Tuesday, October 23, 2012

Sunnah Meminta Pendapat Anak

COPY PASTE DARI USTAZ HASRIZAL

Buka minda dan pemikiran untuk kita sama-sama berkongsi pengalaman Ustaz Hasrizal sendiri. Ini juga yang berlaku dalam keluarga saya. Maksudnya Ummi & Abah juga meminta pendapat anak-anak untuk sebarang tindakan.


“Kalau Abi tanya sikit, boleh?” saya memecah sepi di dalam kereta.
“Tanyalah” jawab Saiful Islam.
“Apa tentang Abi yang paling Yop suka?” saya menyoal.
“Hmm…” anak sulung saya mengeluh perlahan.
Lama beliau berfikir.
Sambil memandu, saya memandang di ekor mata memerhatikan gelagatnya.
“Sabar! Yop rasa Abi seorang yang sabar” jawabnya.
“Kenapa agaknya Yop kata Abi sabar?” saya menyoal lagi.
“Bukan senang jadi bapa. Anak-anak buat perangai macam-macam. Tapi Abi sabar” terang beliau.
“Sesekali Abi marah juga. Yop pun pernah kena rotan juga, kan?” saya mahukan kepastian.
“Sesekali tak apalah. Biasalah tu” jawabnya.
Jawapan yang Saiful Islam berikan itu mencetuskan rasa lega sedikit buat diri saya. Sekurang-kurangnya dia faham mujahadah yang saya alami setiap hari untuk berusaha menjadi bapa yang baik. Adakalanya, kita seperti itik yang berenang. Nampak tenang dan damai di permukaan air, sedangkan kaki terkapai-kapai berkayuh di balik pandangan.
“Apa tentang Abi yang paling Yop tak suka?” saya bertanya soalan bahagian kedua.
“Hmm… hmm… hmm…” beliau mengusap-ngusap dagunya gaya berfikir.
“Apabila Abi tanya, maknanya Abi nak dengar jawapan Yop. Abi tak kisah dan tak marah apa-apa pun jawapan yang Yop bagi” saya cuba meyakinkannya.
“Sibuk!” jawab beliau. Sepatah.
Kereta petang itu meluncur di lebuhraya. Saya hening dalam menyambut jawab balas si anak.
“Rasa-rasanya Yop tahu tak kenapa Abi sibuk?” saya bertanya lagi.
“Tahu. Sebab Abi ustaz. Abi kena berdakwah” jawab beliau lagi.
“Selain kena berdakwah, Abi juga kena kerja cari pendapatan. Keperluan kita pun macam-macam, kan?” saya menambah.
“Memanglah. Sekarang ni semua benda mahal. Nak pakai duit” ujar beliau.
Kami hanya berdua di dalam kereta. Naurah tidak bersekolah hari itu. Jika tidak, saya juga mahukan maklum balas si anak dara yang seorang itu.
“Banyaknya Abi tanya. Penat Yop nak fikir jawapan!” kata Saiful Islam.
Memang penat. Mungkin lebih penat daripada saya. Kelasnya bermula jam 8, berakhir jam 5. Sudah seperti orang bekerja pejabat.
“Ok, soalan terakhir. Abi nak kurangkan ceramah dan kerja, Abi cuba. Tetapi apa penyelesaian yang Yop boleh fikirkan?” saya meminta pendapatnya.
“Hmm… bagi Yop ikut Abi pergi mana-mana ceramah yang Abi rasa Yop boleh ikut” cadangnya.
“Ok! Insha Allah! Tapi jangan tertidur pula! Ceramah Abi kadang-kadang membosankan” saya bergurau sambil menyetujui cadangan.
“Yop suka dengar ceramah Abi. Tapi kadang-kadang Yop dah dengar ceramah tu. Yop pun tak tahu kenapa Yop ketawa” tambah beliau.
Tol sudah dibayar, kereta kami sudah masuk ke Bandar Seri Putra. Saya berpuas hati dengan perbualan kami petang itu. Perbualan yang mengingatkan saya kepada sunnah yang diajar oleh Ibrahim ‘alayhi al-Salaam dalam komunikasi baginda bersama anaknya Ismail ’alayhi al-Salaam:
“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?“. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar” [Al-Saffat 37: 102]
Biar pun perintah menyembelih itu adalah perintah Allah yang pasti ditunai, Ibrahim melakukan sesuatu yang masih penting dalam mendidik Ismail secara efektif.
Ibrahim meminta pendapat anaknya.
Tidak mudah untuk sunnah yang satu ini dilaksanakan.
Tidak biasa.
Tidak punya masa.
Namun ia perlu.
Dan apabila ia diwartakan sebagai keperluan, mahu tidak mahu, kita tiada pilihan beralasan melainkan terus berusaha agar ia dapat dilaksanakan. Tidak biasa kena dibiasakan. Tiada masa, perlu dicari masa.
Demi anak-anak kesayangan.
Demi Tuhan!
TUJUH BUAH FIKIRAN:
  1. Faktor kualiti masa jauh lebih penting berbanding kuantiti masa
  2. Kualiti masa boleh dihasilkan dengan meningkatkan kualiti komunikasi
  3. Meminta pendapat anak berkenaan kualiti kita sebagai ibu bapa adalah sunnah dan salah satu bentuk komunikasi berkualiti
  4. Untuk menjayakannya, langkah pertama adalah pada membina kepercayaan antara kita dengan anak-anak bahawa kita ikhlas bertanya dan tidak meletakkan syarat pada jawapan
  5. Pertanyaan hendaklah diungkai kepada pertanyaan-pertanyaan yang kecil, satu persatu dan tidak bersifat konsepsual yang sukar anak fahami
  6. Berikan peluang untuk anak memikirkan solusi
  7. Ucapkan terima kasih sebagai penghargaan kepada kesudian anak bekerjasama memberikan maklum balas tersebut

No comments: