumber: iluvislam.com

~ Uniknya hati yang Allah ciptakan menyebabkan kita resah gelisah dan ingin melakukan kebaikan walaupun malu untuk berbuat baik.. Subhanallah.. Dia bersama sangkaan hamba-Nya

11/11/11 - Wonderful Day, InsyaAllah

Assalamualaikum w.b.t.




Alhamdulillah Allah s.w.t. beri kesempatan untuk saya melakarkan sesuatu di dalam blog ini pada tarikh dan hari yang cantik 11/11/11 bersamaan 15 Zulhijjah 1432 Hijriah, hari Jumaat iaitu penghulu segala hari. 


Tahun lepas, pernah mencipta impian membina masjid bersama si dia pada tarikh hari ini namun belum sampai rezekinya. Lagipun Ummi dan Abah masih lagi di tanah suci. Tak mengapalah, masanya akan tiba dengan izin Allah..


Sebelum bergerak ke office tadi sempat tonton Malaysia Hari Ini. Ada juga yang sanggup melahirkan anak (secara paksa) pada tarikh hari ini. Aduhai...tak sakit ke? Hanya semata-mata nak dapatkan tarikh keramat tu..


Dalam kereta pula, sempat dengar celoteh dari DJ IKIM.fm. Para peminat meluahkan apa yang menariknya pada tarikh hari ini. Ada yang sambut ulang tahun perkahwinan yang ke 22, ada yang sambut ulang tahun kelahiran, ada yang berjumpa isteri pada hari ini lantaran tinggal berjauhan, ada yang bernikah dan macam-macam lagi. Tapi ada juga yang berasa sedih sebab kita lebih mengingati tarikh masihi berbanding hijriah.


Actually, setiap hari adalah paling istimewa kerana setiap hari yang Allah jadikan memberikan seribu pengajaran buat kita. Pada setiap permulaan hari, kita akan menjadi insan yang berbeza disebabkan proses kehidupan yang kita lalui. Sudah pasti pengalaman pada setiap hari itu turut berbeza dan menjanjikan seribu hikmah yang kita tidak ketahui.


Dan alhamdulillah, pada hari ini juga saya berkesempatan ber ym dengan sahabat blogger yang rapat setelah lama tidak berhubung dan berbalas komen. Sebelum ni blog beliau ditimpa masalah kalau tak silap, tapi mujur ada ym dan kebetulan saya dan dia online. Faarihin @ Bicara Lensa, jangan lupa tarikh keramat ni ye.. Kebetulan pula.. Semoga adik saya ni terus success dalam mengejar cita-citanya.. Dan begitu juga adik-adikku sendiri (takut depa kecik ati pula sebab akak dia dok sayang orang lain.. ^_^).


Saya sertakan doa dan sedikit pesanan untuk sama-sama kita bermuhasabah..
Doa
Doa Nabi Zakaria agar dikurniakan anak dan mendapat zuriat yang soleh, bacalah surah al-anbiya' ayat 89 & surah ali imran ayat 38.
Doa murah rezeki (mohonlah mengikut hajat masing-masing sebab rezeki kan luas.. Mohon zuriat/anak ..mohon kuatkan kandungan agar tak gugur, harta yang berkat, jodoh yang baik) bacalah Surah Al-kahfi ayat 39.

Kata-kata Hikmah

“Hidup memerlukan pengorbanan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.” 

“Rezeki.. ada di mana-mana, datang tanpa diduga, tepat pada masa, yang penting, usaha & tawakkal.” 

“Perbezaan antara orang yang berjaya dengan orang yang gagal terletak pada rohaninya. apa yang dapat difikirkan menentukan apa yang akan dicapai.”


“Bukti yang paling jelas tentang ketajaman akal fikiran seseorang ialah apabila ia dapat mempernyatakan apa yang ia mahu dengan secara ringkas.”


“Berfikir secara rasional tanpa dipengaruhi oleh naluri atau emosi merupakan satu cara menyelesaikan masalah yang paling berkesan.”


“Berfikir itu cahaya, kelalaian itu kegelapan, kejahilan itu kesesatan dan manusia yang paling hina ialah orang yang menganiaya orang bawahannya.”


“Pemimpin yang berjaya ialah orang yang boleh mengawal komunikasi dengan orang yang lebih atas daripadanya dan boleh mengawal komunikasi dengan orang yang lebih bawah daripadanya.”


“Rahsia kejayaan hidup adalah persediaan manusia untuk menyambut kesempatan yang menjelma.” 

“Anda tidak boleh mencipta pengalaman. Anda mesti menghadapinya.” ~ Albert Camus


“Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal,tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah.”


“Mengetahui perkara yang betul tidak memadai dan bermakna jika tidak melakukan perkara yang betul.”


“Kecemerlangan adalah hasil daripada sikap yang ingin sentiasa melakukan yang terbaik.”


“Barangsiapa mempertimbangkan keselamatan dalam tindakannya, maka tenanglah batinnya.”

Thursday, November 10, 2011

Tiga anak kecil selamat dalam kebakaran - Terkini

KUALA LUMPUR - Seorang ibu lega apabila tiga anak kecil yang ditinggalkan sebentar di rumah untuk ke kedai berhampiran terselamat dalam kebakaran yang memusnahkan rumah papan mereka di Kampung Chempedak, Sentul Pasar, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari itu, Norazniza Baen, 32, berkata beliau meninggalkan ketiga-tiga anaknya — Norshakila, 6, Norshazwani, 5, dan Amirudin, 2, — untuk ke kedai berhampiran bagi membeli barangan dapur manakala suaminya, Norfizan Ismail, 35, keluar bekerja.

"Saya ke kedai sekejap sahaja, tidak sampai beberapa minit. Tidak lama selepas itu saya terdengar jeritan ”terbakar” yang dilaungkan orang ramai. Saya terus berlari ke rumah kerana bimbang sesuatu terjadi pada tiga anak saya,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Norazniza berkata, beliau bersyukur kerana setibanya di rumah beliau melihat ketiga-tiga anaknya menangis di luar rumah setelah diselamatkan orang ramai. "Alhamdulillah. Hanya Allah yang tahu betapa hati saya berasa lega apabila melihat mereka,” kata suri rumah itu. - Bernama

Sumber: Kosmo

~ Teringat waktu saya darjah 6 dulu, kami tiada pembantu rumah pada ketika itu, jadi saya perlu sediakan semuanya sebelum ke sekolah agama - petang. Biasanya sebelum Ummi bekerja, Ummi sediakan makanan dan saya hanya memastikan adik-adik makan dan selamat. Namun, sesuatu terjadi dan hal tersebut didiamkan sahaja setelah beberapa hari ketika say di sekolah dan Ummi bekerja. Rupanya, Umi terlihat bakul sampat terbakar dan adik yang paling besar ketika itu berusia 6 tahun. Alhamdulillah dengan kecerdikan dan pesanan berserta takut, dia sempat memadamkan api dengan mengambil air dari bilik mandi sebelum ia menjadi lebih besar. Alhamdulillah 4 adik saya selamat. Huhuhu.. Memang Allah bantu..

Sunday, November 6, 2011

Haji Lambang Kekuatan Ummah

PADA hari ini, jutaan umat Islam yang menjadi tetamu Allah di Mekah sedang berhimpun melakukan ibadat untuk taqarrub atau mendekatkan diri kepada Allah SWT, pencipta sekelian makhluk yang ada di muka bumi ini.

Semestinya, berbahagialah mereka yang dijemput oleh Allah SWT mengerjakan haji kerana ganjaran bagi haji yang mabrur (diterima) itu adalah syurga.

Ia sebagai mana sabda Nabi SAW yang bermaksud daripada Abu Hurairah r.a: Bahawa Rasulullah SAW bersabda: Mengerjakan umrah sehingga umrah seterusnya adalah penghapus dosa di antara keduanya. Haji Mabrur tidak terbalas melainkan syurga. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Menunaikan haji mengikut syarak bermaksud mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya.

Sebagai umat Islam, menunaikan haji adalah pelengkap bagi rukun Islam iaitu selepas mengucap syahadat, solat fardu lima waktu, puasa Ramadan dan menunaikan zakat.

Antara dalil kewajipan haji adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan serulah kepada manusia dengan (kewajipan) mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang sama dengan berjalan kaki atau berkenderaan dari segenap ceruk rantau yang jauh lagi dalam. (al-Hajj: 27)

Manifestasi

Jika dihalusi hierarki rukun Islam itu fahamlah kita mengapa ibadat haji diletakkan di tangga kelima ditambah pula syarat berkemampuan.

Secara tidak langsung, ibadat haji adalah kemuncak manifestasi keimanan orang yang bergelar Muslim. Ini kerana mereka yang pergi haji ini sudah semestinya mereka yang istiqamah melaksanakan empat lagi rukun Islam yang terdahulu.

Jarang atau luar biasa bagi orang yang tidak solat tiba-tiba mahu pergi menunaikan haji. Sebabnya, golongan begini tidak merasai lambaian Kaabah atau kerinduan menjejak kaki ke Tanah Suci, tempat kelahiran Nabi Muhammad SAW dan seterusnya ke Madinah, tempat wafatnya baginda SAW.

Sememangnya ganjaran syurga bagi haji mabrur adalah hadiah paling istimewa dan berharga. Oleh itu, sudah semestinya ia memerlukan kepada usaha dan pengorbanan sebelum kita boleh mencapainya.
Inilah antara falsafah haji di mana ia bukan sahaja memerlukan kita mematuhi segala syarat, rukun dan wajib haji tetapi juga menjaga tingkah laku dan percakapan.

Demikianlah antara lain hikmah mengapa menunaikan haji itu hanya difardukan sekali kepada umat Islam yang berkemampuan. Maknanya, dengan peluang yang sekali itulah jemaah haji perlu melakukan yang terbaik supaya memperoleh haji mabrur.

Antara faktor mencapainya adalah sumber harta atau belanja menunaikan haji yang bersih daripada perkara haram dan syubhat. Seperkara yang paling penting adalah niat kita menunaikan haji adalah kerana Allah SWT bukan untuk menunjuk-nunjuk apatah lagi untuk meraih panggilan "tuan haji" atau "hajah".

Menjelaskan hal ini terdapat hadis berkaitan haji mabrur iaitu Rasulullah SAW bersabda: Haji Mabrur tiada ganjarannya kecuali syurga". Ditanya baginda SAW apakah yang dimaksudkan dengan haji yang diperelokkan itu (haji mabrur). Baginda SAW bersabda: "Memberi makan dan elok percakapan".

Ibadat haji juga membuktikan bahawa pangkat dan kedudukan tinggi atau bangsawannya seseorang itu bukanlah jaminan kedudukannya tinggi di sisi Allah.

Sebab itu kita lihat dalam mengerjakan tawaf misalnya, semua orang Mukmin memakai kain ihram yang serupa warna putih. Biar sekaya mana pun individu itu tetapi kain ihramnya tetap dua helai dan tidak berjahit.

Begitu juga dengan pusingan tawaf. Semua jemaah haji berjalan kaki bagi yang berkuasa. Tidak ada yang dibenarkan menaiki kenderaan berjentera baik kereta atau motosikal.

Dalam segi ibadat tawaf sebanyak tujuh kali walau setinggi mana pun pangkat seseorang itu di muka bumi ini baik raja, sultan atau pun pembesar negara, semuanya patuh bertawaf tujuh pusingan.

Semua ini adalah antara bukti betapa Islam itu tidak melihat kepada pangkat atau warna kulit penganutnya. Sebaliknya, mereka yang paling bertakwa adalah orang yang tinggi kedudukannya di sisi Allah.

Ibadat melontar jamrah pula adalah simbolik kepada membuang sifat-sifat mazmumah yang ada pada diri manusia. Antaranya hasad, sombong, riak, sum'ah dan sebagainya.

Perhimpunan manifestasi kesatuan umat

Kehadiran jutaan umat Islam dari seluruh dunia pada hari Wuquf di Arafah pula adalah manifestasi kesatuan umat Islam di bawah kalimah tauhid, La Ila Haillallah Muhammadar Rasulullah.

Pada saat ini, segala fahaman atau perbezaan pendapat diketepikan. Ia termasuk ideologi politik, sifat assabiah orang 'ajam (arab) atau bukan 'ajam dan juga warna kulit.

Tiada himpunan lain di atas muka bumi ini waima Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dapat menandingi ramai dan hebatnya perjumpaan umat Islam di Arafah.

Justeru, muktamar yang menunjukkan kesatuan umat setahun sekali ini wajar dimanifestasi sebagai wehdah atau kesatuan umat Islam di seluruh dunia.

Sikap toleransi, kasih sayang dan bantu membantu dalam ibadat haji ini wajar dikembangkan sehingga menjadi amalan setiap negara Muslim.

Dengan itu, negara-negara Islam tidak lagi berhadapan dengan konflik sesama sendiri sehingga membawa kepada pertumpahan darah atau anarki.

Sepatutnya, negara-negara Islam menunjukkan contoh tauladan daripada segi menjaga hubungan silaturrahim kerana orang yang beriman itu adalah bersaudara.

Ini ditegaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Kerena itu damaikanlah antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat. (al-Hujurat : 10)

Tidak susah untuk kita melaksanakannya jika semua umat Islam menghayati ayat Allah itu tadi. Malah, suasana di Mekah dan Madinah juga menyuburkan rasa persaudaraan ini.

Sebabnya, menjadi budaya orang Arab mengucap salam apabila bertemu sesama Islam. Pengalaman begini bukan asing bagi umat Islam Malaysia yang berkunjung ke Tanah Suci.

Mendoakan kebaikan



Malah, dalam sesetengah keadaan, jemaah haji Malaysia pun terikut-ikut dengan budaya ini dan memberi salam apabila bertemu dengan saudara seagama tidak kira daripada negara mana sekali pun.

Pendek kata, kalau umat Islam saling mendoakan kebaikan antara satu sama lain, bagaimana kita boleh bergaduh, berkelahi sehingga membawa kepada pertumpahan darah?

Dalam kita menyambut Hari Raya Aidiladha, mari kita memperbaiki ibadat sunat muakkad di dalamnya iaitu mengadakan korban. Di Malaysia, kebanyakan penduduk taman perumahan di kampung atau di bandar menyembelih haiwan ternakan sebagai tanda bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah.

Apa yang perlu diperhalusi adalah dalam segi sifat ihsan kita semasa menyembelih haiwan sama ada lembu, kambing mahu pun unta.

Janganlah kita melakukan 'penyeksaan' tanpa disedari. Antaranya duduk di atas haiwan tersebut, menindih badannya dengan pelbagai jenis kayu, menjatuhkannya dengan kasar dan lebih kejam lagi melapahnya sebelum ia benar-benar mati.

Begitu juga dengan petugas dan penerima daging korban. Jangan hendaknya belum pun selesai kerja-kerja memotong daging korban, ekor lembu sudah hilang atau ada yang mengambil daging melebihi daripada yang sepatutnya.

Berhati-hatilah supaya usaha kita membantu kerja-kerja menyembelih haiwan korban yang sepatutnya mendapat ganjaran pahala bertukar kepada beroleh dosa gara-gara mengambil hak orang lain.

Pada masa yang sama, marilah kita menghidupkan Aidiladha dan tiga hari tasyrik dengan laungan takbir sebagai meraikan saudara-saudara kita yang berjuang melakukan ibadat haji.

Sumber: Utusan Malaysia