Sunday, November 6, 2011

Haji Lambang Kekuatan Ummah

PADA hari ini, jutaan umat Islam yang menjadi tetamu Allah di Mekah sedang berhimpun melakukan ibadat untuk taqarrub atau mendekatkan diri kepada Allah SWT, pencipta sekelian makhluk yang ada di muka bumi ini.

Semestinya, berbahagialah mereka yang dijemput oleh Allah SWT mengerjakan haji kerana ganjaran bagi haji yang mabrur (diterima) itu adalah syurga.

Ia sebagai mana sabda Nabi SAW yang bermaksud daripada Abu Hurairah r.a: Bahawa Rasulullah SAW bersabda: Mengerjakan umrah sehingga umrah seterusnya adalah penghapus dosa di antara keduanya. Haji Mabrur tidak terbalas melainkan syurga. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Menunaikan haji mengikut syarak bermaksud mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya.

Sebagai umat Islam, menunaikan haji adalah pelengkap bagi rukun Islam iaitu selepas mengucap syahadat, solat fardu lima waktu, puasa Ramadan dan menunaikan zakat.

Antara dalil kewajipan haji adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan serulah kepada manusia dengan (kewajipan) mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang sama dengan berjalan kaki atau berkenderaan dari segenap ceruk rantau yang jauh lagi dalam. (al-Hajj: 27)

Manifestasi

Jika dihalusi hierarki rukun Islam itu fahamlah kita mengapa ibadat haji diletakkan di tangga kelima ditambah pula syarat berkemampuan.

Secara tidak langsung, ibadat haji adalah kemuncak manifestasi keimanan orang yang bergelar Muslim. Ini kerana mereka yang pergi haji ini sudah semestinya mereka yang istiqamah melaksanakan empat lagi rukun Islam yang terdahulu.

Jarang atau luar biasa bagi orang yang tidak solat tiba-tiba mahu pergi menunaikan haji. Sebabnya, golongan begini tidak merasai lambaian Kaabah atau kerinduan menjejak kaki ke Tanah Suci, tempat kelahiran Nabi Muhammad SAW dan seterusnya ke Madinah, tempat wafatnya baginda SAW.

Sememangnya ganjaran syurga bagi haji mabrur adalah hadiah paling istimewa dan berharga. Oleh itu, sudah semestinya ia memerlukan kepada usaha dan pengorbanan sebelum kita boleh mencapainya.
Inilah antara falsafah haji di mana ia bukan sahaja memerlukan kita mematuhi segala syarat, rukun dan wajib haji tetapi juga menjaga tingkah laku dan percakapan.

Demikianlah antara lain hikmah mengapa menunaikan haji itu hanya difardukan sekali kepada umat Islam yang berkemampuan. Maknanya, dengan peluang yang sekali itulah jemaah haji perlu melakukan yang terbaik supaya memperoleh haji mabrur.

Antara faktor mencapainya adalah sumber harta atau belanja menunaikan haji yang bersih daripada perkara haram dan syubhat. Seperkara yang paling penting adalah niat kita menunaikan haji adalah kerana Allah SWT bukan untuk menunjuk-nunjuk apatah lagi untuk meraih panggilan "tuan haji" atau "hajah".

Menjelaskan hal ini terdapat hadis berkaitan haji mabrur iaitu Rasulullah SAW bersabda: Haji Mabrur tiada ganjarannya kecuali syurga". Ditanya baginda SAW apakah yang dimaksudkan dengan haji yang diperelokkan itu (haji mabrur). Baginda SAW bersabda: "Memberi makan dan elok percakapan".

Ibadat haji juga membuktikan bahawa pangkat dan kedudukan tinggi atau bangsawannya seseorang itu bukanlah jaminan kedudukannya tinggi di sisi Allah.

Sebab itu kita lihat dalam mengerjakan tawaf misalnya, semua orang Mukmin memakai kain ihram yang serupa warna putih. Biar sekaya mana pun individu itu tetapi kain ihramnya tetap dua helai dan tidak berjahit.

Begitu juga dengan pusingan tawaf. Semua jemaah haji berjalan kaki bagi yang berkuasa. Tidak ada yang dibenarkan menaiki kenderaan berjentera baik kereta atau motosikal.

Dalam segi ibadat tawaf sebanyak tujuh kali walau setinggi mana pun pangkat seseorang itu di muka bumi ini baik raja, sultan atau pun pembesar negara, semuanya patuh bertawaf tujuh pusingan.

Semua ini adalah antara bukti betapa Islam itu tidak melihat kepada pangkat atau warna kulit penganutnya. Sebaliknya, mereka yang paling bertakwa adalah orang yang tinggi kedudukannya di sisi Allah.

Ibadat melontar jamrah pula adalah simbolik kepada membuang sifat-sifat mazmumah yang ada pada diri manusia. Antaranya hasad, sombong, riak, sum'ah dan sebagainya.

Perhimpunan manifestasi kesatuan umat

Kehadiran jutaan umat Islam dari seluruh dunia pada hari Wuquf di Arafah pula adalah manifestasi kesatuan umat Islam di bawah kalimah tauhid, La Ila Haillallah Muhammadar Rasulullah.

Pada saat ini, segala fahaman atau perbezaan pendapat diketepikan. Ia termasuk ideologi politik, sifat assabiah orang 'ajam (arab) atau bukan 'ajam dan juga warna kulit.

Tiada himpunan lain di atas muka bumi ini waima Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dapat menandingi ramai dan hebatnya perjumpaan umat Islam di Arafah.

Justeru, muktamar yang menunjukkan kesatuan umat setahun sekali ini wajar dimanifestasi sebagai wehdah atau kesatuan umat Islam di seluruh dunia.

Sikap toleransi, kasih sayang dan bantu membantu dalam ibadat haji ini wajar dikembangkan sehingga menjadi amalan setiap negara Muslim.

Dengan itu, negara-negara Islam tidak lagi berhadapan dengan konflik sesama sendiri sehingga membawa kepada pertumpahan darah atau anarki.

Sepatutnya, negara-negara Islam menunjukkan contoh tauladan daripada segi menjaga hubungan silaturrahim kerana orang yang beriman itu adalah bersaudara.

Ini ditegaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Kerena itu damaikanlah antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat. (al-Hujurat : 10)

Tidak susah untuk kita melaksanakannya jika semua umat Islam menghayati ayat Allah itu tadi. Malah, suasana di Mekah dan Madinah juga menyuburkan rasa persaudaraan ini.

Sebabnya, menjadi budaya orang Arab mengucap salam apabila bertemu sesama Islam. Pengalaman begini bukan asing bagi umat Islam Malaysia yang berkunjung ke Tanah Suci.

Mendoakan kebaikan



Malah, dalam sesetengah keadaan, jemaah haji Malaysia pun terikut-ikut dengan budaya ini dan memberi salam apabila bertemu dengan saudara seagama tidak kira daripada negara mana sekali pun.

Pendek kata, kalau umat Islam saling mendoakan kebaikan antara satu sama lain, bagaimana kita boleh bergaduh, berkelahi sehingga membawa kepada pertumpahan darah?

Dalam kita menyambut Hari Raya Aidiladha, mari kita memperbaiki ibadat sunat muakkad di dalamnya iaitu mengadakan korban. Di Malaysia, kebanyakan penduduk taman perumahan di kampung atau di bandar menyembelih haiwan ternakan sebagai tanda bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah.

Apa yang perlu diperhalusi adalah dalam segi sifat ihsan kita semasa menyembelih haiwan sama ada lembu, kambing mahu pun unta.

Janganlah kita melakukan 'penyeksaan' tanpa disedari. Antaranya duduk di atas haiwan tersebut, menindih badannya dengan pelbagai jenis kayu, menjatuhkannya dengan kasar dan lebih kejam lagi melapahnya sebelum ia benar-benar mati.

Begitu juga dengan petugas dan penerima daging korban. Jangan hendaknya belum pun selesai kerja-kerja memotong daging korban, ekor lembu sudah hilang atau ada yang mengambil daging melebihi daripada yang sepatutnya.

Berhati-hatilah supaya usaha kita membantu kerja-kerja menyembelih haiwan korban yang sepatutnya mendapat ganjaran pahala bertukar kepada beroleh dosa gara-gara mengambil hak orang lain.

Pada masa yang sama, marilah kita menghidupkan Aidiladha dan tiga hari tasyrik dengan laungan takbir sebagai meraikan saudara-saudara kita yang berjuang melakukan ibadat haji.

Sumber: Utusan Malaysia

2 comments:

atuk said...

Salam Aidil Adha BM

moga tetamu Allah tahun ini memperolehi haji yg mabrur

Wassalam

Brilliant Marjan said...

Salam Aidil Adha Atuk

Amin..Ummi dan Abah saya diantaranya..