Thursday, September 30, 2010

BANTUAN ALLAH S.W.T

Assalamualaikum w.b.t.


Kerap kali hati ini merintih lemah meminta dan mengharapkan daripada Allah swt. Sesungguhnya sangat banyak cabaran yang telah dilalui dan kadangkala ianya seperti memaksa kita untuk meninggalkan jalan ini. Nauzubillah.

Inilah fitrah kita selaku makhluk yang bernama manusia. Tidak pernah lekang dengan sifat cuai kerana kita bukanlah diciptakan sempurna. Mungkin selama ini kita terasa kuat dalam menghadapi mehnah pada jalan ini tetapi akan tiba suatu masa kita akan dikunjungi perasaan lemah dan malas yang akan menusuk hati kita secara perlahan-lahan. Ketika itu hati akan mula memberontak dan akhirnya dengan mudah syaitan laknatullah menjalankan misi mereka untuk menarik kita mengikuti jalan toghut.

Sebagai seorang pejuang dalam agama ini, kita seharusnya bergembira dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah:

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah:214)

Dalam ayat tersebut Allah menyatakan ujian yang diberikan adalah untuk menjadi bukti bahawa para pejuang kebenaran ini adalah seorang yang benar-benar beriman dan ikhlas berjuang hanya kerana ingin menggapai mardhotillah. Inilah hakikat perjuangan, tiada erti senang lenang di dalam kamus hidupnya, yang ada dalam catatan hariannya cumalah perkara yang perit dan penuh dengan pengajaran untuk dibawa sebagai bekalan menempuh hari-hari mendatang yang menjanjikan seribu kesukaran lagi.

Tetapi, walaupun begitu susah perjuangan ini, mereka tidak semudah itu untuk mengalah. Lihat sahaja kisah Bilal bin Rabah, Mus’ab bin Umair dan Khabab yang dikurniakan dengan ujian yang menggetarkan iman, tetapi kerana keimanan yang tinggi kepada Allah, maka mereka diberi keistimewaan berada disamping Allah.

Ayuh pejuang!!! Bangkitlah dari kelemahan diri ini, ingatlah bahawa ujian itu sebagai mahar yang perlu dibayar untuk mendapatkan syurga dan semoga jerih lelah kita menunaikan mahar ini akan menjadi sirna ketika berhadapan dengan Allah kelak.

Perjuangan ini penuh onak duri dan segala macam rintangan, tetapi walaupun rintangan itu setinggi langit, ingatlah bahawa Allah sentiasa berada di sisi kita.

* Dipetik dari facebook

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pendapat saya:

Jika kita berada di dalam kelompok yang sama fikrah dengan kita (golongan baik) maka kita belum diuji lagi dengan dugaan hebat. Sebab kebiasaanya golongan yang baik ini amat tinggi ilmu agamanya namun agak kedekut pula untuk berkongsi pengetahuan yang dia perolehi untuk kebaikan bersama. Kedekut di sini ialah menegur dengan cara yang salah seperti dia hebat dan tahu segala sedangkan baginda Nabi Muhammad s.a.w dahulu berdakwah dengan cara yang paling berhikmah kepada orang yang masih belum terbuka hatinya pada Islam.

Seperti mana yang pernah saya lalui, apabila saya bergaya lain sedikit atau berkawan dengan orang yang lain sedikit, ada saja pandangan yang tidak kena. Saya tahu mereka ini sayangkan saya tetapi bagaimana pula dengan sahabat yang memerlukan pertolongan kita? Bergaya bukan bermakna kita melanggar perintah Allah tapi membetulkan mengikut kesesuaian. Sebagai contoh ketika bersukan. Dibolehkan memakai pakaian sukan tetapi perlulah longgar, sopan, dan sebagainya.. Begitu juga dengan solat ketika bersukan. Bila masuk waktu, berhenti dan solat.

Ada beberapa junior dan sahabat ketika berada dibangku sekolah dan IPT bertanya "Bukan baik sangat pun tapi tegur orang macam kita ni buat silap lebih dari dia!", "Kenapa ada sesetengah orang yang baik ni macam menakutkan. Susah nak dekat?", "Ada yang kelihatan baik ni macam ikut je tapi tak buat" dan bermacam-macam persoalan yang cuba diutarakan..

Sebagaimana diri ini, saya juga bukan insan sempurna dan saya bukan jenis memaksa orang disekitar saya berkelakuan seperti saya yang boleh dianggap baik dan sempurna. Hakikatnya hanya Allah yang lebih mengetahui diri ini sebenarnya. Konsep saya mudah, menegur mengikut kesesuaian dan secara mudah disamping memberi sedikit pujian atas usahanya itu. Ibarat kita mengambil berat perubahan yang cuba dilakukan. Apa-apa pun semuanya kenalah ikhlas. Alhamdulillah, ada sahabat yang berjaya berubah.

Hidup ini adalah memberi namun perlulah berhati-hati. Terkadang ada ujian yang bakal dilalui ketika memberi itu. Namun bergantunglah sepenuhnya pada Allah yang Maha Berkuasa. Jika kita membantu di dalam agama Allah, maka Allah akan membantu dalam urusan kehidupan kita. Semuanya hendaklah dilalui dengan jalan yang sabar.



"Membiarkan orang lain sahaja yang bermotivasi dalam memperolehi pahala bukanlah sifat orang beriman. Jangan biarkan kata-kata negatif orang terhadap sesuatu yang baik untuk akhirat anda, membantutkan semangat. Jadikan ia pendorong dan motivasi..."
(Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman)

No comments: