Monday, November 15, 2010

SISTA OVARI @ CYST

Assalamualaikum w.b.t

Salam penuh kerinduan buat anda semua. Nak cuba ceriakan diri walaupun pada hakikatnya tak ceria sangat. Rindu pada dia. Ok, saya nak cerita sikit apa yang saya sempat lakukan pada hujung minggu baru-baru ini.

Nak diceritakan, salah seorang sahabat saya, telah dimasukan ke Selangor Medical Center (SMC) dan selamat menjalani pembedahan untuk membuang sista ovari atau dalam Bahasa Inggeris nya Cyst. Pada mulanya kecil hati juga sebab tak diberitahu kerana dia merupakan antara sahabat susah senang saya. Namun, itu bukan masalahnya. Saya faham dengan keadaanya dan juga masalah yang saya hadapi (kesihatan diri saya, adik sakit, kematian anak buah dll) membuatkan kami berdua berdiam diri seketika.

Tapi, alhamdulillah sempat juga saya melawatnya semalam walaupun dia berada di rumah. Dapat juga berjumpa dengan mak dia yang sangat baik itu. Maklumlah sudah kenal lama. Seperti orang berpantang gayanya. Sempat juga dia menunjukkan kesan pembedahan untuk membuang cyst itu.

Bagi saya, apabila diberitahu yang dia menjalani pembedahan membuang cyst, saya sudah tahu apakah ia dan bagaimana rupanya. Ini kerana, saya pernah terbaca satu kesah di Majalah Dara berkaitan penyakit ini. Namun, yang agak tragik bagi saya, sahabat saya memaklumkan bukan 1 cyst yang dibuang tetapi 2 cyst yang berukuran 4cm dan 12 cm. Nauzubillah...

Tambah sahabat saya lagi, doktor memberitahu cyst itu terjadi ketika awal dia didatangi haid. Tidak berbahaya tetapi lama kelamaan, semakin meningkat dewasa cyst tersebut semakin membesar dan tetap sakit ketika suci. Rupanya, selepas dibedah, cyst tersebut pecah. Ia kelihatan kehitaman..Agak ngeri juga. Tapi dari pembacaan saya, ada cyst yang lebit besar ukurannya dan terdapat objek seperti rambut, kuku, dan gigi. Nauzubillah...

Di bawah ini, ada sedikit info tambahan yang saya ingin kongsikan bersama anda semua.. Nak tambah lagi, anda search sendiri ye..Maaf

********************************************

Apakah yang dimaksudkan dengan Sista Ovari?

Sista atau ketumbuhan dalam ovari merupakan pembendungan cecair di dalam ovari. Terdapat beberapa jenis sista ovari. Gulungan wanita begitu mengambil berat terhadap sista ini disebabkab kebimbangan mereka kepada kanser ovari. Satu perkara yang perlu diingat bahawa kebanyakan sista ovari ini bukanlah ketumbuhan kanser. Walau bagaimanapun, sebahagian dari sista benigna ini memerlukan rawatan jika ia tidak hilang seperti biasanya. Hanya dalam beberapa kes yang kecil, ia bertukar menjadi kanser. Yang menggembirakan kita ialah hampir semua sista ovari ini akan hilang secara spontan tanpa memerlukan rawatan. Oleh kerana kebanyakan dari sista ovari adalah benigna (bukan kanser), kewujudan sista ovari biasanya tidaklah membimbangkan.

Tanda dan Gejala

Lazimnya, sista ovari tidak membahayakan dan tidak menimbulkan gejala. Jika berlaku juga gejala, ia termasuklah:

Terasa sesak atau bengkak dalam abdomen Berat badan bertambah. Sakit yang tidak menyucuk dan berlaku berterusan sama ada di sebelah atau di kedua-dua belah pelvis. Kesakitan semasa melakukan seks Haid tertunda, tidak teratur atau sakit. Semakin banyak timbulnya bulu roma di muka.
   
Terasa sangat sakit yang menyucuk dalam abdomen, demam, dan/atau muntah. Kemungkinan ini disebabkan oleh sista yang berdarah kerana telah pecah atau terpintal/terpusing.

Jenis-jenis sista ovari

Sista fungsi - Jenis ini sangat lazim berlaku. Ia dikaitkan dengan kelainan dari fungsi ovari yang normal. Contohnya, ia terbentuk apabila telur cuba dikeluarkan seperti dalam proses pengovulan biasa. Ianya mungkin berlanjutan sehingga 4 atau 6 minggu. Sista ini jarang merembeskan hormon.

Sista folikel dan korpus luteum - sista folikel terbentuk apabila folikel yang menghasilkan telur dalam ovari membesar dan dipenuhi cecair. Sista korpus luteum merupakan jisim tisu berwarna kuning yang terbentuk daripada folikel selepas proses pengovulan. Sista jenis ini timbul dan hilang setiap bulan. Ia dikaitkan dengan fungsi normal ovari.

Sista yang abnormal atau sista neoplasma - Ia terjadi kesan dari pertumbuhan sel dan kebanyakannya merupakan ketumbuhan benigna. Dalam beberapa kes tertentu, ianya boleh menjadi kanser. Sista yang abnormal ini memerlukan rawatan perubatan dari doktor. Ini termasuklah:
Sista dermoid - yang mengandungi pelbagai jenis tisu seperti bahan-bahan lemak, rambut, gigi, serpihan tulang dan tisu rawan.

Ovari polisistik - disebabkan oleh timbunan sista-sista kecil yang berganda menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan hormon. Ini akan menyebabkan berlakunya haid yang tidak teratur, timbulnya bulu-bulu roma di badan dan ketaksuburan atau kemandulan

Perkara yang perlu diingat:

Oleh kerana sista ovari biasanya tidak menunjukkan gejala, adalah penting bagi wanita yang pernah mengalami sista di masa yang lalu atau mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidap tumor ovari melakukan pemeriksaan pelvis secara berkala. Wanita yang pernah mengalami sista ovari mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapatnya lagi di masa hadapan. Endometriosis mungkin menjadi lebih serius jika berlakunya sista ovari dan peluang anda untuk menjalani oforektomi (pembuangan ovari) adalah lebih tinggi. Dalam beberapa kes tertentu, jika berlakunya sista ovari yang malignan, rawatan awal biasanya memberi lebih jaminan untuk sembuh. Wanita yang mendapat sista ovari selepas putus haid lebih mudah mengalami malignansi.

Beringat untuk mendapatkan nasihat doktor dengan segera jika anda mengalami sebarang rasa sesak, tekanan atau kurang selesa di bahagian pelvis. Lebih cepat sista itu dikesan dan dirawat maka lebih baiklah peluang anda untuk sembuh.

~ Sahabat saya ini sempat mengambil takaful prudential dengan adik saya sebelum dimaklumkan yang dia sakit. Mujur tindakan cepat diambil. Syukur alhamdulillah..

~ Selamat Pengantin Baru buat sahabat saya, Nurul Hayati yang berkahwin pada sabtu lepas 13 November 2010

No comments: