Sunday, May 22, 2011

TANAH RUNTUH: MADRASAH AL-TAQWA

TERBARU: Hingga jam 11.45 malam ini, dari berita terkini dimaklumkan bukannya 24 tetapi 25 mangsa yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Ulu Langat petang tadi.

19 mangsa sudah berjaya dikeluarkan, 10 darinya meninggal dunia, semuanya kanak-kanak, sembilan berjaya dikeluarkan dengan selamat termasuk seorang dewasa dipercayai sukarelawan. Manakala tujuh lagi masih hilang.

Sebelum itu, dalam kejadian jam 2.15 petang tadi, seramai 25 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat dekat sini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika diwawancara oleh Halim (wartawan tv3-maaf saya tidak ingat nama penuhnya) menyatakan peruntukkan sebanyak RM 10,000 kepada keluarga mangsa dan kos rawatan ditanggung kerajaan.

Kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui.

Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni termasuk lima penjaga. Kesemua penghuni rumah itu adalah lelaki.

Ketika kejadian pada pukul 2.30 petang kesemua penghuni rumah anak yatim itu berada dalam sebuah khemah yang dipasang untuk persiapan satu majlis yang dijadual pada pukul 5 petang (persiapan nasyid).

Runtuhan tanah dari bukit itu dikatakan menimbus keseluruhan khemah itu yang terletak di luar rumah anak yatim itu, yang terletak di lereng bukit itu.

Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.

"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," kata Tun Hisan pada sidang akhbar di tempat kejadian.

Beliau berkata polis akan menyiasat punca kejadian.

Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengeluarkan mayat pertama pada pukul 4.30 petang, diikuti mayat kedua setengah jam kemudian dan mayat ketiga dikeluarkan pada pukul 6.10 petang.

Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Putrajaya Morni Mamat berkata sehingga 8.20 malam operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan hujan lebat.
 
~ Serius saya sangat terkejut dan ucapkan takziah buat keluarga mangsa. Saya baru sampai rumah sebelum pukul 9 malam tadi. Apabila menunggu berita jam 8 di tv 3 tamat, saya terkejut dengan apa yang dimaklumkan. Terus call anjang sebab menyangkakan rumah yang didiami anak-anak yatim itu adalah tempat adik saya belajar ilmu agama suatu ketika dulu. Saya cuba tunggu berita selanjutnya sampailah sekarang. Moga-moga masih ada yang terselamat. Katanya, 24 jam para petugas melakukan kerja mencari mangsa yang tertimbus sehingga kesemuanya berjaya ditemui.....

No comments: